MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

Hijrah Membentuk Negara Islam


بسم الله الرحمن الرحيم

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

– Surah al-Nisa’ ayat 100

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dan kesykuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana taufik dan inayahNya, kita masih diberikan peluang untuk terus hidup melangkah ke tahun baru 1433 Hijrah pada saat ini. Semoga dengan pertambahan umur yang dikurniakan oleh Allah SWT ini memberikan kita ruang untuk terus menambahkan ibadat dan memperkasakan perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah SWT.

Sesungguhnya, menyambut ulang tahun Hijratur-Rasul ini bukanlah satu perayaan suka-suka. Ia bukanlah satu sambutan tahunan semata-mata tanpa sebarang sebab dan juga akan berlalu begitu sahaja untuk menunggu sambutan pada tahun hadapan. Sambutan Hijratur-Rasul ini sebagai menghayati makna dan pengertian peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dan para muhajirin dari Kota Makkah ke Kota Madinah yang kemudiannya dikira sebagai tahun pertama Hijrah. Hakikatnya, Hijrah Rasulullah s.a.w tidak berlaku pada awal tahun dan tidak berlaku pada bulan Muharram. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w mula keluar dari kota Mekkah pada akhir bulan Safar, bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Baginda keluar dari Mekkah bersama-sama dengan sahabat baginda yang paling setia Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a setelah mendapat perintah dari Allah s.w.t agar bersama-sama dengan umat Islam di kota Madinah. Rasulullah s.a.w tiba di kota Madinah dan mula menetap di sana pada hari Jumaat, 12 Rabiul Awal. Sekalipun hijrah tidak berlaku di bulan Muharram, namun detik peristiwa tersebut ia dipilih sebagai tahun yang pertama dalam kalendar Islam sewaktu proses penetapan kalendar Islam pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab RA. Kenapakah Saidina Umar bin Al-Khattab dan para sahabat pada masa itu tidak memilih peristiwa lain seperti peristiwa kelahiran Rasulullah SAW, peristiwa pembukaan Kota Makkah atau Haji Wada’? Jawabnya ialah kerana peristiwa hijrah itulah yang mencetuskan fenomena dan momentum terbesar di dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW. Momentum tersebut ialah pembentukan sebuah negara Islam yang pertama dan perpindahan era dakwah secara rahsia kepada era dakwah secara bernegara.

Pembentukan negara itulah yang menjadi matlamat kepada penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Jika tidak kerana membentuk negara, tidak perlu lagi berlakunya hijrah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, amatlah salah sama sekali tanggapan yang menyatakan bahawa bernegara merupakan satu perkara yang tidak wujud di dalam Islam, apatah lagi menidakkan kewujudan syariat Islam dalam aspek bernegara. Sebagaimana umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan solat lima kali sehari, berpuasa selama sebulan dalam satu tahun dan mengerjakan haji sekali sepanjang hidup, demikianlah juga diperintahkan agar bernegara dan melaksanakan undang-undang menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kita tidak rela jika pembangunan fizikal pesat berlaku namun dalam masa yang sama kita menyaksikan runtuhnya nilai-nilai agama dan jauhnya manusia daripada Allah SWT. Alangkah ruginya hidup manusia jika hanya mendapat kemegahan, kemewahan dan kekayaan di dunia semata-mata namun di akhirat dilemparkan Allah SWT ke tempat yang buruk iaitu neraka hanya kerana enggan tunduk patuh kepada Allah SWT. Justeru, PAS mendidik rakyat agar kenal batasan iman dan kufur, batasan syurga dan neraka serta batasan pahala dan dosa, agar tidak berlaku penolakan terhadap mana-mana perintah Allah SWT. Ini kerana iman sifatnya ialah syumul. Menolak satu cabang iman bererti menolak keseluruhan iman itu sendiri.

Dari aspek yang lain, hijrah juga mengajar umat Islam agar berstrategi dalam apa jua langkah dan gerak kerja. Bagaimana kita melihat Rasulullah SAW mengatur strategi yang cukup teratur di dalam berhijrah, demikianlah juga wajib untuk kita mengatur strategi dan mempunyai perancangan yang tersusun di dalam memastikan gerak kerja yang dilakukan berkesan dan berjaya. Strategi Rasulullah SAW dapat dilihat apabila baginda datang ke rumah Saidina Abu Bakr as-Siddiq pada waktu siang hari iaitu waktu yang tidak akan dijangka dipilih untuk keluar dari Mekah. Baginda juga mengupah Abdullah bin Uraiqit yang masih musyrik menunjukkan jalan dan ini mengajar bagaimana harusnya bekerjasama dengan non muslim dalam urusan yang boleh mendatangkan faedah kepada Islam. Baginda juga memilih untuk berlindung di dalam Gua Thur yang bukannya terletak di pertengahan jalan menuju ke Madinah dengan tujuan untuk mengelirukan kaum musyrikin. Nyata sekali semua strategi yang diatur oleh baginda Rasulullah SAW ini berjaya mengeluarkan baginda dari kota Makkah dan menuju ke Madinah dengan selamat. Justeru, apabila kita menyambut peristiwa Hijratur Rasul pada hari ini, kita sebenarnya menyambut peristiwa fatonah atau kecerdikan baginda.

Pada zaman kita hari ini, pengurusan hidup hendaklah bersendikan fatonah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Fatonah ini pula hendaklah disertakan dengan amanah. Fatonah tanpa amanah akan melahirkan generasi yang punah iaitu generasi yang cerdik tetapi jauh dari Allah SWT. Hari ini, kita melihat setiap hari didedahkan pelbagai skandal dalam pengurusan wang samada di peringkat pemimpin maupun di peringkat pegawai. Laporan demi laporan audit yang dibentangkan menyaksikan pelbagai ketirisan yang berlaku sehingga mengakibatkan kerugian puluhan juta ringgit wang rakyat. Ketirisan ini jika diselamatkan nyata sekali dapat memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat jelata. Kenapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan kita mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan rasuah dan penyelewengan? Tidak lain melainkan hanyalah kerana manusia tidak mampu dikawal oleh undang-undang manusia. Yang mampu memagari manusia dari melakukan perbuatan khianat hanyalah taqwanya kepada Allah SWT. Inilah misi PAS di dalam gerak kerja politik. Kita berjuang melalui pilihanraya untuk mendapatkan kuasa dan untuk membangunkan roh dan jiwa rakyat agar sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Di Kelantan, kita menguatkuasakan larangan pembukaan premis judi, larangan penjualan arak secara terbuka, memindahkan wang kerajaan ke perbankan Islam serta memperbanyakkan skim-skim kebajikan seperti takaful kifalah, skim armalah, skim al-it’am dan sebagainya semuanya bertujuan untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dari sudut duniawi dan ukhrawi.

Hijrah juga mengajar kita menjadi optimis dalam perjuangan. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menjanjikan kepada Suraqah bin Malik untuk dipakaikan dengan alat kebesaran raja Parsi sedangkan baginda sedang di dalam perjalanan menuju ke Madinah. Janji tersebut nyata sekali menjadi kenyataan selepas kewafatan baginda iaitu pada saat kejatuhan kerajaan Parsi pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab RA. Oleh yang demikian, pada saat dunia kelam pekat diselubungi gelap sekular, yakinlah, jahiliyyah pasti akan tumbang, dan Islam pasti akan tertegak juga di bumi Allah SWT ini.

Insya-allah, fajar semakin menyinsing. Malam pasti berakhir. Kebangkitan yang berlaku di seluruh dunia lambat laun akan tiba juga di negara kita yang tercinta. Semoga keamanan terus dikekalkan dan semoga Islam dapat didaulatkan. Selamat berhijrah dan selamat berubah.


NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

MURSYIDUL AM PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Pengorbanan (al-Tadhiyyah) antara Retorik dan Hakikat

PENGORBANAN
ANTARA RETORIK DAN HAKIKAT


Alhamdulillah, selaut kesyukuran dipanjatkan kepada Allah subhanahu wa taala, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda, seterusnya para pengikut dan penyambung risalah Islam seluruhnya.

Alhamdulillah, selama-lamanya syukur atas kurniaan nikmat Iman dan Islam, kesihatan dan kelapangan, kita masih diberi nafas oleh Allah Taala dalam memikul amanah sebagaiKhalifah di muka bumi ini.

Dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran dan rintangan dewasa ini, setiap insan harus menghadapi dan menerima segala sunnatullah yang terkadang tidak seperti yang diharapkan. Istilah pengorbanan juga telah menjadi asam garam dalam kehidupan seseorang insan.

Berkorban demi sahabat, demi insan tersayang, demi maruah dan sebagainya. Namun, sejauh mana erti pengorbanan yang digembar-gemburkan itu bertepatan dengan syariat Islam menjadi tanda tanya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah ,

Islam adalah agama yang syumul, mudah dan tidak menyusahkan. Ia menuntut umatnya untuk melakukan pengorbanan demi memelihara kemuliaan Islam itu sendiri. Ayuh kita soroti erti pengorbanan sebenar yang dituntut oleh Islam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri mengorbankan seluruh hidup Baginda dalam menyampaikan risalah Islam bermula sejak kebangkitan sebagai utusan Allah sehingga tersebarnya Islam ke seluruh dunia dan akhirnya sampai kepada kita hari ini.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ada menyebut berkenaan tadhiyah (pengorbanan) iaitu berkorban yang membawa makna menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta segala-galanya demi mencapai matlamat. Beliau turut menyatakan bahawa tiada jihad di dunia ini yang tidak menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi matlamat dakwah Islami ini tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran yang lebih besar dan pahala yang lebih baik.

Firman ALLAH Taala :

“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka ”. (At-Taubah: 111)


Setiap orang yang meredhai Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai Nabi dan Rasul, maka dituntut darinya melakukan pengorbanan.

Firman ALLAH Taala :

“ Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah ), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak”. (Al-Baqarah: 245)

Memetik kisah Saidina Abu Bakar Radiallahu Anhu yang telah mengorbankan dan membelanjakan seluruh hartanya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya kepadanya :"Apakah yang kau tinggalkan kepada keluarga kamu? Lalu beliau menjawab: Aku telah tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-NYA". Alangkah mulianya hati para sahabat, sanggup mengorbankan kepentingan diri demi kecintaan kepada Allah, Rasul dan agama Islam itu sendiri.

Apabila jiwa telah dibeli oleh Allah, tiada siapa yang mampu menggugat hati seseorang agar tidak berkorban untuk Islam.

Firman ALLAH Taala :

“ Dan apa sahaja yang kamu sedekahkan, Allah akan menggantinya. Dialah sebaik-baik pemberi rezeki “. (Saba’ :39)

Setiap apa yang dikorbankan oleh seseorang muslim dalam jalan dakwah akan diberi balasan dan ganjaran sama ada kecil mahupun besar. Sesungguhnya nilai pengorbanan di sisi Allah adalah sangat mahal. Hanya mereka yang terpilih oleh Allah sahaja yang akan sanggup melakukan pengorbanan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Al-Quran sudah membentangkan bukti, lipatan sirah pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, para sahabat serta pejuang agama Allah juga telah kita imbau bersama, namun adakah apa yang telah kita korbankan hari ini, benar-benar menepati pengorbanan menurut syariat Islam? Adakah istilah pengorbanan hanya untuk individu tertentu sahaja atau pada masa tertentu sahaja? Tepuk dada, tanyalah iman.

Sempena sambutan Eidul Adha 1432H, ayuh kita menyelusuri sirah mengutip ibrah.Apabila menyentuh berkenaan pengorbanan, ingatan kita pasti akan terus terbias mengingati lipatan sirah para Anbiya’ yang terlebih dahulu merasai pahit manisnya pengorbanan dalam menunaikan kewajipan kepada Allah Taala.

Antara sirah teragung yang menjadi sunnah setiap muslim bila tibanya Zulhijjah setiap tahun, iaitu kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam yang diperintahkan oleh Allah Taala untuk menyembelih anak Baginda sendiri iaitu Nabi Ismail Alaihissalam.

Alangkah mulianya hati seorang Nabi , tanpa keraguan, taat menuruti perintah Rabbul Izzati yang pada pemikiran manusia biasa tidak mampu untuk melaksanakannya. Keyakinan terhadap janji Allah mendorong Nabi Ibrahim Alaihissalam mengambil keputusan tanpa ada sebarang keraguan.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,

Selaku yang bergelar manusia yang mempunyai pelbagai amanah untuk ditunaikan, tidak dapat dinafikan lagi bahawa berkorban adalah sunnatullah yang tidak dapat dielakkan. Hamba Allah, pelajar, sahabat, pendakwah, anak, ibu, guru dan sebagainya. Semuanya menuntut suatu pengorbanan dalam meneruskan kehidupan di alam yang fana ini.

Tidak dinamakan seorang muslim yang hakiki jika hidup seseorang itu sunyi dan sepi daripada melakukan pengorbanan untuk kepentingan Islam. Ingatlah bahawa, adalah menjadi suatu kerugian dan kesalahan kepada seseorang muslim itu jika hari-hari dalam hidupnya berakhir tanpa ada sebarang pengorbanan untuk Islam.

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna berpesan : "Sesungguhnya medan perkataan berbeza dengan medan khayalan. Medan amal juga berbeza dengan medan perkataan. Medan jihad berbeza dengan amal. Medan jihad yang haq berbeza secara kontraduktif dengan medan jihad yang batil".

Amat ditakuti jika pengorbanan untuk kepentingan peribadi mengatasi pengorbanan untuk agama Islam. Nauzubillahi min zalik. Semoga segala pengorbanan yang kita lakukan sebelum ini menepati syariat Islam dan dikira sebagai ibadah oleh Allah Taala serta sentiasa dalam redha-NYA, insyaAllah. Ayuh marilah kita bersama-sama berkorban untuk Islam.

Wallahu Taala A’lam.

Salam Eidul Adha 1432H

SEKSUALITI MERDEKA 2011 : Kembalilah Kepada Fitrah

1. Negara kita gempar lagi dengan satu program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya " Queer Without Fear" yang berlangsung pada 2 Nov 2011 hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.

2. Program ini kononnya berteraskan perjuangan "Human Right", menuntut hak dan kebebasan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual [LGBT] untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Sekilas pandang, mereka sedang memperjuangkan hak dan kebebasan dengan gaya hidup pilihan mereka dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia. Justeru itu, mereka tidak lagi teragak - agak untuk mengiklan, memperjuang dan menganjurkan programnya secara terbuka

3. Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan Human Right, Islam mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai perkara ini, sementara Dewan Pemuda PAS Malaysia berpaksi teguh kepada ajaran Islam, justeru Islam adalah agama petunjuk dari Allah swt Tuhan yang mencipta manusia.

4. Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang - pasangan lelaki dan perempuan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasanganya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah swt:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Surah ar Ruum : ayat 21

5. Asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia sekaligus mempertahankan tamaddun ummah dari kepincangan sosial dan malapetaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah swt. sebagaimana murkanya Allah swt ke atas kaum Nabi Luth as. yang mengamalkan gaya hidup homoseksual.

6. Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak sewajarnya diperjuangkan dan diamalkan oleh ummat manusia amnya dan ummat Islam khasnya. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamaddunnya. Jika budaya ini menjadi amalan bagi manusia selaku penduduk di bumi ini, nescaya suatu ketika kelak akan pupuslah generasi ummat manusia sedang Nabi saw berbangga dengan lahir ummatnya yang ramai.

Sabda Rasulullah saw

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummatku diakhirat kelak.

Riwayat Imam Ahmad

7. Kecenderungan mengamalkan kehidupan gay, lesbian dan biseksual ini adalah bertolak dari nafsu yang tidak dikawal. Sedang Islam telah menganjurkan ummat manusia supaya berkahwin secara normal dan menggariskan kaedah kawalan nafsu bagi mereka yang tidak mampu melakukannya. Seperti sabda Rasulullah saw dari Ibnu Masuud Rha.

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج ، ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Wahai sekelian anak muda ! barangsiapa yang mampu [dan bersedia untuk berkahwin] dari kalangan kamu, maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu membantu menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan barangsiapa yang tidak mampu melakukannya, maka berpuasalah kerana sesungguhnya puasa itu adalah perisai [dirinya agar tidak terjerumus dalam kancah keruntuhan sosial]

Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

8. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru penganjur dan penyokong program Seksualiti Merdeka 2011 agar tidak meneruskan perjuangan dan kempen mereka ke arah menuntut kebebasan pada gaya dan cara hidup barat yang salah dengan norma, tatasusila, budaya dan agama. Sedarlah bahawa gaya hidup seperti ini akan berdepan dengan kemurkaan Allah swt selain ia membuka pintu kepincangan sosial dan budaya negara kita.

9. Ia adalah satu bentuk kemungkaran yang tidak wajar diperjuang dan diamalkan, bahkan ia sangat menyentuh sensitiviti ummat manusia yang menjalani kehidupan normal. Dewan Pemuda PAS yakin, jika mereka mendapat bimbingan wajar dari pihak berkuasa agama dan lainnya yang berkaitan, perkara ini dapat dibendung dengan baik daripada terus menular lalu membentuk satu budaya.

10. Inilah rasionalnya Dewan Pemuda PAS menasihati dan menegur pemerintah agar tidak meluluskan penganjuran konsert icon gay Elthon John di negara ini sebagai langkah menutup pintu - pintu mungkar yang mengundang kemurkaan Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta. Walaupun dikatakan Elthon John tidak akan menyeru rakyat Malaysia meniru gaya hidup gaynya, tetapi sudah cukup pengiktirafan yang diberikan kepada beliau menyuburkan budaya gay di Malaysia yang semakin hari semakin menular.

11. Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama. Kalaupun seseorang tidak beragama sekalipun, aqal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas ticket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berasaskan peraturan - peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan.

12. Secara analoginya boleh saya contohkan seperti memandu kereta. Sungguh pun kereta itu milik kita yang sah, pula kita telah membayar road tax dan insuransnya, maka atas nama kebebasan lalu kita bebas untuk memandu laju tanpa menghirau peraturan lalulintas. Ini sangat merbahaya terutama pemanduan dengan had kelajuan melampau seperti 160 kmj di selekoh tajam yang bertanda 20 kmj. Awas ! Ini bukan lagi bebas tetapi babas.

13. Dewan Pemuda PAS merayu agar mereka kembali menjalani kehidupan normal berasaskan petunjuk Allah swt Tuhan yang Mencipta manusia. Formula kehidupan Islam sungguh indah dan damai malah membawa ketenangan yang dicari dalam hidup. Sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Ar Ruum ayat 21. Dewan Pemuda PAS sedia berdialog ke arah itu bagi menangani perkara ini.

14. Usah lari dari fitrah dan meninggalkan kehidupan beragama kerana jiwa tidak tenteram dan tidak pun boleh menyelesaikan masaalah. Sebagai contoh pengalaman hidup yang dialami oleh Elthon John sendiri selepas beliau berkahwin dengan kaum sejenis atau pasangan gaynya, keinginan atau naluri mahu memiliki anak tetap menguasai dirinya lalu mendorong beliau mendapatkan anak melalui ibu tumpang.

15. Terdapat 2 perkara yang tidak boleh menyelesaikan masaalah dan konflik jiwa mereka .

Pertama : perkahwinan sejenis yang mereka amalkan tidak boleh memenuhi kehendak mereka untuk memiliki seorang anak.

Kedua : biarpun mereka boleh mendapatkan anak melalui proses ibu tumpang, mereka tetap tidak boleh memenuhi hasrat naluri mereka untuk memiliki anak kandung yang tentunya hadhir secara fitrah.

16. Sedangkan dua perkara inilah antara pelengkap kebahagian dan kasih sayang dalam kehidupan berumahtangga bersama pasangan hidup sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Rumahtangga yang dibina melalui perkahwinan sejenis ini hanya mungkin boleh mencapai kepuasan dari sudut melampiaskan nafsu seksual tetapi jiwa mereka meronta mencari sebuah ketenangan hakiki.