MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

1. NUSAIBAH BINTI KA'AB AL-ANSARIYAH R.A.

1. Berlumba-lumba Untuk Mendapat Kemuliaan

Sesungguhnya golongan para sahabat wanita tidak pernah ketinggalan dari kebaikan dan nilai-nilai kemuliaan bagi golongan para sahabat lelaki, tetapi mereka berlumba-lumba untuk mencapainya bahkan mereka menyaingi golongan sahabat lelaki dalam penyertaan berjihad.

Nusaibah binti Ka'ab bin Amr bin Auf bin Mabzul Al-Ansariyah Al-Kazrijah An-Najjariyah Al-Maziniyyah, yang sering dipanggil dengan gelaran Ummu Imarah adalah salah seorang golongan sahabat wanita yang terkenal pada zaman pemerintahan Islam, yang telah mati syahid di medan jihad, ilmu, ibadah, warak dan keimanan.

2. Keluarga Yang Mulia

Ummu Imarah atau Nusaibah r.a. hidup dan membesar dalam lingkungan keluarga yang dikenali dengan tahap kemuliaan. Keluarganya berasal dari golongan keluarga yang sangat mulia, yang sentiasa berkhidmat untuk Islam dan Muslimin sesuai dengan kemampuan mereka. Di antara keluarga ini ada seorang pejuang wanita Ansar, iaitu Ummu Imarah r.a.

Saudara kandungnya yang bernama Abdullah bin Ka'ab Al-Maziniy termasuk di antara sahabatyang ikut serta dalam perang Badar. Saudara lain yang bernama Abdurrahman dianggap salah seorang sahabat yang termasuk dalam golongan Al-Bukkain (yang sentiasa menangis).

Suaminya yang bernama Zaid bin Ashim termasuk dalam golongan awal yang memeluk Islam dan kedua-dua orang puteranya yang bernama Habib dan Abdullah adalah sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka merupakan pasukan berkuda keluaran Madrasah Al-Nubuwahi. Mereka telah menghiasi sejarah dengan segala amalan mereka yang mulia.

Ketika suaminya meninggal dunia, dia menikah lagi dengan Ghaziyyahbin Amrin bin Athiyyah An-Najjari. Daripada suami yang kedua ini dia memiliki dua orang anak yang bernama Tamim dan Khaulah. Keluarga yang penuh dengan kebahagiaan ini termasuk dalam golongan orang-orang yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. dengan Islam. Mereka sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam dan berkorban demi agama Islam.

3. Seorang Sahabat Wanita Yang Mujahidah

Setiap orang dari pejuang muslim memiliki kedudukan yang dapat dikenali. Kedudukan ini adalah suatu kemuliaan yang dapat dibanggakan daripada sejarah kehidupannya yang akan diceritakan oleh orang lain sesudah kematiannya.

Tidak ada satu pun sejarah yang lebih mengharukan hati dan jiwa daripada sejarah dan kedudukan Ummu Imarah (Nusaibah) yang telah melalui banyak peperangan dalam hidupnya dalam menegakkan agama Allah s.w.t. Beliau adalah pejuang muslimah pertama dalam Islam.

Imam Al-Zahabi pernah berkata : "Ummu Imarah yang mulia adalah seorang mujahidah, turut serta menyaksikan Bai'at Al-Aqabah, perang Uhud, perang Al-Hudaibiyah, perang Hunain dan perang Yamamah. Masyhad (peristiwa) pertama yang dapat kita lihat sikap patriotisma ini adalah dalam Bai'at Al-Aqabah yang juga diikuti oleh seorang perempuan lain yang bernama Asma binti Amrin atau Ummu Mani'.

Ketika perang Uhud terjadi, Ummu Imarah keluar untuk memberikan minuman kepada pasukan muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang terluka. Tatkala pasukan muslimin mula terdesak dalam perang tersebut setelah menguasai sebelumnya dan lari daripada peperangan, kecuali hanya beberapa orang sahaja yang tetap bertahan, maka Ummu Imarah menghunus pedangnya dan menggunakan perisai (alat pelindung sewaktu perang) serta melindingi Rasulullah s.a.w. daripada jangkauan musuh.

