MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

Yg Lahir Pasti Mati

Setiap yang lahir mesti mati, betul tak??? kisah kali ni mungkin ada banyak istifadah yang dapat kita ambil, jangan sangka dalam gurauan Juha, takde hikmahnya...

Ade skli tu Juha pinjam periuk besar dengan jiran di sebelah rumahnya, selang beberapa hari juha pun memulangkan periuk tu kembali berserta satu lagi periuk kecil disebelah dalam periuk besar tu. Jiran yang tengok periuk kecik tu pun pelik lalu mengajukan soalan:

Jiran : Periuk kecil ini datang dari mana???
Juha : ooo, periuk kecil ni, anak si periuk yang besar ni, periuk ni la yg melahirkannya..
Jiran : ????? tercengang

Tapi dah rezki depan mata, bedal je la si jiran ni, tanpa memikirkan masa depan yang dia akan hadapi bersama Juha yg amat bijaksana, tanpa mengingkari kata-kata Juha yg tak masuk dek akal td tu, Jiran tu pun senyap je la...

Selang beberapa minggu, sekali lagi Juha meminjam periuk dari jiran tu. Jiran tu pun apalagi, memberi tanpa segan silu la, takut2 kan periuk tu boleh beranak lagi la kot... tapi hari demi hari, Juha tak jugak pulangkan periuk tu. Jiran yang bengang ni pun pergilah berjumpa dgn Juha.

Jiran : Oi, periuk aku yg ngko pinjam hari tu, mana hang campak, tak tahu nak pulangkan balik ke???
Juha : ooo, periuk hang tu dah mati
Jiran : aik, periuk pun boleh mati ke?
Juha : dah boleh beranak, mesti boleh mati, periuk tu mati ketika cuba nak lahirkan anak dia...
Jiran : "Tersenyap tanpa mampu berkata apa2 sebab hr tu dia terus dengo je ckp juha tanpa menafikannya"

Hamil 6 bulan


Memang kita tak nafikan, menceritakan keistimewaan merupakan satu kempen utama bg melariskan barang jualan, tapi tak boleh plak nak kita samakan pd smua prkara,mgkin sstgh tu mrupakan klbhn bg prkara prtma,namun mrupakan kecelaan buat yg satu lagi.

Ada la skali tu, ketika Juha brjln2 di pasar,lintaslah dia di hadapan penjual lembu, namun Juha sedikitpun tidak trtarik dgn lembu2 yg dijual. Si penjual pun apa lagi, dgn secepat mgkin dia pun menarik Juha, lalu menceritakan kelebihan yg ada pd lembu trsbut, dan diantaranya adalah lembu itu sedang hamil 6 bulan.

Selang beberapa hari dari kejadian tersebut, datanglah rombongan untuk meminang anak perempuan Juha. Rombongan tresebut disambut dengan cukup mesra. Selepas perbualan dan beberapa pertanyaan diajukan, Juha mula cuba mempromosikan kelebihan yang ada pada anaknya seperti cantik, rajin dan sebagainya, namun rombongan tersebut kebengongan apabila Juha menyatakan yang anak gadisnya itu telahpun hamil selama 6 bulan, juha juha...

Kalaulah Yang Mati Itu Kita.......






kalaulah yang mati itu kita... bagaimana?


Anda biasa mendengar berita kematian?

Biasanya, apabila kita mendengar berita kematian, maka secara tidak langsung kita akan mengirimkan ucapan takziah. Kita akan berusaha menzahirkan kesedihan yang teramat sangat semampu kita kepada keluarga si mati. Kalau yang mati itu ahli keluarga kita, tambahlah kita terasa akan kesedihannya.

Memang, kesedihan itu satu perkara yang normal. Maka bersedihlah seadanya, selagi kesedihan kita itu berada dalam lingkungan keredhaan kepada ALLAH SWT.

Tapi, setiap kali mendengar berita kematian, pernah tak kita terfikir satu perkara?

“ Kalaulah yang mati tu aku, macam mana?”

Apa perasan anda, kalau berita kematian itu bukan berita kematian orang lain, tetapi merupakan berita kematian anda?

Bagaimana?


Persoalan itu, dilontarkan oleh sahabat karib saya. Bila difikir balik, perntanyaan itu nyata menusuk kalbu.

Mati, bukanlah pengakhiran bagi segala-galanya.

