MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

Showing posts with label Wanita Islam. Show all posts
Showing posts with label Wanita Islam. Show all posts

UMAMAH BINTI ABI AL-ASH

1. Permulaan Wanita Mulia

Bercerita tentang keluarga Rasulullah SAW sangat menyenangkan dan indah. Hati kita semakin hidup, jiwa semakin bersinar, dapat membentuk sifat yang baik dan belajar perkara-perkara yang bersifat mulia. Kita akan bercerita tentang sejarah seorang ahlul bait yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sangat menyayangi, memulia dan mendukungnya ketika dia masih bayi.

Siapakah gerangan orang yang ketika kecil pernah didukung oleh Rasulullah SAW? Dia adalah cucu Rasululah SAW. Namanya Umamah binti Abi al-Ash bin Rabi' al-Qurasyiah al-'Abasiyah. Ibunya bernama Zainab binti Rasulullah SAW. Zainab adalah puteri Rasulullah SAW yang paling besar, termasuk dalam golongan muhajirat dan pemimpin-pemimpin wanita yang suci.'

Neneknya yang berasal daripada ibu bernama Khadijah binti Khuwailid, ummul mukminin, pemimpin semua kaum wanita pada zamannya. Beliau adalah seorang yang pertama sekali beriman kepada Rasulullah SAW. Dia memiliki banyak kebaikan dan keberanian. Dia merupakan contoh wanita yang sempurna, seorang yang cerdik, mulia dan seorang calon penghuni syurga.

Ayahnya bernama Abu al-'As bin Rabi', menantu Rasulullah SAW. Ibu Abu al-'Ash bernama Halah binti Khuwailid. Rasulullah SAW selalu memuji Abu al-Ash kerana dia selalu menjaga hubungan baik keluarga. Al-Imam Abu Daud telah mentakhrij hadis dengan sanadnya daripada Ali bin Husain bahawa Rasulullah SAW berkata tentang Abu al-'Ash : "Setiap kali dia bercakap denganku selalu jujur dan apabila berjanji selalu memenuhi janjinya."

Abu al-'Ash pernah ditawan oleh pasukan muslimin ketika perang Badar, namun dilepaskan tanpa wang tebusan sebagai penghormatan kepada Rasulullah SAW kerana dia adalah suami daripada Zainab bin Rasulullah SAW. Kemudian dia memeluk Islam sebelum Rasulullah SAW menakluk bandar Mekah. Rasulullah SAW menikahkannya kembali dengan puterinya Zainab. Akhirnya Abu al-'Ash menjadi seorang anggota perang muslimin. Dia meninggal dunia pada bulan Zulhijjah tahun 12H.

2. Berpisah Dengan Orang Yang Sangat Dicintai

Zainab binti Rasulullah SAW meninggal dunia pada awal tahun kelapan hijrah. Beliau meninggal puterinya yang tercinta, Umamah yang masih kanak-kanak. Pemergian Zainab sangat menyedihkan Rasulullah SAw dan anaknya yang masih kecil. Rasulullah SAW mengirimkan anaknya kepada Allah SWT dan menyuruh kaum wanita untuk memandikannya dengan baik.

Ummu Athiyah menceritakan kepada kita tentang perjalanan tahjiz atas Zainab. Dia berkata : "Rasulullah SAW masuk menghampiri kami ketika puterinya (Zainab) meninggal dunia. Rasulullah berkata kepada kami : "Mandikanlah Zainab 3 atau 5 kali atau lebih banyak dengan air yang dicampurkan dengan sidr (bidara) dan campurkan air dengan kapur untuk yang terakhir. Beritahu saya apabila kamu selesai memandikan Zainab."

Kami mengkhabarkan kepada Rasulullah SAW setelah selesai memandikan Zainab dan memberi kainnya. Rasulullah SAW pun berkata : "Tutuplah Umamah binti Abu al-'Ash dengan kain tersebut." Kemudian Rasulullah SAW menyolatkan Zainab, menghantarkan ke makamnya di Baqi' di bandar Madinah.

Kemudian Rasulullah SAW kembali ke cucunya, Umamah untuk menghibur hatinya yang sedih sepeninggalan puterinya Zainab. Rasulullah SAW mencurahkan kasih sayang sepenuh kepada cucunya tersebut seperti halnya kepada Hasan dan Husain, putera Fatimah az-Zahra. Semoga Allah SWT sentiasa meredai mereka semua.