Ummu Imarah selalu berusaha untuk melindungi Rasulullah s.a.w. ketika perang Uhud daripada segala bahaya yang datang daripada musuh. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Saya tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu Imarah berperang di hadapanku." (Segala puji bagi Allah yang memenangkanmu).

Peranh Uhud masih berlanjutan, keluarga mujahidah mengelilingi Rasulullah s.a.w. untuk melindinginya. Ketika salah seorang anaknya yang bernama Abdullah terluka parah, Ummu Imarah mengikat luka tersebut sambil berkata : "Bangun wahai anakku! Anaknya terus melawan para kaum musyrikin." Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Wahai Ummu Imarah! Siapakah yang mampu lakukan seperti apa yang telah kamu lakukan?"

Ketika kaum musyrik yang melukai anaknya semakin dekat, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Ummu Imarah : "Ini dia orang yang telah melukai anakmu", seketika itu juga Ummu Imarah menghampiri orang tersebut dan berjaya melukai betis orang tersebut dengan pedangnya. Rasulullah s.a.w. tersenyum sambil berkata : "Ya Ummu Imarah! Engkau telah berjaya membalasnya."

Kemudian Ummu Imarah bersama yang lain berjaya membunuh orang musyrik tersebut. Rasulullah .s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Segala puji bagi Allah yang telah memenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu di hadapanmu."

4. Para Penghuni Syurga

Ummu Imarah mengalami luka yang sangat banyak ketika perang Uhud. Luka yang paling dalam terdapat di bahunya. Rasulullah s.a.w. memeriksa luka Ummu Imarah dan memerintahkan anaknya yang bernama Abdullah supaya mengikat luka tersebut sambil bersabda yang bermaksud : "Semoga Allah s.w.t. sentiasa memberkati dan merahmati kamu sekalian."

Ketika Ummu Imarah mendengar sabda tersebut, dia pun berkata : "Ya Rasulullah! Mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti." Rasulullah s.a.w. berdoa yang bermaksud : "Ya Allah! Jadikanlah mereka semua yang menemaniku dalam syurga kelak." Lantas Ummu Imarah berkata : "Aku tidak pernah mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia."

5. Selalu Menyertai Peperangan

Ummu Imarah ikut serta dalam perang Bani Khuraizhah. Ketika perang Al-Hudaibiyah, Ummu Imarah telah mengasah pisau kerana bimbang kaum musyrikin mengingkari perjanjian. Dia turut serta dibai'atkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam Bai'at Ar-Ridhwan. Dia termasuk golongan sahabat yang mendapat keredaan Allah s.w.t.

Sesudah itu, Ummu Imarah turut dalam perang Khaibar, Umrah Al-Qadha (pengganti) dan perang Hunain. Dalam perang Hunain dia memiliki manqif (kedudukan) yang tidak kurang pentingnya daripada perang Uhud. Dia termasuk salah seorang daripada seratus orang sahabat yang sabr dan tabah, ketika yang lain mula was-was dengan kekuatan muslimin dan dia juga berjaya membunuh salah seorang daripada pasukan berkuda orang musyrikin.

Perang terakhir yamg diikuti oleh Ummu Imarah adalah perang Yamamah untuk memerangi orang-orang murtad yang diketuai oleh Musailamah Al-Kazzab pada zaman Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq. Beliau berperang dengan gigih, meskipun salah satu tangannya terputus, kerana keinginannya yang kuat untuk menghancurkan musuh-musuh Allah s.w.t. sebagai ungkapan terima kasih dengan berakhirnya fitnah tersebut.

Ketika mujahidah agung ini kembali ke bandar Madinah, salah satu anggota badan (tangan) telah mendahuluinya memberikan khabar gembira tentang syurga dan dia tetap mendapat kedudukan yang mulia selama zaman khalifah Ar-Rasyidah. Khalifah Abu Bakar sentiasa menziarahinya dan bertanya tentang keadaannya. Sementara itu, Umar memberinya pakaian yang bagus disebabkan kedudukan Ummu Imarah yang mulia dan termasuk di antara yang paling awal memeluk Islam.