Manusia yang menganggap bahawa mati adalah penyelesai segala masalah, dan penamat bagi segala sengsara, merupakan manusia yang cetek akalnya. Mati, hanyalah sebuah pintu untuk kita menembusi sebuah alam lain.

Selepas mati, kita akan masuk ke alam barzakh. Di alam barzakh inilah, kita disukat awal berdasarkan soalan-soalan yang akan disoal oleh Malaikat Munkar dan Nakir. Di alam barzakh inilah, beberapa amal kita, akan menjadi peneman menjalani kehidupan di sini. Andai kita merupakan seorang yang beramal soleh, maka akan dibukakan untuk kita pintu-pintu syurga agar kita sentiasa rindu kepadanya dan berlapang dada untuk menunggu di alam barzakh. Andai kita merupakan seorang yang beramal buruk, maka akan dibukankan untuk kita lubang-lubang neraka, agar kita sentiasa resah dan rasa terseksa untuk menunggu datangnya hari kebangkitan, hari perhitungan.

Selepas alam barzakh, akan berlaku saat kebangkitan. Manusia akan dipindahkan pula ke alam perhitungan, di padang mahsyar. Hari itu, adalah hari perhitungan atas segala amal yang dibuat oleh manusia. Tiada siapa yang akan mendapat naungan, melainkan naungan yang dibenarkan oleh ALLAH SWT sahaja. Tiada siapa yang selamat, melainkan yang datang kepada ALLAH dalam keadaan hatinya yang sempurna.

“ Hari yang tidak berguna harta dan anak pinak, kecuali yang datang kepada ALLAH dengan hati yang sejahtera” Surah Asy-Syu’ara’ ayat 88-89.

Selepas saat perhitungan, manusia akan bergerak ke salah satu dari dua tempat. Itulah dia Neraka dan Syurga. Salah satunya akan menjadi tempat tinggal kita.

Nah, mati adalah pintu untuk kita memasuki alam-alam itu.

Kalau kita perhatikan, alam selepas mati amat berbeza sekali dengan alam sebelum mati. Pada alam selepas mati, sudah terpadam ikhtiar daripada manusia. Manusia tidak lagi dibenarkan berusaha, beramal, jauh sekali hendak berbuat keburukan. Selepas melangkah pintu kematian, amal sahaja yang menjadi teman. Seperti mana yang didendangkan oleh Opick di dalam lagunya:

“ Bila waktu memanggil, teman sejati hanyalah amal. Bila waktu telah terhenti, teman sejati

tinggal lah sepi”


Apa yang dilakukan semasa di dunia itulah yang menemani perjalanan seorang HAMBA selepas melangkahi pintu kematian ini. Maka, tersedarlah manusia ketika itu betapa dia telah membazirkan satu-satunya peluang yang dia ada untuk berusaha, iaitu semasa kehidupannya. Diceritakan di dalam Al-Quran, ada golongan yang merayu-rayu meminta untuk ALLAH memulangkan mereka semula ke dunia. Tetapi, semuanya sia-sia sahaja.

“ Dan alangkah ngerinya jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang menderhaka itu menundukkan kepala mereka di hadapan RABB mereka, mereka berkata: Wahai RABB kammi, kami telah melihat dan mendengar(siksaan-siksaan yang disediakan), maka kembalikanlah kami(ke dunia), nescaya kammi akan mengerjakan kebaikan. Sungguh kami adalah orang-orang yang benar-benar yakin” Surah As-Sajdah ayat 12.

Bagaimana agaknya, kalau berita kematian yang kita dengar itu adalah berita kematian kita?

Bagaimana agaknya, kalau kematian orang yang kita dengar itu, adalah kematian kita?

Saya, terfikirkan perkara ini. “ Kalau waktu tu bukan dia yang mati, tapi aku, macam mana?”

Memang satu sentapan keras terasa di dalam hati. Rasa takut yang menusuk terasa di dalam diri ini. Bila mati, tertutuplah pintu amal, terkuncilah pintu taubat.

“ Maka pada hari ini tidak akan diterima tebusan(berupa amal dan taubat) daripada kamu, mahupun daripada orang-orang kafir. Tempat kamu adalah di neraka. Itulah tempat kamu berlindung, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali” Surah Al-Hadid ayat 15.

Bagaimana agaknya kalau yang mati itu kita?

