MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

KUMPULAN CERITA AJAIB, ANEH DAN MENCUIT HATI (SIRI 3)

SAYIDATINA FATIMAH MENGELILINGI SAYIDINA ALI 72 KALI
Diriwayatkan dari Salman Al-Farisi, dia berkata : "Fatimah r.a pernah menghadap Nabi Muhammad SAW. Ketika Nabi memandang beliau, kedua matanya mencucurkan air mata dan berubahlah air mukanya. Bersabdalah Nabi Muhammad SAW : "Mengapa engkau ini, hai puteriku?"

Fatimah menjawab : "Ya Rasulullah, telah terjadi senda gurau antara aku dengan Ali tadi malam. Ada sebuah kata-kata yang keluar dari mulutku yang menyebabkan dia marah. Setelah aku mengetahui bahawa Ali marah, menyesallah aku dan bersedih hati. Aku berkata padanya : "Duhai kekasihku, redhalah engkau kepadaku." Lalu aku mengelilinginya hingga tujuh puluh dua kali agar dia menjadi redha kepadaku, akhirnya dia telah tertawa di depanku. Tetapi aku tetap takut pada Tuhanku.

Bersabdalah Nabi Muhammad SAW : "Hai puteriku, demi Tuhan yang telah mengutusku dengan hak sebagai Nabi. Jika engkau mati sebelum engkau membuat redha Ali tentu aku tidak akan melakukan solat atas jenazahmu."

Kemudian Nabi SAW bersabda lagi : "Hai puteriku, tidak engkau mengetahui bahawa redha suami adalah redha Allah dan kemarahan suami adalah juga kemurkaan Allah. Hai puteriku, perempuan manapun yang beribadah dengan sebuah ibadah seperti ibadah Maryam puteri Imran, kemudian suaminya tidak redha kepadanya maka Allah SWT tidak akan menerimanya. Hai puteriku, yang paling utama di antara amal kaum perempuan adalah taat kepada suaminya. Sesudah itu tidak ada amal yang lebih utama bagi mereka daripada bertenun. Hai puteriku, duduk satu jam untuk menenun adalah lebih baik bagi mereka dari beribadah satu tahun, dan ditulis untuk mereka dengan setiap jenis pakaian dari tenunannya pahala orang mati syahid. Hai puteriku, seorang perempuan apabila menenun sehingga dapat memberi pakaian suaminya dan anak-anaknya wajiblah syurga baginya, dan Allah akan memberinya sebuah kota di syurga."

MORAL : Perempuan yang sudah mendirikan rumah tangga hendaklah taat pada suaminya selagi mana tidak bercanggah dengan syarak...

MISTERI TENGKORAK DAN SEORANG PENGGALI KUBUR
Dari Hasan Al-Basri rahmatullahi alaihi, dia berkata : "Aku pernah melihat Bahram bangsa Ajam pada suatu hari sedang menggali kubur. Dia mengambil tengkorak-tengkorak orang mati dan mencucuknya dengan tongkat pada lubang telinga tengkorak yang diambilnya. Jika tongkat itu dapat menembusi lubang telinga hingga ke lubang telinga yang lain, maka dia membuang tengkorak itu. Jika tongkat itu tidak dapat menembusinya sama sekali, maka dia pun membuangnya. Tetapi jika tongkat itu berhenti pada otak tengkoraki itu maka dia menciuminya lalu menguburnya kembali. Bertanyalah aku kepadanya mengenai semua kejadian aneh itu.

Bahram menjawab : "Kepala yang dapat ditembusi tongkat ini mulai dari lubang telinga yang satu ke lubang telinga yang lain, maka dahulunya dia mendengar nasihat dan pembicaraan yang hak. Tetapi keduanya masuk ke dalam satu telinga dan keluar dari telinga yang lain dan tidak menetap di dalam otaknya serta tidak mahu mengamalkannya. Jadi tidak ada kebaikan pada kepala itu. Sedang kepala yang tidak dapat ditembusi tongkat sama sekali, maka dahulunya dia tidak mahu mendengarkan nasihat dan pembicaraan yang hak kerana sibuk dengan kemahuan nafsu dan kesenangannya. Jadi tidak ada pula kebaikan pada kepala itu.

Adapun kepala yang hanya dapat ditembusi tongkat ini sampai ke otaknya, maka dahulunya dia mahu mendengar nasihat dan pembicaraan yang hak lalu menetap di otak dan mengamalkannya. Dialah yang diterima disisi Allah. Kerana itulah aku menciuminya dan menguburkannya kembali."

MORAL : Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Agama itu ialah nasihat." Maka para sahabat bertanya; "Bagi siapa?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemerintah muslim, pemimpin muslim, ulama' Islam dan bagi orang sesama muslim." (HR. Bukhari Muslim)

BENDERA PARA NABI DAN WALI
SAMNUN telah mengahwini seorang perempuan di akhir umurnya dan perempuan itu melahirkan seorang anak perempuan. Ketika anak itu berumur tiga tahun, dia sangat menyayangi anaknya. Dia bermimpi dalam tidurnya seakan-akan kiamat telah tiba. Bendera-bendera semua Nabi dan Wali telah dipasang dan dibelakang mereka terdapat sebuah bendera yang tinggi dan cahayanya memenuhi angkasa. Dia bertanya mengenai bendera itu dan dijawab bahawa bendera adalah bendera orang-orang yang cinta kepada Allah yang murni. Samnun melihat bahawa dirinya berada di antara mereka. Tetapi datanglah Malaikat dan mengeluarkannya dari rombongan itu.

Samnun berkata : "Aku adalah orang yang cinta kepada Allah, sedang ini adalah bendera orang-orang yang cinta kepada Allah. Lalu mengapa engkau mengeluarkan aku?"

Malaikat itu menjawab : "Ya, engkau memang termasuk orang-orang yang cinta kepada Allah SWT. Tetapi setelah kecintaanmu kepada anakmu tertanam di hatimu maka kami menghapus namamu dari senarai orang-orang yang cinta kepada Allah SWT."

Maka menangislah Samnun dan berdoa dalam tidurnya dengan katanya : "Ya Tuhanku, jika anak itu merupakan penghalang bagiku dari-Mu, hindarkanlah dia daripadaku, agar aku dapat dekat dengan-Mu berkat belas kasih-Mu dan kemurahan-Mu." Seketika itu dia mendengar suara berteriak : "Aduh celaka." Terbangunlah dia dan bertanya : "Ada apa dengan teriakan itu?"

Beberapa orang berkata : "Anak perempuanmu terjatuh dari bumbung rumahmu, dan terus meninggal dunia."

Mendengar itu Samnun berkata : "Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menyingkirkan penghalang dari diriku."

MORAL : Dahulukan cinta akan Allah dari cinta akan manusia...

MUHAMMAD ALIF BIN AHMAD MAHIR
USULUDIN TAHUN 2

0 comments:

Post a Comment