MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

UMMU RUMAN BINTI AMIR r.a.

1. Ummu Qura

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ketika Ibrahim berkata : "Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) aman sentosa..." (Ibrahim : 35). Bandar Mekah adalah bandar yang sentiasa dituju oleh manusia daripada segala penjuru. Di tengahnya terdapat Al-Bait Al-'atiq (Kaabah) yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai tempat pulang bagi manusia (tempat ziarah) serta aman. Diceritakan terdapat satu rombongan kecilyang berasal dari dataran tinggi menuju ke Mekah yang aman dan tenteram untuk tinggal di sana. Rombongan kecilini hanya terdiri daripada Ummu Ruman binti Amir bin Uwaimir Al-Kannaniyah, suaminya Abdullahbin Al-Harith Al-Azdiy dan anaknya yang bernama Al-Thufail.

Sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Arab pada zaman jahiliyah untuk bersama dengan kabilah lain. Abdullah bin Al-Harith menjadikan Abu Bakar As-Siddiq yang memiliki sifat-sifat mulia sebagai sekutunya. Tidak berapa lama setelah tinggal di Mekah, Abdullah bin Al-Harith meninggal dunia. Dia meninggalkan seorang isteri dan seorang anak. Pada mulanya mereka berdua berasa sedih dan kesepian sepeninggalan Abdullah bin Al-Harith tetapi dengan kelemahan lembutan dan sifat penyayangnya, Abu Bakar mampu menghilangkan perasaan sedih dan kesepian mereka.

Abu Bakar sejak zaman jahiliyah sudah dikenali sebagai orang yang penuh kasih sayang dan pemurah, seperti yang diungkapkan oleh Ibn Al-Dignah kepada kaum Quraisy ketika Abu Bakar berkeinginan untuk berhijrah. Ungkapan Ibn Al-Dignah sebaga berikut : " Wahai kaum Quraisy! Apakah kamu sekalian hendak mengusir seorang yang sentiasa membantu orang yang tidak mempunyai, yang selalu menyambung silaturrahim, yang menolong orang yang keletihan, yang menghormati tetamu dan yang membantu untuk menegakkan kebenaran."

Sifat-sifat Abu Bakar yang mulia ini dapat dilihat, terutama yang terakhir, ketika ia memutuskan untuk menikahi Ummu Ruman setelah ditinggal mati oleh suaminya. Abu Bakar sangat menyayangi, menggalinya dengan baik dan memuliakannya dan anaknya yng bernama Thufail. Abu Bakar mendapat dua orang anak daripada pernikahannya dengan Ummu Ruman. Mereka adalah Abdul Rahman dan Aisyah yang kelak akan menjadi ummul mukminin.

2. Menuju Jalan Kebenaran

Beberapa riwayat menyatakan bahawa Abu Bakar As-Siddiq adalah orang yang pertama sekali memeluk Islam daripada golongan dewasa. Beliau adalah seorang yang digelar As-Siddiq yang pertama dan merupakan khalifah yang pertama. Terdapat dalam dirinya berbagai sifat mulia yang menunjukkan kemuliaan kedudukannya di antara sahabat.

Al-Ustaz Abbas Mahmud Al-'Aqqad dalam bukunya yang berjudul Abqariyah As-Siddiq berkata : "Telah terdapat dalam diri Abu Bakar syarat-syarat ntuk menjadi seorang yang matang, kesegaran untuk memeluk agama Islam, sebagai kawan Rasulullah s.a.w. ketika di dalam gua, disegani di kalangan sahabat dan ramai di antara sahabat yang berikrar memeluk Islam di hadapan Abu Bakar.

Sebagai orang pertama memeluk Islam, akhirnya Abu Bakar menyeru keluarganya yang terdekat supaya memeluk Islam. Mulai daripada ibunya yang bernama Salma binti Sakhr atau Ummu Al-Khair dan isterinya Ummu Ruman semuanya memelukagama Islam. Mereka termasuk dalam golongan sahabat wanita pertama yang memeluk agama Islamdan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.