3. Umamah Di Bawah Jagaan Rasulullah SAW

Umamah mendapat perhatian yang sangat besar daripada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sentiasa mencurahkan kasih sayangnya terhadap cucunya tersebut., sampai mendukungnya ketika baginda solat seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah.

Abu Qatadah r.a. berkata : "Ketika kami hendak melaksanakan solat Zohor atau Asar, maka Bilal memanggil Rasulullah SAW. Rasulullah SAW datang sementara cucunya, Umamah berada di lehernya (didukung). Ketika Rasulullah SAW pergi ke tempat imam dan kami berdiri di belakangnya, Umamah masih berada di leher Rasulullah."

Abu Qatadah berkata bahawa Rasulullah SAW membaca takbir (Allahu Akbar) kami membaca takbir setelahnya. Apabila Rasulullah SAW mahu rukuk, dia meletakkan Umamah, kemudian baginda rukuk dan sujud. Setelah selesai sujud, Rasulullah SAW berdiri dan mengangkat Umamah kembali ke kedudukan asal dan hal ini terus berlangsung setiap rakaat sehingga Rasulullah SAW selesai daripada solat. Perbuatan Rasulullah SAW mendukung cucunya Umamah ketika baginda solat menunjukkan kepada kita kecintaan Rasulullah SAW yang begitu besar terhadap kanak-kanak dan perhatiannya yang begitu serius terhadap perkembangan mereka.

4. Keluarga Yang Paling Dicintai

Rasulullah SAW sangat menyayangi Umamah dan sentiasa memberinya hadiah pada saat-saat tertentu. Telah diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah bahawa Rasulullah SAW mendapat hadiah daripada an-Najasyi seutas rantai emas. Rantai tersebut Rasulullah SAW berikan kepada Umamah r.a. Umamah memiliki kedudukan yang mulia di kalangan para sahabat wanita dan dianggap orang yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Ummul Mukminin Aisyah pun hampir cemburu melihat kecintaan Rasulullah SAW yang begitu serius terhadap Umamah.

Ummul Mukminin Aisyah telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW mendapat hadiah seutas gelang yang diperbuat daripada batu akik yang dihiasi dengan emas. Semua isteri Rasulullah SAW berkumpul, sedangkan Umamah puteri Zainab binti Rasulullah sedang bermain di halaman rumah.

Rasulullah SAW berkata : "Bagaimana pendapat kamu sekalian tentang hadiah ini?" Kami menjawab : "Ya Rasulullah! Kami tidak pernah melihat rantai yang lebih cantik daripada ini." Rasulullah berkata : "Kembalikan rantai tersebut kepada aku." Setelah mengambil rantai tersebut Rasulullah SAW berkata : "Demi Allah! Aku akan mengalungkannya ke leher orang yang paling aku sayangi dalam keluargaku."

Kemudian Aisyah berkata : "Dunia terasa gelap, khuatir kalau Rasulullah SAW akan meletakkannya ke leher orang lain dan aku melihat semua isteri Rasulullah SAW berharap seperti aku. Suasana menjadi sunyi. Perasaan kami (isteri-isteri Rasulullah) menjadi tenang ketika Rasulullah SAW meletakkan rantai tersebut ke leher Umamah binti Abu al'Ash.

5. Pernikahan Umamah

Ketika Abu Al-'Ash bin Rubi' meninggal dunia pada tahun kedua belas hijrah, terlebih dahulu dia memberi wasiat kepada puterinya Umamah untuk menikah dengan Zubair bin 'Awwam r.a. Zubair bin 'Awwam menikahi Umamah setelah Ali bin Abi Talib (Suami pertamanya Umamah) meninggal dunia. Ali bin Abi Talib menikahi Umamah sesuai dengan wasiat isterinya Fatimah binti Rasulullah sebelum dia meninggal dunia. Pernikahan Ali bin Abi Talib dengan Umamah berlangsung pada zaman khalifah Umar bin Khattab. Ketika Ali bin Abi Talib terbunuh, Umamah sangat bersedih.