Alngkah baiknya Abu Nu'aim ketika dia menerangkan tentang Ummu Imarah dengan ucapannya : :Ummu Imarah adalah salah seorang yang turut berbai'at di Aqabah, seorang mujahidah dan merupakan seorang yang memiliki kemuliaan, ijtihad, puasa, ibadah dan pendirian yang kukuh."

6. Memahami Kandungan Al-Quran dan Hadis

Ummu Imarah juga menunjukkan kelebihan dalam memahami Al-Quran sebagaimana dia menunjukkan kelebihan semasa berjihad. Suatu ketika dia datang menghadap Rasulullah s.a.w. sambil berkata : "Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut dalam Al-Quran sebagaimana halnya kaum lelaki." Lalu turunlah firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Sesungguhnya lelaki muslim dan perempuan-perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukminah...."

Ummu Imarah telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah s.a.w. dan diriwayatkan daripada cucunya Abad bin Tamim, Al-Harith bin Abdillah bin Ka'ab dan Ikrimah hamba sahaya Abdullah bin Abbas. Di antara hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Imarah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkunjung ke rumahnya. Ummu Imarah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. mempelawanya untuk makan bersama, dia menjawab : "Ya Rasulullah! Aku berpuasa." Rasulullah s.a.w. pun bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang berpuasa itu ketika orang makan di sekelilingnya, maka malaikat akan solat ke atasnya hingga mereka selesai makan."

Kunjungan Rasulullah s.a.w. ke rumah Ummu Imarah menunjukkan dia termasuk golongan orang yang mulia dan juga bukti karamahnya, ibadahnya, zuhudnya kerana dia sentiasa puasa sunat.

7. Karamah Ummu Imarah

Ummu Imarah memiliki sejumlah karamah yang patut untuk disebutkan. Di antaranya adalah usahanya untuk bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. mencukur rambutnya di Al-Hudaibiyah, para sahabat berusaha untuk mendapat rambut tersebut. Ummu Imarah , mengambil beberapa helai rambut tersebut. Biasanya rambut tersebut dicuci dengan menggunakan air yang akan digunakan si pesakit untuk mandi dan meminumkannya dengan air tersebut. Dengan izin Allah s.w.t. si pesakit akan sembuh.

Ketika salah satu tangannya terputus pada waktu perang Yamamah, tangan yang selalu digunakannya untuk melindingi Rasulullah s.a.w., ramai orang yang datang bersama keluarga mereka yang sakit untuk berubat dengannya. Ummu Imarah akan mengusap si pesakit tersebut sambil berdoa untuknya. Dengan izin Allah, si pesakit tersebut akan sembuh.

8. Allah Reda Dengan Kematiannya

Kita telah hidup beberapa saat bersama seorang sahabat yang memiliki sejarah kehidupan yang sangat mengharukan. Beliau adalah seorang ibu bagi anak-anaknya, seorang isteri yang penuh kasih sayang, seorang mujahidah mulia, seorang ahli hadis dan seorang yang selalu meningkatkan tahap keimanannya. Seseorang akan membaca sejarah hidup Ummu Imarah apabila membaca sejarah golongan para sahabat wanita yang lain. Dia akan mendapt kisah tentang penyertaanya dalam Bai'at Al-Aqabah dan Al-Hudaibiyah. Dia telah mula dan menutup kehidupannya dengan menjawab panggilan Ilahi sehingga kematiannya. Dia telah meninggalkan sejarah hidup yang patut untuk dicontohi oleh setiap wanita yang ingin mencapai kemuliaan dalam hidup.

Di akhir cerita sejarah kehidupan Ummu Imarah bersama keluarganya, marilah kita berdoa semoga Allah s.w.t. menjadikan kita sebagai kawan bagi mereka di syurga kelak. Selamat jalan wahai sahabat yang mulia.

Rujukan

-
Kitab Nisa' Min 'asr An-Nubuwwah

MUHAMMAD ALIF BIN AHMAD MAHIR
USULUDIN TAHUN 2
ZAGAZIG