3. Sifat-Sifat Mulia

Ummu Ruman dikenali sebagai orang sangat dipercayai, yang menepati janji dan seorang wanita solehah. Sebagaimana hal suaminya, Abu Bakar dikenali sebagai As-Siddiq (Orang yang jujur dan dipercayai) sejak zaman jahiliyah. Banyak kita temuan ayat-ayat Al-Quran yang memuji sifat tersebut serta memerintahkan manusia supaya memiliki sifat tersebut.

Kedua orang sahabat ini, Abu Bakar dan isterinya, Ummu Ruman yang mendapat kehormatan bermusaharah dengan Rasulullah s.a.w. dapat dijadikan contoh teladan bagaimana seharusnya manusia bersifat As-Siddiq. Pernikahan Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah dapat dijadikan sebagai bukti alangkah mulianya nasab Ummu Rumandan sempurnanya ri'ayahnya (memelihara) kehormatan suami dan pendidikan puterinya. Di samping itu dia dapat membuktikan ketulusan imannya dan dia merupakan contoh seorang wanita yang bersikap baik dan sopan terhadap Rasulullah s.a.w. yang mungkin sukar untuk ditemui.

Ketika Rasulullah s.a.w. memutuskan untuk melamar Aisyah, bertanyalah Khaulah binti Hakim kepada Ummu Ruman : "Wahai Ummu Ruman! Berkat apa yang telah Allah s.w.t. berikan kepada keluargamu?" Ummu Ruman menjawab : "Ada masalah apakah ya Khaulah?" Khaulah binti Hakim menjawab dengan wajah berseri : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyebut nama puterimu Aisyah." Ummu Ruman termenung sebentar sambil berfikir, sementara kegembiraan telah menyilimuti dirinya. Kemudian dia berkata : "Tunggu sebentar! Abu Bakar akan kembali." Ketika Ummu Ruman menceritakan hal tersebut kepada Abu Bakar. Abu Bakar menjawab : "Sesungguhnya Muth'im bin Adiy pun telah menyebut (menawarkan) nama Aisyah kepada anaknya dan demi Allah! Aku tidak pernah untuk mengingkari janji."

Kemudian Abu Bakar menemui Muth'im, sementara isterinya bersamanya Abu Bakar bertanya kepada Muth'im : "Apakah keputusanmu tentang puteriku (Aisyah)?"

Muth'im bin Adiy menoleh kepada isterinya sambil bertanya : "Bagaimanakan pendapatmu?"

Isterinya menghampiri Abu Bakar sambil berkata : "Mungkin kalau kami memutuskan untuk menikahkan anak kami dengan puterimu, maka kamu akan memasukkan dalam agamamu (Islam)!

Abu Bakar tidak menjawab pertanyaan isteri Muth'im tersebut, tetapi malah bertanya kepada Muth'im : "Apakah pendapatmu wahai Muth'im?" Jaawapan Muth'im sama dengan jawapan isterinya.

Abu Bakar berasa sudah terlepas dari perjanjian dengan Muth'im setelah mendengar jawapan mereka. Akhirnya Rasulullah s.a.w. melamar Aisyah. Ummu Ruman sejak itu mengorbankan dirinya untuk ikut serta melindungi Rasulllah s.a.w.

4. Muhajirah Yang Solehah.

Ibn Sa'ad berkata : "Ummu Ruman adalah seorang wanita solehah. Kesolehahan seseorang adalah tanda atas kemuliaannya. Ummu Ruman memiliki keutamaan dalam hijrah.

