MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

Saya Mesti Muslim Dari Sudut Akhlak


Sebelum pergi lebih lanjut, pernah atau tidak terlintas dalam benak kepala anda beberapa persoalan seperti, kenapa akhlak? Penting sangat ke? Mana lebih penting berbanding ilmu pengetahuan? Bukankah wahyu pertama yang diturunkan adalah tentang ilmu pengetahuan, bukannya akhlak? Kenapa pula kita kena belajar tentang akhlak muslim?

Ok. Saya ingin membawa anda semua kepada sebuah bentuk pemahaman baru. Sebenarnya bukanlah baru itu bermaksud baru, tetapi perkara itu telah lama wujud. Cuma ingin diterjemahkan dalam bentuk pemahaman terkini. Saya percaya semua sudah tahu, hanya tidak sedar sahaja.

Saya bermohon kepada Allah s.w.t. agar sesiapa yang membaca tulisan saya ini, di mana-mana sahaja, agar kita sama-sama dibukakan hati oleh-Nya dan dilapangkan dada serta dipermudahkan setiap urusan dunia mahupun akhirat.


Matlamat Utama Nabi Muhammad s.a.w. Dibangkitkan

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Imam Malik)

Sila renung dan teliti betul-betul maksud hadith di atas.

Betul ke matlamat utama Nabi s.a.w. adalah untuk menyempurnakan akhlak? Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman bahawa Nabi s.a.w. ini diutuskan sebagai rahmat sekalian alam, bukan akhlak semata-mata?

Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

“Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam.”

Saya ingin mengajak anda semua untuk berfikir bersama saya. Bayangkan, seandainya sesebuah masyarakat itu diselubungi dengan penipuan, tipu daya, pecah amanah, dan keruntuhan moral, adakah di sana akan wujud rahmat dalam masyarakat?

Bagaimana pula dengan keadaan kaum kerabat dan keluarga yang dipenuhi rasa kebencian, hasad, dan dendam, justeru di manakah rahmat?

Percayalah, sesungguhnya hubungan antara akhlak dan rahmat itu adalah hubungan erat lagi kukuh. Ketahuilah juga bahawa tidak akan wujud rahmat sekalian alam tanpa adanya akhlak.

Anda setuju dengan kenyataan saya?

Mungkin ada dalam kalangan anda akan menjawab, “Saya setuju dengan hadith berkenaan akhlak di atas, tetapi ibadat itu lebih utama. Adakah penulis ingin menyatakan bahawa akhlak itu lebih penting berbanding solat, puasa, zakat, dan haji?”

Baiklah. Dengar pula jawapan saya. Ya, akhlak lebih penting.

Kenapa? Kerana tanpa kita sedar setiap amal ibadat itu sebenarnya bertujuan untuk mendisiplin akhlak. Jika tidak, jadilah ibadat itu umpama senaman badan semata-mata!!

Saya pohon kepada semua agar fahami betul-betul intipati kalam saya. Jangan dirumitkan. Saya tidak bermaksud untuk merumitkan perbincangan ini dengan hal-hal yang melibatkan Fiqh, Akidah, dan sebagainya. Saya hanya ingin anda faham maksud akhlak dari persepsi yang lebih luas.


Solat Membentuk Akhlak

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjHSvAfTQTJeVwf4wfvwy0Oc0ndfeYtEt5wsbnXlcOYXSEOaagYvuikSNIUpU-0sFxD443hWTUGgXufBLoN-l7M-hlysDIPT5_J1g1UK3XvCS6xDJCu50Wsdb1EWu6NROnFXzEu21IG_XA/s400/tumblr_lrlp8qW1WK1r1fhyjo1_r1_400.jpg

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-‘Ankabut, ayat 45:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ

“..dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu (dapat) mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.”

Subhanallah!!

Justeru, sesiapa yang masih melakukan perbuatan keji dan mungkar itu ternyata solat mereka itu hanyalah sekadar senaman yang memenatkan semata-mata. Buktinya ialah akhlak mereka bertambah buruk.

Bukankah perbuatan keji dan mungkar itu adalah akhlak buruk? Iaitu bukan akhlak (perbuatan) yang Islam kehendaki.