Lihatlah bagaimana Ummul Haitham An-Nakha'i menggambarkan perasaan Umamah ketika Ali bin Abi Talib terbunuh : "Apakah rambutku mulai memutih dan daya ingatanku mulai berkurang Umamah, ketika seorang kawan pergi meninggalkan kawannya. Dia selalu membayangkannya kerana hajatnya terhadapnya. Ketika dia mulai jenuh, dia terbangun Ali bin Abi Talib berpesan kepada isterinya Umamah sebelum meninggal dunia : "Wahai isteriku! Kalau ingin menikah setelah kepergianku, aku telah merelakan engkau untuk menikah dengan Mughirah bin Naufal."

Sesudah habis tempoh masa iddah Umamah, datanglah Mu'awiyah bin Abu Sufyan untuk melamar Umamah tetapi Umamah mengutus surat kepada Mughirah. Dalam suratnya dia berkata : "Kalau engkau berkeinginan menikahiku segeralah datang." Akhirnya menikahlah Mughirah bin Naufal dengan Umamah. Hasan bin Ali menjadi wali bagi Umamah. Dia hidup bersama Mughirah sampai dia meninggal dunia pada zaman khalifah Mu'awiyah. Daripada kedua pernikahannya tersebut, Umamah tidak dikurniakan seorang keturunan pun.

Dengan meninggalnya Umamah (tanpa meninggal seorang keturunan pun) terputuslah keturunan Zainab binti Rasulullah. Zainab, Ruqayyah dan Ummu Kalthum, puteri-puteri Rasulullah, tidak memiliki keturunan lagi. Hanya Fatimah Az-Zahra saja yang masih memiliki generasi-generasi sampai saat ini.

Akhirnya, sampailah kita di penghujung sejarah Umamah binti Abi Al-'Ash. Sejarah hidup yang sangat indah. Semoga Allah SWT sentiasa menerangi kubur orang yang paling di cintai oleh Rasulullah SAW daripada ahlul baitnya.

UMMU RUMAN BINTI AMIR r.a.

1. Ummu Qura

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ketika Ibrahim berkata : "Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) aman sentosa..." (Ibrahim : 35). Bandar Mekah adalah bandar yang sentiasa dituju oleh manusia daripada segala penjuru. Di tengahnya terdapat Al-Bait Al-'atiq (Kaabah) yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai tempat pulang bagi manusia (tempat ziarah) serta aman. Diceritakan terdapat satu rombongan kecilyang berasal dari dataran tinggi menuju ke Mekah yang aman dan tenteram untuk tinggal di sana. Rombongan kecilini hanya terdiri daripada Ummu Ruman binti Amir bin Uwaimir Al-Kannaniyah, suaminya Abdullahbin Al-Harith Al-Azdiy dan anaknya yang bernama Al-Thufail.

Sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Arab pada zaman jahiliyah untuk bersama dengan kabilah lain. Abdullah bin Al-Harith menjadikan Abu Bakar As-Siddiq yang memiliki sifat-sifat mulia sebagai sekutunya. Tidak berapa lama setelah tinggal di Mekah, Abdullah bin Al-Harith meninggal dunia. Dia meninggalkan seorang isteri dan seorang anak. Pada mulanya mereka berdua berasa sedih dan kesepian sepeninggalan Abdullah bin Al-Harith tetapi dengan kelemahan lembutan dan sifat penyayangnya, Abu Bakar mampu menghilangkan perasaan sedih dan kesepian mereka.

Abu Bakar sejak zaman jahiliyah sudah dikenali sebagai orang yang penuh kasih sayang dan pemurah, seperti yang diungkapkan oleh Ibn Al-Dignah kepada kaum Quraisy ketika Abu Bakar berkeinginan untuk berhijrah. Ungkapan Ibn Al-Dignah sebaga berikut : " Wahai kaum Quraisy! Apakah kamu sekalian hendak mengusir seorang yang sentiasa membantu orang yang tidak mempunyai, yang selalu menyambung silaturrahim, yang menolong orang yang keletihan, yang menghormati tetamu dan yang membantu untuk menegakkan kebenaran."