Tiadalah mati itu datang dengan amaran. Mati datang bila-bila masa sahaja. Tidak akan cepat sesaat, tidak akan lewat sesaat. Bila saat tiba, maka tanpa ternanti-nanti, nyawa kita akan terus ditarik. Tiada notis seminggu awal, atau pun tidak rayuan akhir yang boleh dibuat. Bila mati, maka mati sahaja pilihan yang ada. Bagaimana segala dosa? Bagaimana dengan amal yang tidak dilakukan selama ini dengan tidak bersungguh-sungguh?

“ …Maka apabila ajal mereka tiba, mereka tidak akan mampu meminta kelewatan walau sesaat, atau mempercepatkannya” Surah An-Nahl ayat 61.

Bagaimana agaknya itu?, bagaimana agaknya ini? Kita akan terfikir segala perkara. Mati yang menyakitkan tambah mengingatkan kita segala kesilapan dan kesalahan kita selama hidup, baik yang kita ingat mahupun yang kita lupa.

Bagaimana agaknya, kalau bukan orang lain yang kita dengar beritanya itu mati, tetapi kitalah yang mati? Bagaimana agaknya?

Sesak. Memang sesak. Takut. Memang menakutkan.

Maka, bersyukurlah dengan kehidupan yang masih bersambung ini.

Bersyukurlah nyawa kita yang masih banyak kesilapan ini tidak ditarik.

Maka, dengan ‘bonus’ hayat yang masih disambungkan ALLAH ini, apakah yang anda hendak lakukan?

Apakah anda hendak mempersiakan?

KEMBALIKAN KREDIBILITI ISLAM DI TIMUR TENGAH

Tahun 2011 merupakan tahun yang tercatat dalam sejarah dunia sebagai tahun kebangkitan rakyat di Timur Tengah. Revolusi kebangkitan masyarakat Arab telah membuka mata dunia akan hakikat dan realiti corak dan adunan demokrasi sebenar pemimpin di negara Arab. Masyarakat Arab telah menunjukkan taring dan bisa tanpa sekelumit ketakutan, puluhan tahun dek makan keturunan memendam keperitan dan muak akan tindasan, kongkongan, tekanan terhadap rejim pemerintah. Revolusi timur tengah seolah berangkai, dari Tunisia, Algeria, Lubnan hingga ke Mesir. Keberanian rakyat Tunisia dalam merubah corak pemerintahan yang baru sebenarnya hanyalah sebuah permulaan. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang berpusat di Kaherah Mesir turut menyaksikan gelombang kemarahan rakyat Mesir khususnya terhadap rejim pemerintah Mubarak.

TEKANAN PUNCA KEBANGKITAN

Tunisia bergerak dengan sistem pemerintahan sekular sejak kemerdekaan dari jajahan Perancis pada tahun 1956. Zine al-Abidine Ben Ali menunjukkan lagak positif sejak awal pentadbiran beliau pada tahun 1987. Beliau memperkenalkan kebebasan akhbar, dan membebaskan beberapa dari kalangan ahli politik. Namun disebalik perubahan hanyalah kekaburan semata. Dalam pada masa yang sama, pihak berkuasa tidak membiarkan mereka yang lantang melawan dasar pembawakan kerajaan, terutama dari kalangan aktivis ‘human rights’(hak asasi manusia). Sekular masih tegar dan menjadi pusaka pemerintah negara itu. Pihak pembangkang pernah membantah dan mengutuk terhadap tindakan Zine al-Abidine merombak perlembagaan semata-mata untuk menjalankan pemilihan semula pada tahun 2004 dan pada tahun 2009. Sudah memadai 99.9% kemenangan sasaran pihak pemerintah. Rakyat tidak sepenuhnya mendapat mandat dalam demokrasi piliharaya. Di Mesir, peranan dari segenap golongan menjadikan negara tumpuan dalam revolusi. Kebangkitan dari golongan muda menjadi tulang belakang kebangkitan dan kesedaran kepada seluruh masyarakat Mesir. Jika diimbas kembali, sebelum berlakunya revolusi Mesir, Mesir mengalami krisis keagamaan antara masyarakat Islam dan al-Masih (Kristian). Ketegangan berlaku selepas kejadian kes pengeboman di sebuah gereja di Iskandariah pada malam sambutan tahun baru 2011 yang membabitkan 21 kematian. Namun, segalanya berubah selepas bermulanya ‘day anger’ dari yang muda, tua, golongan professional dan intelek, kaum wanita, fakir miskin, penganggur, kakitangan kerajaan, pembangkang mahupun parti kerajaan, pelajar dan graduan, samada Islam atau Kristian, mereka berganding dan sedia berkorban dalam memastikan pemerintahan rejim Mubarak jatuh setelah 30 tahun kuasa ber-autokratik.

