MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR

Beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan menghadiri satu program yang membincangkan berkenaan "Amar Makruf Nahi Munkar". Jika melihatkan kepada tajuk, saya pasti semua sudah sedia maklum apa itu yang dimaksudkan dengan tajuk berkenaan.Firman Allah s.w.t:

وليكن منكم أمة يدعون الى الخير ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون

Maksudnya: "Dan hendaklah ada dikalangan kamu sebahagian yang menyeru ke arah kebaikan dan mengarah yang makruf serta mencegah yang munkar dan mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan"
(Ali-Imran:104)

Firman Allah lagi:

"كنتم خير أمة اخرجت للناس تامرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمن بالله"

Maksudnya: "Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan di tengah-tengah masyarakat manusia untuk mengajak mereka ke arah yang makruf dan mencegah mereka dari yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah s.w.t"
(Ali-Imran:110)

Amar Makruf nahi mungkar adalah dua tugas rasmi bagi seorang muslim yang bertanggungjawab terhadap agamanya. Pengabaian erhadap dua tugas ini membawa implikasi yang buruk terhadap individu muslim terbabit dan kesan sampingannya turut dirasai oleh umat Islam keseluruhannya.

Amar makruf dan nahi mungkar merupakan suatu yang sering disinonimkan dengan golongan المفلحون dan الصالحون. Serentak itu, ianya suatu gambaran jelas bahawa amar makruf dan nahi mungkar adalah dana mekanisme yang melahirkan insan الفلح dan الصالح.

Firman Allah s.w.t:

"يؤمنون بالله واليوم الآخر ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويسارعون فى الخيرات واولئك من الصالحين"

Maksudnya: "Mereka beriman kepada Allah dan hari kiamat dan mereka mengajak ke arah yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka bersegera dalam hal-hal kebaikan dan merekalah terdiri dari golongan orang-orang yang soleh".
(Ali-Imran:114)

Pengkaderan ummah al-najihah tidak sempurna sebagaimana usaha untuk melahirkan masyarakat sentosa dan bahagia jua, tidak akan berjaya tanpa agenda amar makruf dan nahi mungkar direalisasikan. Setiap individu muslim dalam rangka mempertahankan wibawa diri dan masyarakat mereka dari pengaruh jahiliah moden yang kian mengancam, mestilah bingkas bangun menyusun aktiviti amar makruf dan nahi mungkar.

Firman Allah s.w.t:

"والمؤمنون والمؤمنات بعضهم اولياء بعض يامرمن بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلاة ويئتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله اولئك سيرحمهم الله ان الله عزيز حكيم"

Maksudnya: "Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menolong sebahagian yang lain, mengarah yang makruf dan mencegah kemungkaran mereka , mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya merekalah yang akan dirahmati oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Mha Bijaksana"
(At-Taubah:71)


MENINGGALKAN AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR: SATU IMPLIKASI BURUK

Manusia dikawal oleh undang-undang. Tiada satu negara pun yang tidak mempunyai undang-undang. Namun bagi umat Islam utusan wahyu Ilahi itu merupakan undang-undang yang bukan sahaja mengawal mereka di dataran bumi ini, malah terus berfungsi sehingga ke akhirat dengan memelihara mereka dari terjerumus ke lembah Jahannam.

Amar makruf dan nahi mungkar antara ceraian peruntukan undang-undang Islam yang mengawal manusia agar tidak menjadi mangsa kebuasan nafsu ammarah, sekaligus menyelamatkan mereka dari kebejatan noda dan dosa. Alangkah malang bagi manusia yang meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar tersebut. Justeru ia bermaksud meninggalkan perintah Allah atau mengelakkan diri dari undang-undang Allah s.w.t.

Keadaan ini meletakkan hubungan dengan Allah s.w.t. dan tiadalah implikasi yang paling buruk melainkan retaknya hubungan dua hala antara Allah dan hamba-Nya. Lebih ketara apabila implikasi itu menular sehingga menghancurkan peradaban manusia. Tanpa amar makruf dan nahi mungkar generasi manusia kehilangan pedoman, amal Islami kian terhakis dan aqidah ummah terancam.