Allah s.w.t. telah menyebut dalam sebuah hadith qudsi;

إنما أتقبل الصلاة ممن تواضع بها لعظمتي، ولم يستطل بها على خلقي، ولم يبت مصرا على معصيتي، وقطع النهار في ذكري، ورحم المسكين وابن السبيل ورحم الأرملة ورحم المصاب

“Sesungguhnya Aku menerima solat daripada orang yang merendahkan diri (tawaduk) kerana kebesaran-Ku dan tidak berlaku sombong terhadap makhluk-Ku dan tidak terus-menerus melakukan maksiat kepada-Ku. Dan dia menghabiskan hari siangnya dalam ingat kepada-Ku (zikrullah), dan dia sayang kepada orang yang miskin, ibnu sabil (orang yang kehabisan belanja dalam perjalanan) dan janda (yang kematian suami) dan sayang kepada orang yang ditimpa musibah.” (HR az-Zabidi)

Lihatlah hubungan antara solat dan akhlak (tawaduk dan kasihan belas). Seterusnya, fahamilah bahawasanya sekiranya solat anda itu tidak mampu untuk menjadikan anda seorang yang tawaduk dan mengasihani sesama makhluk, maka di sana solat itu adalah sia-sia dan langsung tidak membuahkan sebarang hasil yang sempurna.


Zakat dan Sedekah
Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah, ayat 103;

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Ambillah oleh kamu akan zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka..”

Maha Suci Engkau ya Allah!!

Sesungguhnya matlamat utama zakat adalah penyucian. Maksud penyucian pula ialah pentarbiyahan akhlak dan budi pekerti. Bagaimana saya boleh membuat rumusan sedemikian?

Baiklah. Pernahkah anda mendengar sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

تبسّمك في وجه أخيك صدقة

“Senyuman kamu pada wajah (di hadapan) saudara kamu adalah sedekah.”

Lihatlah betapa dalamnya maksud sabda di atas. Saya tahu, kebanyakkan antara anda sudah mengetahui hadith tersebut. Bahkan ada yang sudah menghafalnya. Namun, adakah anda (dan saya) sudah mendalami maksudnya? Merasai kesannya pada hati sanubari dan iman?

Ayuh!! Maniskan wajah dengan senyuman. Jangan kedekut untuk senyum. :)

تبسمك في وجه أخيك صدقة، وأمرك بالمعروف ونهيك عن المنكر صدقة، وإرشادك الرجل في أرض الضلال لك صدقة، وإفراغك من دلوك في دلو أخيك صدقة، وإماطة الأذى عن الطريق صدقة، وبصرك للرجل الرديء البصر صدقة، وأعظم الصدقة لقمة يضعها الرجل في فم زوجته

“Senyuman kamu pada wajah (di hadapan) saudara kamu adalah sedekah, suruhan kamu ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah sedekah, kamu menunjuki orang yang tersesat juga merupakan sedekah bagimu, kamu menuangkan air dari timbamu ke timba saudaramu juga merupakan sedekah, membuang kesakitan (menyingkirkan batu, duri, tulang dan lain²) dari jalan juga merupakan sedekah, membantu orang yang kurang penglihatannya juga merupakan sedekah, dan satu suapan seorang lelaki ke mulut isterinya ialah sebesar-besar sedekah.” (HR Tirmizi)

Oleh yang demikian, saya berharap kefahaman anda terhadap sedekah sudah terbuka luas. Tidak terhad. Hadith di atas menunjukkan betapa sedekah adalah salah satu bentuk pentarbiyahan akhlak. Itulah “Sedekah Akhlaqiyyah”.


Puasa Sebagai Pengawas

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

إذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يسخب، فان سابه أحد أو قاتله، فليقل: إني صائم

“Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa, janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang buruk (keji) dan membangkitkan syahwat kepada perempuan dan janganlah dia berbuat kekacauan. Maka jika ada yang mencaci-maki (marah) atau hendak membunuh, maka hendak dia berkata: Sesungguhnya aku sedang berpuasa..” (HR Muslim dan Ibn Majah)

Subhanallah!!

Kita telah melihat hubungan antara solat dan sedekah dengan akhlak. Demikian juga puasa. Adakah anda semua sudah setuju dengan apa yang telah saya utarakan?

Jika anda masih meragui perkara tersebut, saya akan bentangkan pula kaitan haji dengan akhlak. Semoga keyakinan itu terserlah!


Haji Adalah Kemuncak


Firman Allah s.w.t.:

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلاَ رَفَثَ وَلاَ فُسُوقَ وَلاَ جِدَالَ فِي الْحَجِّ

“(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji..” (Al-Baqarah:197)

Haji ialah satu bentuk latihan yang keras terhadap akhlak umat Islam. Sesiapa yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan ibadat Haji mesti berdisiplin. Tidak boleh meninggikan suara (menengking), mengumpat, menghina, dan segala perbuatan serta akhlak buruk yang lain. Semua itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjamin supaya ibadat tersebut diterima Allah s.w.t.