KONGKONGAN UNDANG-UNDANG

Mesir dikelaskan tempat ke-98 antara negara yang tercorot dalam membanteras anti-korupsi yang dicatatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kajian tahun 2010. Sejak peralihan kuasa dari bekas Presiden Anuar Sadat yang mati dibunuh tahun 1981, undang-undang darurat 1958 masih diguna pakai. Tafsiran undang-undang ini sahaja sebenarnya telah menunjukkan secara keseluruhan corak pemerintahan kuku besi Husni Mubarak. Antara fasal yang digesetkan ialah : kuasa polis dilanjutkan. Hak perlembagaan ditangguhkan. kawalan (maklumat) digesetkan, kerajaan akan memeranjakan individu tanpa batas waktu dan tanpa alasan. Undang-undang menyekat aktiviti politik selain politik dari kerajaan, termasuk demontrasi dijalanan, organisasi politik yang tidak diiktiraf, dan undang-undang sumber kewangan tidak akan didaftarkan(sumber luar). Kerajaan Mubarak telah menyebutkan ancaman keganasan dalam rangka untuk melanjutkan undang-undang darurat tersebut, undang-undang penahanan aktivis tanpa reman. Undang-undang sita secara tersembunyi tanpa didokumenkan, termasuk universiti, masjid, kakitangan surat khabar berdasarkan kecenderungan politik mereka. Serta banyak lagi ketetapan yang membuktikan rejim Mubarak takut dengan bayang-bayang mereka sendiri.

CENGKAMAN PIHAK BERKUASA

Dalam lima tahun lalu, rejim Mubarak menafikan tuduhan dari organisasi hak asasi dari dalam dan luar Negara terhadap kekejaman pihak polis terutamanya ketika penahanan reman dibuat. Penyeksaan yang dilakukan pihak Polis terbukti setelah terdapat video rakaman yang telah disebarkan dan ternyata pihak kerajaan tidak dapat menafikan lagi. Pertubuhan Hak Asasi Manusia (Mesir) mencatatkan 30 kes penyeksaan/dera tahanan selama tahun 2009 dalam pelbagai uji coba terdakwa dugaan bahawa polis menyeksa mereka selama soal siasat Mereka(Polis) demi untuk mengekstrak maklumat mahupun pengakuan, penyeksaan sehingga membawa kematian telah diketahui umum. Kerahan pasukan Polis berpakaian preman yang dibayar oleh pemerintah berkuasa Mubarak, Baltageya (Arab: بلطجية), telah menjadi ciri khas dari kerajaan Mubarak, Pertubuhan Hak Asasi Manusia(Mesir) telah merekodkan 567 kes penyiksaan termasuk 167 kematian oleh polis yang terjadi antara tahun 1993 dan 2007. Pada tarikh 6 Jun 2010 Khaled Mohamed Saeed meninggal dunia dalam keadaan pergaduhan di kawasan Sidi Gaber, Alexandria. Beberapa saksi membuat pengakuan bahawa Saed dipukul sampai mati oleh pihak Polis. Jika nak dibandingkan dengan negara-negara arab yang lain, sistem pihak berkuasa Polis di Mesir lebih menakutkan lebih-lebih lagi dengan kewujudan Penjara ‘kes politik’. Berbeda dengan Tunisia, pihak Polis secara terang-terangan menyatakan tidak puas hati terhadap birokrasi dalam melaksanakan undang-undang terhadap rakyat. Sekurang-kurangnya, 2000 anggota polis perlbagai jabatan, peguam, hatta pegawai-pegawai bomba. Mereka turut ingin menjadi sebahagian dari revolusi.

PENIPUAN PILIHANRAYA

Pemilihan yang didasari rasuah, pemaksaan untuk tidak memilih, dan manipulasi keputusan pilihan raya telah banyak terjadi selama pemilihan selama 30 tahun. Sehingga tahun 2005, Mubarak adalah satu-satunya calon yang dicalonkan sebagai Presiden, samada ia dibantah mahupun tidak. Mubarak telah memenangi pemilihan kerusi Presiden lima kali berturut-turut dengan menyapu bersih majoriti. Kumpulan-kumpulan pembangkang dan agensi-agensi pemantau pilihanraya antarabangsa telah menyatakan bahawa pemilihan di Mesir adalah diragui ‘kebersihannya’. Badan-badan ini tidak dibenarkan untuk menjadi badan bebas dalam memantau pilihanraya. Seorang calon pembangkang Ayman Nour tampil berani dan pertama dalam sejarah Mesir untuk bertanding kerusi Presiden baru-baru ini, beliau telah dipenjarakan sebelum pilihan raya 2005. Menurut tinjauan PBB, penyertaan pemilih sangat rendah (sekitar 25%) kerana kurangnya kepercayaan dalam sistem pilihanraya yang korup.