Antara sedutan peristiwa dalam masyarakat umat Islam. Terdapat mereka yang mesti diarah dan dipandu untuk melakukan amal Islami. Tanpa arahan dan panduan itu, mereka akan membantu diri, kaku dan lesu. Fenomena inilah yang melumpuhkan umat Islam apabila amal Islami semakin hari semakin terhakis.

Sementara di satu sudut yang lain pula, terdapat mereka yang mesti dicegah dan dihalang supaya mereka meninggalkan perbuatan-perbuatan maksiat dan mungkar. Tanpa cegahan dan halangan itu mereka akan galak berani dan rakus. Fenomena inilah yang memusnahkan umat Islam apabila kemungkaran telah berakar umbi.

Sabda Rasulullah s.a.w:

"عن حذيقة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم: والذي بيده لتامرون بالمعروف ولتنهون عن المنكر او ليوشكن الله ان يبعث عليكم عقابا منه ثم تدعونه فلا يستجاب لكم

Maksudnya: "demi Tuhan yang diriku di dalam genggaman-Nya, sama ada kamu menyuruh kepada yang baik atau kamu mencegah kemungkaran atau hampirlah Allah menurunkan hukuman (bala) ke atas kamu lalu kamu berdoa kepada Allah maka doa itu tidak diperkenankan bagi kamu oleh Allah"

Firman Allah s.w.t:

واتقوا فتنة لا تصيبن الذين ظلموا منكم خاصمة واعلموا ان الله شديد العقاب

Maksudnya: "Dan takutlah olehmu akan fitnah (bala) yang tidak hanya ditimpakan kepada orang-orang yang zalim di kalangan kamu sahaja dan ketahuilah sesungguhnya Allah amat dahsyat pembalasannya"
(Al-Anfal:25)

Tegasnya, perbuatan meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar itu adalah satu perbuatan yang nyata mengundang kemurkaan dan bala Allah pastinya pula, apabila ianya diturunkan oleh Allah, semua pihak akan terlibat.

AKIVITI AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR


A-AMAR MAKRUF

  • Solat jemaah dan memakmurkan rumah Allah
  • Majlis ilmu, usrah, ceramah atau seumpamanya
  • Kem ibadah, tamrin, mukhayyam dan sebagainya
  • Kaunseling dan khidmat nasihat
  • Khidmat masyarakat-membantu faqir miskin dan sebagainya
  • Bina siturrahim
  • Ihya' Ramadhan dan hari-hari munasabah kebesaran Islam
  • Qiamullail dan zikir munajat
  • Kenduri kesyukuran, majlis tahlil dan sebagainya
  • Menyertai gerakan Islam dan aktiviti-aktivitinya
  • Ziarah kubur, orang sakit dan sebagainya
  • Tegur-menegur atau nasihat-menasihati
  • Iltizam dengan program kebajikan
  • Cipta suasana Islami
  • Rumahtangga muslim
  • Koperasi muslim
  • Dakwah Islamiyyah
B-NAHI MUNGKAR

  • Basmi kejahilan
  • Tegur penganjur-penganjur maksiat
  • Menghapuskan sumber-sumber maksiat
  • Memorandum bagi pihak berwajib
  • Tegur pemerintah yang zalim
  • Rondaan dan serbuan ke sarang-sarang maksiat atau buat laporan
  • Memusnahkan iklan-iklan yang menjolok mata
  • Memboikot dan membasni majalah-majalah hiburan dan unsur seks
  • Menghalang orang Islam mengunjungi pusat judi atau kasino
  • Menghindari majlis-majlis lagha
  • Tidak bersekongkol atau cenderung kepada pelaku maksiat
  • Bentuk skuad nahi mungkar

AMAR MAKRUF DAN NAHI MUNGKAR: SIKAP YANG DILAKNAT

Kedurhakaan manusia terhadap Tuhannya tidak terhenti setakat keengganan mereka melakukan kerja-kerja amar makruf dan nahi mungkar malah mereka pula yang memainkan peranan penting menggalakkan program-program mungkar sehingga ia kian berleluasa dan terlalu sukar untuk dihapuskan. Lebih meruncing keadaan apabila mereka bertindak lebih berani dengan menghalang usaha-usaha makruf yang diarahkan oleh sebahagian ummah yang prihatin terhadap urusan agama mereka.

Kewujudan golongan ini memberi saingan hebat kepada operasi amar makruf dan nahi mungkar. Persaingan tersebut bertambah kronik apabila aktivis amar makruf dan nahi mungkar di kalangan mereka yang mengaku muslim. Sedang amar makruf dan nahi mungkar ini hanyalah akan menjerumuskan mereka ke lembah yang amat dahsyat, sekalipun mereka mempunyai kuasa dan pengaruh di dunia ini.

Firman Alla s.w.t.:

"المنافقون والمنافقات بعضهم من بعض يامرون بالمنكر وينهون عن المعروف ويقبضون ايديهم نسوا الله فنسيهم ان المنافقين هم الفاسقون وعد الله المنافقين والمنافقات والكفار نار جهنم خالدين فيها هي حسبهم ولعنهم الله ولهم عذاب مقيم"

Maksudnya: "Orang-orang lelaki dan perempuan setengahnya adalah sama dengan setengah yang lain. Mereka masing-nasing menyuruh perbuatan yang jahat dan mencegah perbuatan yang baik dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil) mereka telah melupakan Allah (tidak mempeduli perintah Allah) dan Allah juga melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka dan Allah melaknat mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal"
(At-Taubah:67-68)


TIDAK CEGAH KEMUNGKARAN ADALAH SIKAP BANI ISRAEL

Sebahagian umat Islam hari ini mengambil jalan mudah. Enggan menyusahkan diri untuk mencegah kemungkaran. Mereka beranggapan bahawa memadailah mereka menjaga peribadi mereka dan tidak perlu menjaga tepi kain orang kononnya. Mereka lupa, sikap sedemikian amat berbahaya kerana ia telah memberi laluan selesa kepada aktiviti mungkar yang kelak apabila kemungkaran menguasai suasana, dirinya sendiri tirut menjadi mangsa kemungkaran.

Sebagai contoh: Kita membina rumahtangga muslim yang baik kita mendidik anak dan isteri dengan Tarbiyah Islamiyah. Syiar-syiar Allah dihidupkan dalam rumahtangga kita tetapi kita tidak pernah mempedulikan kemungkaran yang dilakukan oleh jiran kita, malah kita enggan untuk mencegahnya. Kita juga tidak menghiraukan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat dan pusat-pusat pengajian, seperti pergaulan bebas, hiburan yang berlebihan dan sebagainya. Persoalannya bolehkah kita selama-lamanya mengurung diri kita, isteri dan anak kita dalam sebuah rumah sehingga tidak terlibat dan berkomunikasi dengan masyarakat? Apakah kita tidak akan menghantar anak-anak kita ke sekolah atau universiti?

Persoalan ini harus direnung dengan basirah sebagai seorang muslim yang bertanggungjawab. Justeru itu, tiada sikap berkecuali dalam hal ini. Makruf wajib ditegakkan dan begitulah pula mungkar wajib ditegah. Keengganan untuk mencegah kemungkaran adalah satu sikap yang dilaknat oleh Allah sebagaimana Allah telah melaknat Bani Israel yang juga enggan mencegah kemungkaran yang berlaku.

Firman Allah s.w.t.:

"لعن الذين كفروا من بني اسرائيل على لسان داود وعيسى ابن مريم ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون كانوا لا يتناهون عن منكر فعلوه لبئس ما كانوا يفعلون"

Maksudnya: "Orang-orang kafir Yahudi dan Bani Israel telah dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Isa Ibn Maryam. Sedemikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampau. Mereka tidak saling cegah-mencegah (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan melampau yang mereka lakukan). Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang telah mereka lakukan"
(Al-Maidah:78)












0 comments:

Post a Comment