Ummul Mukminin Aisyah berkata : "Rasulullah meninggalkan kami dan puteri-puterinya ketika baginda hijrah ke Madinah. Ketika suasana sudah terkawal, Rasulullah s.a.w. mengutus Zaid bin Harithah bersama hamba sahayanya yang bernama Abu Rafi' dan Abu Bakar mengutus bersama mereka Abdullah bin Uraiqit sambil membwa surat Abu Bakar yang memerintahkan anaknya, Abdullah supaya berhijrah bersama ibu saya (Ummu Ruman), saya dan Asma isteri Zubair. Ketika sampai di Madinah kami mendapati Rasulullah s.a.w. sedang membina masjid dan beberapa rumah sekitarnya."

Pada tahun kedua hijrah Rasulullah s.a.w. menikahi Aisyah yang telah dididik baik oleh ibunya Ummu Ruman dengan adab yang bersumberkan daripada Al-Quran. Bahagialah orang yang sentiasa mengikuti nasihat nabawiyah.

5. Ummu Ruman dan Al-Quran.

Ketika Ummul Mukminin Aisyah difitnah dengan Hadith Ifki (Cerita bohong) yang dipelopori oleh orang-orang munafik, Ummu Ruman hampir pengsan mendengar khabar tersebut. Dia hanya boleh berserah diri kepada Allah. Dia yakin Allah akan melindungi orang-orang yang soleh dan akan turun kelak aat Al-Quran yang akan menerangkan secara terang kebohongan cerita tersebut.

Setelah beberapa hari turunlah Malaikat Jibril dengan membawa ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan baraah (kesucian) Aisyah daripada cerita bohong tersebut. Alangkah gembiranya hati Ummu Ruman dan anaknya Aisyah ketika mendengar ayat-ayat tersebut dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas mihrab. Allah s.w.t. telah menjaga kesucian rumah tangga Rasulullah s.a.w. dan menolak serta membongkar tipu daya kaum munafiqin serta menjadikan mereka golongan yang hina.

Cara Ummu Ruman menghadapi cerita bohong ini adalah contoh seorang wanita solehah dan seorang pelindung yang mulia yang mengetahui hak dan kewajipannya. Alangkah bahagianya kalau kaum wanita muslimah mahu menjadikan Ummu Ruman sebagai contoh teladan bagi mereka.

6. Balasan Syurga.

Banyak sumber sejarah yang mengatakan bahawa Ummu Ruman meninggal dunia pada zaman kenabian, tepat di bulan Zulhijjah tahun 61H. Ummu Ruman banyak mendapat pujian dan penghargaan daripada Rasulullah s.a.w., baik semasa hayatnya mahupun sesudah kematiannya.

Seorang ahli sejarah yang dikenali dengan nama Samhudi telah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menziarahi kubur Ummu Ruman dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar diampuni segala dosa Ummu Ruman. Rasulullah s.a.w. berdoa untuknya : "Ya Allah! Sesungguhnya engkau melihat dan mengetahui segala sesuatu yang menimpa Ummu Ruman demi membela agama dan Rasul-Mu."

Ibn Sa'ad mentakhrij dengan sanadnya sendiri daripada Qasim bin Muhammad. Dia berkata : "Ketika Ummu Ruman dibaringkan di dalam kuburnya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang berkeinginan untuk melihat seorang wanita daripada bidadari syurga hendaklah dia melihat Ummu Ruman." Seorang wanita yang mendapat kedudukan yang sangat tinggi ini adalah sangat beruntung.

Akhirnya, inilah Ummu Ruman, contoh seorang pelindung yang mulia, seorang isteri yang solehah, seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang mukminhah yang tabah. Sudahkah kamu wahai wanita muslimat menjadikan Ummu Ruman sebagai pegangan dan idola hidupmu? Ummu Ruman meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang hanya di takhrij oleh Imam Bukhari sahaja.

Di akhir cerita sejarah ringkas hidup Ummu Ruman marilah kita sama-sama membaca firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Wahai jiwa yang tenang (suci) kembalilah kamu kepada Tuhan-Mu, dengan (hati) redha dan diredhai. Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah kamu ke dalam syurga-Ku."
(Al-Fajr : 27-30)


0 comments:

Post a Comment