Di sana, pelbagai ragam dan perangai manusia akan terserlah. Bayangkan jutaan manusia membanjiri satu tempat untuk melakukan satu ibadat dalam satu masa yang terhad. Betul-betul menguji keimanan dan kesabaran. Menuntut kecekalan dan ketabahan setiap insan. Inilah proses pentarbiyahan akhlak yang kemuncak. Berbahagialah sesiapa yang berjaya dan terus berakhlak mulia walau setelah pulang ke negeri masing-masing.

Sesunguhnya setiap amal ibadat manusia seperti solat, puasa, zakat dan haji itu terserlah nilainya pada akhlak manusia sehari-harian. Dalam kata lain, boleh dikatakan secara zahir bahawa sesiapa yang buruk akhlaknya pasti ada sesuatu yang tidak kena pada ibadatnya. Maha Suci Engkau wahai Tuhan..


Apakah Yang Mendahului? Yang Manakah Lebih Penting?

Sesetengah manusia menganggap bahawa perkara paling penting dalam Islam dan mesti didahulukan ialah mempelajari Fiqh. Kemudian diikuti dengan menghafal al-Quran. Ilmu mesti didahulukan, dan akhlak didatangkan kemudian.

Ilmu atau akhlak? Jom sama-sama kita perhatikan ayat-ayat al-Quran di bawah.

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنتَ العَزِيزُ الحَكِيمُ

“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat)..” (Al-Baqarah:129)

Ayat tersebut didatangkan dengan lafaz daripada Nabi Ibrahim a.s. dan didahulukan lafaz ilmu terhadap lafaz akhlak. Iaitu يعلم dan يزكي . Mesti sesiapa yang berpendapat ilmu lebih diutamakan berbanding akhlak akan berasa gembira kerana ayat tadi memenangkan pendapat mereka.

Namun, tahukah anda bahawa ayat tersebut didatangkan dalam al-Quran pada empat tempat? Tempat pertama merupakan kalam daripada Nabi Ibrahim a.s. dan 3 lagi adalah kalam daripada Allah s.w.t. Perbezaannya hanyalah susunan keutamaan antara ilmu dan akhlak.

Antaranya, firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 151:

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ

“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.”

Ayat di atas mendahulukan tazkiah (akhlak) terhadap ilmu. Dalam kata lain, hanya satu tempat sahaja ilmu didahulukan iaitu pada kalam Nabi Ibrahim a.s. Adapun pada 3 tempat lagi iaitu pada kalam Allah s.w.t. seperti ayat di atas, tazkiah lebih didahulukan. Ini merupakan bukti jelas bahawa akhlak amat diutamakan dalm Islam. Maka bertepatanlah ayat-ayat tersebut dengan asal kebangkitan Nabi Muhammad ke alam dunia sebagai penyempurna akhlak yang mulia.


Merawat Perselisihan Antara Akhlak dan Ibadat

Dunia sekarang menyaksikan wujud dua golongan iaitu;
1. Seorang ‘Abid (ahli ibadat), tetapi buruk akhlaknya.
2. Seorang yang berakhlak mulia, tetapi teruk ibadatnya.

Maka kita dapat lihat dengan mata kepala kita sendiri sebilangan manusia yang sentiasa solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji, tetapi akhlak mereka amat teruk dan buruk.

Samalah juga dengan sebilangan yang lain, yang baik akhlaknya, amat dermawan, baik hati, tetapi tidak mendirikan solat.

Wahai teman-temanku.. Waspadalah!! Ini merupakan agenda golongan sekular yang telah berjaya diterapkan dalam sistem kehidupan kita. Mengasingkan antara ibadat dan akhlak. Sedangkan Islam menyatukannya. Ibadat dan akhlak saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“..dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur: 31)

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً . وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّداً وَقِيَاماً . وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَاماً . إِنَّهَا سَاءتْ مُسْتَقَرّاً وَمُقَاماً . وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَاماً

“Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhai-Nya) ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengertikan, sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk. Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Al-Furqaan: 63-67)


اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الإِيْمَانَ وَزَيِّنْهُ فِيْ قُلُوْبِنَا ، وَكرِّهْ إِلَيْنَا الْكفْرَ وَالْفُسُوْقَ وَالْعِصْيَانَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِيْنَ

“Ya Allah ya Tuhanku! Jadikanlah kami cintakan iman dan hiaskanlah iman itu di hati kami, dan jadikanlah kami (daripada golongan orang-orang yang) benci kepada kekufuran, kefasikan (penderhakaan) dan kemaksiatan, serta jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang bijak.

Sumber : http://pmram-manhal.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment