MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

Islam, agama mementingkan nasihat


Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.

Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.

Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.

Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.

Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.

Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Melalui nasihat, pemimpin berpeluang membetulkan rakyatnya yang tidak betul, bahkan berpeluang untuk membetulkan dirinya sendiri supaya menjadi contoh kepada rakyat. Nasihat juga mengajarnya untuk bersikap kepadanya dan dia tidak melenting apabila benar-benar melakukan kesilapan, kerana pemimpin adalah mahkluk manusia yang tidak boleh berlagak menjadi Tuhan.

Nasihat juga menjadi hak rakyat, untuk memberi nasihat kepada pemimpin dan menerima nasihat di kalangan mereka serta menerima nasihat daripada pemimpin. Rakyat juga berperanan untuk menasihati pemimpin, sekiranya pemimpin mereka menyeleweng. Hak rakyat untuk memberi nasihat tidak boleh dinafikan oleh kerajaan.

Allah berfirman melalui surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar."

Tetapi kewajipan nasihat ini telah diabaikan kerana terdapat sindrom yang melanda umat Islam di negara kita hingga ke tahap yang sangat membimbangkan.

Sindrom yang mengongkong para pemimpin : Negara dikepalai oleh barisan kepimpinan yang diikat dengan budaya menonjolkan diri dengan membariskan pimpinan bawahannya semata-mata untuk membina kekuatan kedudukannya, iaitu membariskan pelapis yang takut kepada siapa sahaja yang menjadi pemimpin utama. Pekara ini menyebabkan kita diperintah oleh kalangan yang tidak dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang berlaku.

Antara punca yang menimbul gejala ini ialah perkara-perkara berikut:

Hub al-Riasah wa al-Jah (Rakus untuk menjadi pemimpin dan gila kuasa.)

Sifat ini menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya, bukan sahaja sanggup mebaurkan wang, bahkan sanggup mengorbankan kawan sendiri. Berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan untuk naik lebih tinggi.

Dalam Umno, penghormatan yang sewajarnya tidak lagi diberi kepada orang yang sudah jatuh, yang dikira tidak boleh memberi apa-apa kepada orang lain, seperti Tun Musa Hitam dan Tun Ghafar Baba. Apa yang berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah malapetaka daripada sifat yang buruk ini.

Sebenarnya beliau dijatuhkan kerana adanya unsur perebutan kepimpinan. Tuduhan-tuduhan yang mengheret beliau ke mahkamah dipercayai oleh kebanyakan orang sebagai penyangkut yang dicipta untuk menjatuhkan beliau. Hanya segelintir rakan-rakan daripada Umno yang menunjukkan semangat persahabatan dan terlalu sedikit yang sanggup bersama. Kebanyakan mereka selama ini lebih bersemangat mangampun untuk kepentingan diri masing-masing.

Penyakit ini menyebabkan pemimpin tidak mendapat pertolongan dan keberkatan Allah S.W.T. Sangat benar sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya iaitu Abdul Rahman bin Samurah maksudnya: "Wahai Abdul Rahman Samurah! Janganlah anda meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan yang diberi kepadamu kerana permintaan engkau sendiri, nescaya ia akan diserahkan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya ia diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau akan diberi pertolongan." (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dalam kitab al-Ahkam)

Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2

BATU TERAPUNG, MASJID AL AQSA DAN ISRAK MIKRAJ


Pada 27 Rejab 1433 H, umat Islam akan menyambut Israk dan Mikraj. Apakah Israk dan Mikraj? Hari itu bersejarah kepada umat Islam kerana Nabi Muhammad SAW naik ke langit menaiki buraq dan menerima amanah dari Allah Taala iaitu solat lima waktu. Di sepanjang perjalanan tersebut terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan bukti kebesaran Allah, antaranya batu tempat duduk Nabi Muhammad S.AW sewaktu Israk Mikraj yang sehingga kini masih tetap terapung di udara.

Pada saat Nabi Muhammad S.A.W menaiki buraq untuk ke langit, batu itu terangkat dan ingin mengekori Rasulullah, tetapi Baginda menghentakkan kakinya pada batu itu supaya berhenti mengikuti Baginda. Batu tergantung ajaib itu berada dalam "Kubah al Sakhrah"atau "Dome of The Rock" atau juga dipanggil juga "Masjid Kubah Batu" atau "Masjid Kubah Emas" yang tidak jauh dari kedudukan Masjidil Al Aqsa di Jerusalem. Jika diperincikan dari segi istilah, maksud ‘Dome of The Rock’ adalah kamar untuk batu itu. Batu yang dimaksudkan adalah Batu Terapung. Orang Yahudi turut membina masjid seumpama binaan masjid al Sakhra yang tidak jauh di sebelahnya dan mendakwanya sebagai al Aqsa, untuk mengaburi pandangan umat Islam di mana posisi Masjid al Aqsa yang sebenarnya.

Baitulmaqdis adalah sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga suci bagi umat Islam selepas Makkah dan Madinah. Bagi masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud "tempat yang aman untuk didiami".

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekali gus merupakan antara kota tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh. Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang  kononnya pernah menempatkan kuil Yahudi kuno yang dipanggil sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh kerajaan yang berbeza.

Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambil kira akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada 586 sebelum Masihi. Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman.
Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya tidak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herold the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan sekarang.

Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman khalifah Umar al Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci yang mendapat tempat yang mulia dalam Islam sementara kota di sekitarnya dinamakan Baitulmaqdis.

Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu khalifah era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang Baitulmaqdis yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepong tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al Aqsa yang disebut dalam kitab suci al Quran dan al Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding tempat lain.
Masjid al Aqsa dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Makkah. Baitulmaqdis menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Makkah, iaitu kira-kira selama 16 bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam iaitu pembinaan Masjid al Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj berlaku atas tapak Haram al Sharif. Masjid al Aqsa betul-betul bersebelahan dengan Dome of The Rock, betapa jauhnya perbezaan antara Dome of The Rock jika dibandingkan dengan Masjidil al Aqsa. Masjid al Aqsa inilah peninggalan Nabi Muhammad S.A.W yang perlu dipertahankan oleh semua umat Islam. Inilah kiblat kita yang pertama, mana mungkin ianya boleh dirobohkan begitu sahaja.


Di sebalik kesucian Masjid al Aqsa, Masjid Kubah Emas atau "Dome of The Rock" turut mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Ironinya batu ini turut dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan kepercayaan mereka bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti. Tetapi menurut catatan sejarah, Khalifah Umar al Khattab R.A yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah wilayah Islam, di mana setibanya beliau di kota ini Umar lalu bertanya mengenai batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang di kepong oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain dan membina Masjid al Aqsa buat kali pertama di bumi Baitulmaqdis itu.

Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan atas lokasi yang sama iaitu Haram al Sharif. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum selesai sehingga hari ini.

Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al Sharif, iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ menjadi tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih 2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan amalan ini berlangsung sehingga sekarang, susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ataupun tembok ratapan.

Mengikut agama Kristian, Baitulmaqdis mendapat kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar berhampiran dengan Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang ketika itu masih tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana beragama Kristian. Pendapat yang diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja dalam kawasan kota lama. Di sini dianggap sebagai lokasi orang yang mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan.

Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian dari seluruh dunia terutamanya menjelang musim Easter. Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang Islam. Mereka berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200 tahun sehingga kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul iaitu Salahuddin al Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al Ayubbi sendiri yang membersihkan Masjid al Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera salib, manakala "Dome of The Rock" yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.

Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan dunia PBB. Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia. Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis dan masih dikuasai oleh orang Islam.

Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar, Kompleks Haram al Sharif adalah sebahagian daripada kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka kecil jika dibandingkan dengan kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan sebahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.

Tetapi perang pada 1967 mengubah landskap kota ini sampai sekarang. Penglibatan Jordan dalam perang negara-negara Arab dengan Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.

Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Palestin. Antaranya menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab dalam usaha memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat Yahudi turut dibina dalam bahagian orang Islam. Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.


Masjid al Aqsa beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks Haram al Sharif. Sebagai rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.

Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al Sharif diberikan kepada badan Islam sebagai kawasan wakaf dan Raja Jordan dianggap sebagai penjaga Masjid Al-Aqsa. Bendera negara Israel tidak dibenarkan dikibarkan di sekitar Haram al Sharif. Penganut agama lain dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan mereka adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif bagi semua penganut agama samawi.

Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya memandangkan sikap kerajaan Zionis Israel yang suka melakukan provokasi ke atas penduduk Palestin dan Yahudi ingin menguasai Baitulmaqdis bukan lagi sesuatu agenda yang rahsia. Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga yang dipercayai menjadi Haikal terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti cari gali di sekitar kompleks Haram al Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.

Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama dan perlu dilaksanakan. Yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman akan dibangunkan?

Masjid al Aqsa adalah kiblat pertama bagi Umat Islam sebelum dipindahkan ke Kaabah dengan perintah Allah Taala. Kini ia berada di dalam kawasan jajahan Yahudi yang berusaha untuk meruntuhkannya bagi mendirikan kuil. Pihak Yahudi telah mengambil kesempatan untuk mengelirukan umat Islam dengan mengedarkan gambar ‘Dome of The Rock’ sebagai Masjid al Aqsa. Tujuan mereka hanyalah untuk meruntuhkan Masjid al Aqsa yang sebenarnya. Kini Umat Islam sendiri sudah terkeliru dan sukar untuk membezakan Masjid al Aqsa yang sebenamya. Maka semakin mudahlah tugas mereka untuk melaksanakan perancangan tersebut.

SYARIAH : Makna dan Dasarnya

SYARIAH
Makna dan Dasarnya


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله ومن ولاه

Di dalam melaksanakan syariah Islam di dalam negara, terdapat aulawiyat yang perlu dipatuhi oleh mereka yang diizinkan Allah memegang tampuk kekuasaan.Berikut adalah sedikit perkongsian yang diolah kembali daripada rakaman temuramah bersama Dr Yusof al-Qardhawi di bawah tajuk “Syariah : Makna dan Dasarnya,”menerusi rancangan Syariah Dan Kehidupan, saluran al-Jazeera.


Muqaddimah

Terlebih dahulu beliau mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di Mesir yang telah berjaya menjalani pilihanraya dengan ketiga-tiga peringkat dan memilih calon-calon yang disokong oleh sebahagian besar rakyat.Tidak mungkin seluruh semuanya manusia bolehbersepakat di atas suatu perkara, ini sememangnya tabiat manusia.Maka, jika sebahagian besar manusia menyokong, sudah menandakan satu kebaikan, Insya Allah.Beliau mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka mendapat petunjuk dalam melalui peringkat yang seterusnya.

1) Takrif syariah:

ما شرعه الله لعباده من الأحكام

“Segala perkara yang Allah syariatkan kepada hambaNya, daripada hukum hakam.”

Ada di antaranya suruhan dan ada pula larangan. Ada di antaranya yang berkaitan dengan ( كيفية العمل ) ‘cara beramal’ dan dinamakan sebagai ( فرعية وعملية ) ‘cabang dan amalan.’ Ilmu yang berkaitan dengannya dinamakan sebagai ilmu fiqh, syariah dan hukum. Dan ada pula yang berkaitan dengan ( أصل العمل ) ‘dasar amalan’ dan dinamakan sebagai (أصلية واعتقادية ) ‘usul dan pegangan.’ Ilmu yang berkiatan dengannya dinamakan sebagai ilmu kalam, tauhid atau aqidah

2) Syariah dan agama:

Jika berdasarkan takrif di atas, syariah itu sendiri adalah agama.

Namun sebahagian ulama membezakan antara penggunaan kalimah syariah kepada maksud yang lebih khusus, iaitulah hukum hakam fiqh.Sebagaimana di al-Azhar dinamakan kuliah yang menumpukan pengajian fiqh sebagai kuliah syariah, dan kuliah yang mengaji akidah dinamakan kuliah usuluddin. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikuhul Azhar pernah mengarang sebuah kitab bertajuk “Islam itu Aqidah dan Syariah.”

3) Kenapa Allah turunkan Syariah?

Firman Allah taala:

لقد أنزلنا رسلنا بالبينات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط
كتاب أنزلناه إليك لتخرج الناس من الظلمات إلى النور

Allah taala maha kaya daripada hambaNya, Dia tidak berhajat kepada sesuatu daripada hambaNya. Di dalam ayat pertama disebut: “Agar manusia menegakkan keadilan,” ayat kedua “Mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.”

Secara ringkasnya, syariah adalah:

كل ما يهدى الناس في الحياة إلى الطريق القويم والتوازن

Setiap perkara yang menyusun kehidupan dan memandu kepada jalan yang lurus dan sistematik, itulah tugasan syariah, agar mereka mendapat kebaikan di dunia, dan di akhirat.

4) Sumber-sumber syariah:

Syariah diambil daripada dalil-dali syarak. Terdapat dua jenis dalil: pertama dalil yang disepakati. Iaitulah al-Quran yang merupakan sumber yang paling utama, kemudian sunnah, ijmak dan qias. Jenis yang kedua pula dalil yang terdapat perselisihan antara ulama seperti amalan umat terdahulu, masaleh mursalah, istihsan, uruf, istishab dan sebagainya (rujuk kitab-kitab usul fiqh) Semua sumber-sumber ini sudah memadai bagi menyelesaikan setiap permasalahan manusia.

5) Apakah perkara yang ( الثابت ) ‘tetap.”?

Perkara yang ( الثابت ) ‘tetap’ dan tidak akan berubah adalah yang berkaitan dengan akidah, ibadah yang asas, akhlak-akhlak yang utama, nilai murni dan perkara (الرذائل ) ‘yang dipandang keji’, halal dan haram, perkara-perkara yang dasar yang berkaitan dengan individu, mencari pekerjaan halal, berpakaian menutup aurat, makanan halal, hubungan antara suami isteri, kaum kerabat, hak-hak asas masyarakat, pemerintah, rakyat dan sebagainya. (Yakni perkara yang sudah diijmak dan bukan tempat ijtihad)

6) Apakah perkara ( المتغير ) ‘boleh berubah’ dan syarat-syaratnya?

Perkara yang ‘boleh berubah’ adalah selaindaripada perkara sabit.Iaitulah yang bukannya dari masalah akidah, ibadah, akhlak-akhlak utama, bukan juga dari hukum qatie yang tidak menerima sebarang perubahan, seperti masalah pewarisan harta yang sudah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis, kerana sudah disepakati oleh seluruh umat.Perkara sabitini tidak menerima perubahan atau ijtihad.

Perkara mutaghayyir adalah cukup banyak iaitulah segala perkara yang boleh dimasuki ijtihad.Ia dikaji di dalam ilmu fiqh dengan perbahasan yang cukup meluas. Daripada sini timbulnya perubahan fatwa. Fatwa boleh berubah mengikut 4 perkara: masa, tempat, uruf (adat setempat) dan keadaan.

Jadi di sana terdapat perkara yang boleh berubah, dan ada perkara yang tidak berubah, Iaitulah perkara yang menjadi dasar dan asas agama.

7) Perlaksanaan Syariah

Sebahagian manusia apabila mendengar kalimah undang-undang syariah terus rasa takut.Seolah-olah syariah tidak mampu memberikan keadilan.Sebenarnya syariah adalah amat bertepatan dengan nas dan akal manusia.Ia akan dilaksanakan sebagaimana dilaksanakan undang-undang biasa. Bukan bermakna apabila kita mahu melaksanakan syariah terus kita memotong tangan pencuri. Saya berpendapat perkara ini tidak akan boleh terus dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun yang terdekat. Kita sebenarnya amat berhajat untuk mendahulukan perlaksanaan dasar, yang berkaitan dengan akidah, akhlak, ekonomi, ilmu tentang syariah.Terdapat dua juta penduduk jalanan di Mesir sekarang, yang tidak mempunyai pendidikan. Adakah apabila kita melaksanakan syariah kita terus akan memotong tangan mereka? Terlebih dahulu kita perlu mengajar mereka, memberi pemahaman, memenuhi keperluan terhadap perkerjaan, pengetahuan, dan keperluan asas.Semua ini perlu dilaksanakan sebelum dilaksanakan hudud.Bukankah Nabi memulakan dakwahnya dengan membetulkan akidah dan menanam pemahaman selama 10 tahun di Mekah.Baginda terlebih dahulu menjelaskan halal dan haram, membersihkan jiwa dan mempersiapkan manusia untuk melaksanakan syariah. Setiap pihak yang akan memegang tampuk pemerintahan amat perlu memahami perkara ini terlebih dahulu.

8) Berperingkat di dalam melaksanakan syariah

Hukum syariah banyak memberikan contoh kepada tadarruj.Contohnya pengharaman arak.Arak diharamkan menerusi beberapa peringkat di dalam beberapa ayat.Lihatlah bagaimana Allah mencipta segala perkara secara berperingkat-peringkat?pohon anak kecilIni adalah sunnah yang perlu diraikan. Bukan hudud sahaja syariah Islam. Tetapi banyak lagi hukum hakam syariah yang lain.

9) Siapakah yang boleh melaksanakan syariah. Negara atau umat?

Sebahagian perkara syariah boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kuasa.Contohnya makan, sembahyang, bekerja, semua perkara ini boleh dilaksanakan mengikut syariah tanpa memerlukan kepada negara.Adakah saya perlu menunggu perintah makan, baru saya makan?Tidak.Perkara berkaitan mencari rezeki yang halal mampu saya laksanakan sendiri tanpa negara.Syariah adalah semua perkara yang berkaitan dengan mukallaf, buat atau tinggalkan.Adapun perkara besar seperti hukuman hudud, hanyalah boleh dilaksanakan oleh negara. Jadi, setiap orang melaksanakan apa yang dituntut daripadanya. Tidak boleh seseorang melakukan perkara diluar bidang kuasanya.Perintah untuk melaksanakan hudud dituju kepada seluruh umat.Tetapi yang boleh melaksanakan hanyalah pemerintah. Jika pemerintah tidak melaksanakan hudud, maka semua akan berdosa. Umat dituntut untuk memastikan pemerintah melaksanakan hudud.

10) Bolehkan satu golongan melaksanakan hudud sendiri?

Tidak boleh.Tidak boleh sekumpulan manusia melaksanakan hudud sendiri.Mestilah negara yang melaksanakannya.

Firman Allah taala:

يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

Ulil Amri adalah ulama dalam bidang kuasanya, dan pemerintah dalam bidang kuasanya.Pemerintah perlu ditaati di dalam perkara yang Allah taala perintahkan kepadanya untuk dilaksanakan.Merekalah yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.Umat pula perlu membantu mereka. Jika kita menangkap pencuri, kita perlu mengajarkan dia bahawa perkara ini salah, bagaimana cara mencari rezeki.Kita tidak boleh terus memotong tangannya sebelum asas-asas ini bertapak kemas.

11) Khilaf antara mazhab

Kebanyakan hukum syariah mempunyai khilaf.Hanya sedikit sahaja yang tiada khilaf. Sesiapa yang mengkaji ilmu fiqh muqaran akan mendapati kebenaran kata-kata ini. Setengah orang mengatakan kita perlu berpegang kepada zahir nas.Tidak.Syariah mempunyai maqasid dan matlamatnya.Maqasid ini perlu diraikan.

Ibnu Taimiyah melarang orang menegah tentera Tartar minum arak. Arak diharamkan kepada kita kerana ia menyibukkan kita daripada mengingati Allah. Tetapi arak adalah lebih baik buat mereka, kerana arak menyibukkan mereka daripada membunuh.Ini adalah satu contoh pandangan terhadap maqasid. Seorang muslim perlu melihat dimanakah tarjih. Banyak pendapat bukan bermakna kita perlu mengambil semua pendapat.Tidak.Bahkan kita perlu meneliti yang manakah lebih rajih, dan mempunyai maslahah yang paling besar untuk manusia.

Kisah Ibnu Abbas, datang seorang bertanya kepadanya “Adakah pembunuh diterima taubatnya?” Ibnu Abbas melihat wajah penanya dan berkata “Pembunuh tidak diterima taubatnya.”Sahabat-sahabat beliau hairan dan bertanya kepadanya.Beliau menjawab “Aku melihat mukanya dipenuhi perasaan marah, dan dia ingin membunuh seorang mukmin.Maka aku ingin halang dia daripada membunuh.”Maka Ibnu Abbas telah menutup jalan orang tersebut daripada membunuh.Sedangkan sebelum itu beliau memberi fatwa bahawa taubat seorang pembunuh diterima Allah.

Daripada sini, para ulama berkata:

الفتوى قبل الابتلاء بالفعل غير الفتوى بعد الابتلاء بالفعل

“Fatwa sebelum sesuatu perbuatan dilakukan, adalah berbeza dengan fatwa selepas sesuatu perbuatan dilakukan.”

Hukum Pertahan Diri dan Balas Serangan

HUKUM MEMPERTAHANKAN DIRI DARIPADA GANGGUAN ATAU MEMBALAS SERANGAN PENJENAYAH
(حكم دفع الصائل )



1. Pendahuluan

Kita sering diberitakan dengan kejadian-kejadian jenayah yang berleluasa dimana-mana sahaja sama ada di negara maju atau negara umat Islam. Punca utama masalah ini adalah jauhnya manusia daripada Allah SubhanaHu wa Taala dan ajaran Islam yang sebenar.

Persoalan yang timbul, mengapakah kemajuan negara-negara Eropah yang terlalu dikagumi oleh golongan sekular dan liberal tidak dapat mengurangkan atau menyelesaikan masalah jenayah yang berlaku di negara mereka? Jawapannya adalah kerana mereka hanya mengejar kemajuan material semata-mata, tanpa mementingkan peningkatan nilai moral dan spiritual dalam masyarakat.Ini juga menunjukkan bahawa kemajuan material tidak menjamin keamanan dan kesejahteraan sesuatu negara, bahkan ideologi-ideologi seperti sekularisma, marxisma, komunis, dan lain-lain yang menjadi dasar, telah terbukti gagal membentuk masyarakat yang baik.

Malangnya di negara umat Islam pula, Islam tidak dipraktikkan secara menyeluruh sebagai dasar negara, undang-undang, pendidikan, ekonomi, dan cara hidup. Malahan mereka sendiri kebanyakannya lebih selesa berkiblatkan Barat dari segi hubungan sosial, budaya, dan pemikiran, namun mereka masih tetap mundur dari segenap segi.Ini semua antara penyebab peningkatan jenayah. Maka sudah sampai masanya untuk kita sebagai satu umat berubah dan kembali kepada Islam secara keseluruhannya, sama ada perubahan itu berlaku secara serta merta atau berperingkat-peringkat.

Artikel ini adalah sekitar topik hukum mempertahankan diri ketika berdepan dengan serangan penjenayah (seperti pembunuh, perompak, perogol dan lain-lain) atau dengan gangguan dan pencerobohan hak.


2. Definisi perkara-perkara yang berkaitan

Pergelutan lazimnya berlaku di antara dua pihak;

I.-Penjenayah /penyerang /penceroboh (المعتدي على الغيرالصائل) : Iaitu seseorang yang menyerang muslim [begitu juga seseorang yang ( معصوم الدم ) seperti seorang Zhimmi
(الكافر الذمي) ] dengan tujuan mencederakan atau memudaratkan, sama ada pada tubuh badan, maruah, dan harta.[1]

II. -Mangsa ( :( المصول عليه، المعتدى عليه Seseorang muslim yang diganggu haknya, atau diserang, atau diancam dengan sesuatu bahaya… Atau;
-Pembela (المدافع عن الغير ): Iaitu orang yang mempertahankan mangsa.

3.Hukum mempertahankan diri

Berbeza mengikut keadaan, adakalanya hukumnya wajib, dan adakalanya bersifat harus(dibolehkan), mengikut keadaan tertentu, beserta syarat-syaratnya yang tertentu yang akan dijelaskan kemudian.
Mangsa atau pembelanya hendaklah memilih tindakan yang ringan sebelum yang berat misalnya;

· jika jenayah dapat dihalang dengan kata-kata dan minta pertolongan, makaharam dia memukul penjenayah.

· Manakala jika dia mampu menghalang penjenayah dengan memukul menggunakan tangan kosong, haram dia memukul dengan menggunakan senjata.

· Jika dia mampu menghalang dengan memotong satu anggota badan penjenayah, haram dia membunuh. Namun jika jenayah tidak dapat dihalang melainkan dengan cara membunuh maka membunuh penjenayah tersebut dibolehkan (harus hukumnya).

· Jika penjenayah menghunuskan pisau atau pedang dan berkemungkinan membunuh, mangsa atau pembelanya dibolehkan (harus) bertindak membunuh penjenayah tersebut, kerana jika dia meminta pertolongan nescaya dia akan dibunuh penjenayah tersebut sebelum datangnya bantuan orang lain.

Hukum mempertahankan diri dan membalas serangan penjenayah diharuskan adalah kerana Dharurat (perkara yang tidak dapat di elak), dan kaedah fiqh ada menyebutkan bahawa ( الضرورة تقدر بقدرها ), iaitu Dharurat hendaklah ditentukan dengan kadarnya yang perlu sahaja (tidak lebih).[2]


4.Dalil-dalil berkaitan hukum mempertahankan diri

Firman Allah SubhanaHu wa Taala, antaranya:

فَمَنِ ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ فَٱعۡتَدُواْ عَلَيۡهِ بِمِثۡلِ مَا ٱعۡتَدَىٰ عَلَيۡكُمۡ‌ۚ
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِينَ 

194....Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.( 002. Al Baqarah: 194.)

وَجَزَٲٓؤُاْ سَيِّئَةٍ۬ سَيِّئَةٌ۬ مِّثۡلُهَا‌ۖ فَمَنۡ عَفَا وَأَصۡلَحَ فَأَجۡرُهُ ۥ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ


40. Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.(042. Asy Syuura: 40 )

Penjelasan:

I. Ayat di atas menjelaskan bahawa membalas penindasan /pencero
bohan/serangan yang diharuskan, adalah dilakukan dengan cara yang adil (iaitu sama kadar dan tidak berlebihan).[3]

II. Perintah bertakwa dalam ayat menunjukkan bahawa tindakan membalas kerana mempertahankan diri mestilah didasari prinsip berpada-pada (tidak melampau) dan hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat agar balasan ke atas penyerang /penjenayah tidak berlebihan daripada perbuatannya ke atas mangsa.[4]

III. Maka tindakan mangsa yang dibenarkan Syarak adalah hanya sekadar untuk melepaskan dirinya atau mangsa serta menghentikan serangan penjenayah dan tidak lebih dari itu.

Sabda Rasul Allah SallAllahu Alihi Wa Sallam, antaranya:

"مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ ".
(عبد الرزاق ، وأحمد ، والعدنى ، وعبد بن حميد ، وأبو داود ، والترمذى - حسن صحيح - والنسائى ، وأبو يعلى ، والبيهقى ، والضياء عن سعيد بن زيد)

أخرجه عبد الرزاق (10/114 ، رقم 18565) . وأحمد (1/190 ، رقم 1652) ، و عبد بن حميد (1/66 ، رقم 106) ، وأبو داود (4/246 ، رقم 4772) ، والترمذى (4/30 ، رقم 1421) وقال : حسن صحيح . والنسائى (7/116 ، رقم 4095) ، وأبو يعلى (2/248 ، رقم 949) ، والبيهقى (3/266 ، رقم 5858) ، والضياء (3/292 ، رقم 1092) وقال : إسناده حسن .[5]

Mafhumnya:

Sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawa) maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya maka dia adalah syahid.[6]

Hadith tentang tuntutan membela mangsa dan menghalang seseorang daripada menzalimi atau dizalimi:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :" انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا.
" قَالُوا: " يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا نَنْصُرُهُ مَظْلُومًا فَكَيْفَ نَنْصُرُهُ ظَالِمًا ؟ "
... قَالَ :" تَأْخُذُ فَوْقَ يَدَيْه...."[7]

Mafhumnya:

Sabda Rasul Allah SallAllahu Alihi Wa Sallam :
“Bantulah saudaramu yang zalim atau dizalimi”. Para sahabat bertanya: Ini kami membantunya kerana dizalimi, bagaimana pula membantu orang yang zalim? Jawab Baginda : “Kamu ambil kekuasannya” (sekat dan halang kezalimannya).

Hadith lain:
" مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ
أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَة "[8]
Mafhumnya:
Sesiapa yang mendapati seorang mukmin dihinakan (dizalimi)sedangkan dia mampu membela /menolong, akan Allah hinakan (malukan ) dia di hadapan sekalian makhluk pada Hari Kiamat.


5. Jenis-jenis serangan atau jenayah serta perincian hukumnya

Seseorang yang mengetahui serta mampu membela mangsa daripada diserang dan menghalang jenayah, wajib mempertahankan mangsa dalam apa pun keadaan, lebih-lebih lagi jenayah berkaitan nyawa seorang muslim dan maruah seorang perempuan, sekalipun pembela tersebut dibunuh.[9]

Manakala mangsa pula, terdapat perincian hukum baginya:

I. Serangan/ jenayah keatas nyawa:

Iaitu serangan tersebut sama ada bertujuan membunuh atau membahayakan tubuh mangsa seperti memukul, menumbuk, melukakan dan lain-lain.

Hukum:

Mazhab Syafie:[10]
· Wajib: Jika penjenayah bukan seorang muslim, mangsa wajib mempertahankan dirinya. Begitu juga hukumnya jika seseorang diserang oleh binatang buas, dia tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa.
· Harus: Jika penjenayah seorang muslim, mangsa diberi pilihan oleh Syarak sama ada mempertahankan dirinya ataupun tidak.

Mazhab Maliki dan Hanafi:
· Wajib: Setelah penjenayah diberi peringatan, iaitu jika penjenayah masih tidak tertegah dengan kata-kata. Ini adalah syarat disisi mazhab Maliki.[11]

Mazhab Hanbali:
· Harus: Walaupun penyerang/penjenayah sama ada seorang kanak-kanak atau dewasa, orang gila ataupun berakal.[12]

II. Serangan/ jenayah keatas maruah:
Iaitu sama ada pemerkosaan atau bentuk-bentuk gangguan seksual (muqaddimah zina seperti mencium, meraba dan lain-lain).

Hukum:

· Wajib: Mangsa wajib mempertahankan dirinya walau apa jua keadaan sekalipun, semampu mungkin, sekalipun dibunuh atau membunuh. Pendapat ini disepakati fuqaha.[13]

III. Serangan/ jenayah keatas harta:

Iaitu dengan cara merampas, merompak, memusnahkan harta mangsa dan seumpamanya.

Hukum :

Jumhur fuqaha:
· Harus: Mangsa tidak wajib mempertahankan hartanya, namun dibolehkan.

Mazhab Maliki:
· Harus: Jika harta tersebut kecil nilainya. Ini adalah pendapat sebahagian daripada ulama Maliki.
· Wajib: Sebahagian yang lain berpendapat dengan pendapat ini, dengan syarat penjenayah telah ditegah dengan kata-kata seperti di atas.[14]

Mazhab Syafie:
· Wajib: Jika harta tersebut bukan milik mangsa, dan dia hanya pemegang amanah seperti pemimpin negara, penguasa tentera[15] bagi harta negara dan lain-lain seperti harta yang berkaitan dengan pajakan ( الرهن ) dan penyewaan ( الإجارة ).Begitu juga hukumnya mempertahankan harta yang bernyawa (haiwan) jika penjenayah bertujuan hanya membinasakanya (bukan memanfaatkannya), mengikut pendapat yang terkuat dalam mazhab Syafie.[16]
· Harus: Mangsa tidak wajib mempertahankan harta miliknya, namun dibolehkan oleh Syarak.[17]

6. Syarat-syarat pengharusan mempertahankan diri dan membalas serangan penjenayah[18]

I. Tindakan yang dilakukan oleh penyerang adalah satu bentuk jenayah ataukezaliman (melakukan sesuatu tanpa hak).

II. Serangan tersebut benar-benar berlaku, bukan semata-mata kata-kata ancaman daripada penjenayah. Misalnya seseorang yang mengugut bunuh sedangkan dia tidak mempunyai senjata dan tidak melakukan apa-apa, maka mangsa tidak bolehmengambil tindakan membunuh penjenayah tersebut hanya semata-mata kerana ugutannya.

III. Mangsa tidak dapat melepaskan dirinya melainkan dengan membalas tindakan yang sama yang dilakukan oleh penjenayah, seperti memukul,menendang dan lain-lain.

IV. Tindakan membalas hanya sekadar perlu dan tidak keterlaluan. Jika mangsa dapat melepaskan diri dengan cara menjerit meminta pertolongan dia tidak boleh terus memukul penjenayah.


7. Isu-isu lain yang berkaitan

Kecederaan dan kematian penjenayah

Jika penjenayah cedera/menjadi cacat/terbunuh dengan sebab tindakan mangsa/pembelanya, sama ada;

I. Tanpa sengaja: Iaitu tindakan mempertahankan diri tersebut hanya bertujuan melepaskan diri dan bukan bertujuan menzalimi.

Hukum: Orang yang mencederakan tersebut tidak berdosa dan tidak akan dikenakan apa-apa hukuman. Penjenayah atau warisnya pula, tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi apabila berlaku kecederaan/kecacatan atau kematian.

Atau;

II. Dengan sengaja mencederakan penjenayah:
Maka salah satu daripada dua keadaan, iaitu:
· Kerana darurat: Iaitu tindakannya hanya untuk melepaskan diri daripada penjenayah, bersesuaian dan bertindak sekadar yang perlu.
Hukum:

Sama seperti tindakan mencederakan penjenayah tanpa sengaja yang telah disebutkan di atas, kerana mangsa atau pembelanya berhak berbuat demikian dan kecederaan penjenayah tersebut seolah-olah akibat perbuatannya sendiri.

Atau;

· Tanpa keperluan:
Contohnya seorang peragut (tanpa mencederakan mangsa) dibelasah sehingga cedera atau mati.

Hukumnya:
Haram dan orang yang cedera tersebut atau warisnya (dalam kes kematian) berhak menuntut balas Qisas (القصاص )atau ganti rugi Diah ( الدية ) atas kecederaannya/kematian melalui proses mahkamah berkaitan bab Qisas danDiah.[19]

Mengintai rumah orang atau menceroboh hak privasi

Jika seseorang mengintai rumah orang lain melalui lubang atau celahan pintu lalu cedera dengan sebab dibaling batu kecil atau dijolok oleh tuan rumah dengan kayu, pengintai tersebut tidak berhak menuntut hak Qisas atau Diah atas kecederaannya.

Namun jika dia cedera dengan benda yang boleh membunuhnya seperti besi atau panah, maka orang yang mencederakan boleh dikenakan Qisas atau Diah.Ini adalah pendapat mazhab Syafie dan Hanbali, berbeza dengan pendapat mazhab Hanafi dan Maliki yang tetap mewajibkan Qisas atau Diah dalam kedua-dua keadaan yang disebutkan diatas.

Perbezaan pendapat di atas berlaku dalam kes apabila seseorang itu mengintai dari luar rumah. Manakala jika seseorang itu menceroboh masuk atau hanya menghulurkan kepalanya ke dalam rumah orang lain lalu dicederakan, maka dia tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi atau hukuman secara Ijma’ ulama.[20]

8.Penutup

Secara fitrahnyaseorang manusia yang normal sentisa menginginkan hidupnya aman tenteram dan sejahtera. Sudah pasti dia tidak suka diri dan keluarganya diganggu, dizalimi apalagi dicabuli. Islam datang bagi memastikan setiap individu mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama. Dengan sebab itulah disyariatkan undang-undang jenayah dan kehakiman ( أحكام القضاء والجنايات ), kekeluargaandan perwarisan harta ( أحكام الأسرة والمواريث ), urusniaga (أحكام البيوع والمعاملات ), pentadbiran dan kepimpinan ( أحكام الولاية و الإمارة ) beserta hukum-hakamnya demi menjaga maslahat manusia dan hak sesama mereka (الحقوق بين العباد ),disamping pensyariatan hukum hakam berkaitan ibadat ( أحكام العبادات ) demi menjaga hak dan hubungan antara hambadan Allah Taala (الحقوق بينالعباد و رب العباد).

Maka teramat-amat benarlah firman Allah SubhanaHu waTaala:

ٱلۡيَوۡمَ يَٮِٕسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِ‌ۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ
3…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya).sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu…(005. Al Maidah: 3).