MEMBURUKKAN IMEJ AGAMA SENDIRI

Negara-negara arab Timur Tengah dasarnya menunduk dan menjadikan barat sebagai ikutan dan rujukan mereka. Namun, disebalik ikutan tersebut, dalam hal berkenaan demokrasi, mereka lebih teruk dan sangat kotor permainan mereka kepada rakyat. Mengapa dalam hal demokrasi mereka tidak boleh menjadikan barat sebagai ‘rujukan’ mereka. Barat berjaya memukau untuk dijadikan ‘role model’ dari seluruh dunia, memreka membuktikan bahawa merekalah yang sangat baik dalam demokrasi. Pemimpin negara arab Timur Tengah realitinya memalukan agama Islam mereka sendiri, pemerintahan mereka telah membuka mata masyarakat dunia bahawa Islam sangat lemah dan kotor memimpin negara. Islam sudah tidak lagi pandai untuk menjaga kuasa. Masyarakat celik dan memuji-muja akan negara barat terhadap pukauan demokrasi mereka. Masyarakat perlu akui, walau apapun niat jahat mereka(barat) dalam bertopengkan demokrasi, tetapi mereka jugalah yang betul-betul melaksanakan demokrasi berbanding pemimpin Islam di Timur Tengah. Amat sukar untuk mempercayai bahawa umat islam sendiri telah menjatuhkan aib dan kredibiliti Islam untuk memimpin negara. Makanya, masyarakat akhir sekali akan menuntut, dahaga dan berhajat akan ajaran-ajaran dari dunia barat. Rakyat mula positif dengan setiap tindak tanduk negara-negara barat. Masyarakat sudah tidak lagi meragui akan agenda dan konspirasi negara berkuasa dunia itu. Rakyat era revolusi ini moga-moga menunjukkan anjakan paradigma dalam sistem birokrasi memerintah. Dan semoga Islam dikembalikan kepercayaan pada mata dunia.

Imej Kredebiliti Islam itu sekarang ini terletak diatas tangan rakyat dan pemimpin selepas era revolusi ini.

RAMADHAN 40 HARI


Menjadi rutin harian Juha pada bulan Ramadhan, dengan melontar seketul batu ke dalam sebuah tempayan untuk menunjukkan bilangan hari yang telah dia puasa. Nak jadikan cerita, pada suatu hari, perbuatan dia telahpun dilihat oleh anak perempuannya, oleh disebabkan tidak memahami apa kehendak ayah dia, budak perempuan ni pun mengambil segenggam batu dengan tangannya,lalu diisi ke dalam tempayan tersebut dengan menyangka perbuatnnya itu dapat membantu ayahnya.

Hari berlalu hari, adalah sehari tu, datang jiran sebelah rumahnya bertanyakan :

Jiran : Berapa hari lagi ye kita nak raya?
Juha : Berapa hari lagi aku tak tahu, tapi berapa hari dh puasa, aku tahu.... Tunggu jap

Juha pun lantas pergi ke tempayan berikut, lalu mengira satu persatu batu yang ada di dalam tempayat tersebut sehingga menjangkau angka 120 biji. Timbul di fikiran Juha :
" kalau aku bgthu angka ni, tentu mereka akan terkejut, takpelah aku kurangkan sampai 40 hari cukuplah "
Kemudian juha pun keluar lalu memberitahu jirannya :

Juha : Kita dah pose 40 hari lebih kurang la
Jiran : "gelak "
Juha : Aku tahu la, sebenarnya memang lebih drpad tu, Ramadhan ni mmg bulan yang panjang bg mereka2 yang berpuasa, aku tak tergamak untuk memberitahu angka yang sebenar, takut2 mereka terkejut...

Hiburan Menurut Pandangan Syarak

Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh dunia. Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.

Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.

Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:
"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."
Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:
"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."
Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.
Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.
Kesimpulan:
Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.
Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.

Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.

SUMBER : http://pmram-manhal.blogspot.com