Sifat-sifat Abu Bakar yang mulia ini dapat dilihat, terutama yang terakhir, ketika ia memutuskan untuk menikahi Ummu Ruman setelah ditinggal mati oleh suaminya. Abu Bakar sangat menyayangi, menggalinya dengan baik dan memuliakannya dan anaknya yng bernama Thufail. Abu Bakar mendapat dua orang anak daripada pernikahannya dengan Ummu Ruman. Mereka adalah Abdul Rahman dan Aisyah yang kelak akan menjadi ummul mukminin.

2. Menuju Jalan Kebenaran

Beberapa riwayat menyatakan bahawa Abu Bakar As-Siddiq adalah orang yang pertama sekali memeluk Islam daripada golongan dewasa. Beliau adalah seorang yang digelar As-Siddiq yang pertama dan merupakan khalifah yang pertama. Terdapat dalam dirinya berbagai sifat mulia yang menunjukkan kemuliaan kedudukannya di antara sahabat.

Al-Ustaz Abbas Mahmud Al-'Aqqad dalam bukunya yang berjudul Abqariyah As-Siddiq berkata : "Telah terdapat dalam diri Abu Bakar syarat-syarat ntuk menjadi seorang yang matang, kesegaran untuk memeluk agama Islam, sebagai kawan Rasulullah s.a.w. ketika di dalam gua, disegani di kalangan sahabat dan ramai di antara sahabat yang berikrar memeluk Islam di hadapan Abu Bakar.

Sebagai orang pertama memeluk Islam, akhirnya Abu Bakar menyeru keluarganya yang terdekat supaya memeluk Islam. Mulai daripada ibunya yang bernama Salma binti Sakhr atau Ummu Al-Khair dan isterinya Ummu Ruman semuanya memelukagama Islam. Mereka termasuk dalam golongan sahabat wanita pertama yang memeluk agama Islamdan mengikut ajaran Rasulullah s.a.w.

3. Sifat-Sifat Mulia

Ummu Ruman dikenali sebagai orang sangat dipercayai, yang menepati janji dan seorang wanita solehah. Sebagaimana hal suaminya, Abu Bakar dikenali sebagai As-Siddiq (Orang yang jujur dan dipercayai) sejak zaman jahiliyah. Banyak kita temuan ayat-ayat Al-Quran yang memuji sifat tersebut serta memerintahkan manusia supaya memiliki sifat tersebut.

Kedua orang sahabat ini, Abu Bakar dan isterinya, Ummu Ruman yang mendapat kehormatan bermusaharah dengan Rasulullah s.a.w. dapat dijadikan contoh teladan bagaimana seharusnya manusia bersifat As-Siddiq. Pernikahan Rasulullah s.a.w. dengan Aisyah dapat dijadikan sebagai bukti alangkah mulianya nasab Ummu Rumandan sempurnanya ri'ayahnya (memelihara) kehormatan suami dan pendidikan puterinya. Di samping itu dia dapat membuktikan ketulusan imannya dan dia merupakan contoh seorang wanita yang bersikap baik dan sopan terhadap Rasulullah s.a.w. yang mungkin sukar untuk ditemui.

Ketika Rasulullah s.a.w. memutuskan untuk melamar Aisyah, bertanyalah Khaulah binti Hakim kepada Ummu Ruman : "Wahai Ummu Ruman! Berkat apa yang telah Allah s.w.t. berikan kepada keluargamu?" Ummu Ruman menjawab : "Ada masalah apakah ya Khaulah?" Khaulah binti Hakim menjawab dengan wajah berseri : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyebut nama puterimu Aisyah." Ummu Ruman termenung sebentar sambil berfikir, sementara kegembiraan telah menyilimuti dirinya. Kemudian dia berkata : "Tunggu sebentar! Abu Bakar akan kembali." Ketika Ummu Ruman menceritakan hal tersebut kepada Abu Bakar. Abu Bakar menjawab : "Sesungguhnya Muth'im bin Adiy pun telah menyebut (menawarkan) nama Aisyah kepada anaknya dan demi Allah! Aku tidak pernah untuk mengingkari janji."

Kemudian Abu Bakar menemui Muth'im, sementara isterinya bersamanya Abu Bakar bertanya kepada Muth'im : "Apakah keputusanmu tentang puteriku (Aisyah)?"

Muth'im bin Adiy menoleh kepada isterinya sambil bertanya : "Bagaimanakan pendapatmu?"

Isterinya menghampiri Abu Bakar sambil berkata : "Mungkin kalau kami memutuskan untuk menikahkan anak kami dengan puterimu, maka kamu akan memasukkan dalam agamamu (Islam)!

Abu Bakar tidak menjawab pertanyaan isteri Muth'im tersebut, tetapi malah bertanya kepada Muth'im : "Apakah pendapatmu wahai Muth'im?" Jaawapan Muth'im sama dengan jawapan isterinya.

Abu Bakar berasa sudah terlepas dari perjanjian dengan Muth'im setelah mendengar jawapan mereka. Akhirnya Rasulullah s.a.w. melamar Aisyah. Ummu Ruman sejak itu mengorbankan dirinya untuk ikut serta melindungi Rasulllah s.a.w.

4. Muhajirah Yang Solehah.

Ibn Sa'ad berkata : "Ummu Ruman adalah seorang wanita solehah. Kesolehahan seseorang adalah tanda atas kemuliaannya. Ummu Ruman memiliki keutamaan dalam hijrah.

Ummul Mukminin Aisyah berkata : "Rasulullah meninggalkan kami dan puteri-puterinya ketika baginda hijrah ke Madinah. Ketika suasana sudah terkawal, Rasulullah s.a.w. mengutus Zaid bin Harithah bersama hamba sahayanya yang bernama Abu Rafi' dan Abu Bakar mengutus bersama mereka Abdullah bin Uraiqit sambil membwa surat Abu Bakar yang memerintahkan anaknya, Abdullah supaya berhijrah bersama ibu saya (Ummu Ruman), saya dan Asma isteri Zubair. Ketika sampai di Madinah kami mendapati Rasulullah s.a.w. sedang membina masjid dan beberapa rumah sekitarnya."

Pada tahun kedua hijrah Rasulullah s.a.w. menikahi Aisyah yang telah dididik baik oleh ibunya Ummu Ruman dengan adab yang bersumberkan daripada Al-Quran. Bahagialah orang yang sentiasa mengikuti nasihat nabawiyah.

5. Ummu Ruman dan Al-Quran.

Ketika Ummul Mukminin Aisyah difitnah dengan Hadith Ifki (Cerita bohong) yang dipelopori oleh orang-orang munafik, Ummu Ruman hampir pengsan mendengar khabar tersebut. Dia hanya boleh berserah diri kepada Allah. Dia yakin Allah akan melindungi orang-orang yang soleh dan akan turun kelak aat Al-Quran yang akan menerangkan secara terang kebohongan cerita tersebut.

Setelah beberapa hari turunlah Malaikat Jibril dengan membawa ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan baraah (kesucian) Aisyah daripada cerita bohong tersebut. Alangkah gembiranya hati Ummu Ruman dan anaknya Aisyah ketika mendengar ayat-ayat tersebut dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas mihrab. Allah s.w.t. telah menjaga kesucian rumah tangga Rasulullah s.a.w. dan menolak serta membongkar tipu daya kaum munafiqin serta menjadikan mereka golongan yang hina.

Cara Ummu Ruman menghadapi cerita bohong ini adalah contoh seorang wanita solehah dan seorang pelindung yang mulia yang mengetahui hak dan kewajipannya. Alangkah bahagianya kalau kaum wanita muslimah mahu menjadikan Ummu Ruman sebagai contoh teladan bagi mereka.

6. Balasan Syurga.

Banyak sumber sejarah yang mengatakan bahawa Ummu Ruman meninggal dunia pada zaman kenabian, tepat di bulan Zulhijjah tahun 61H. Ummu Ruman banyak mendapat pujian dan penghargaan daripada Rasulullah s.a.w., baik semasa hayatnya mahupun sesudah kematiannya.

Seorang ahli sejarah yang dikenali dengan nama Samhudi telah mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menziarahi kubur Ummu Ruman dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar diampuni segala dosa Ummu Ruman. Rasulullah s.a.w. berdoa untuknya : "Ya Allah! Sesungguhnya engkau melihat dan mengetahui segala sesuatu yang menimpa Ummu Ruman demi membela agama dan Rasul-Mu."

Ibn Sa'ad mentakhrij dengan sanadnya sendiri daripada Qasim bin Muhammad. Dia berkata : "Ketika Ummu Ruman dibaringkan di dalam kuburnya, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang berkeinginan untuk melihat seorang wanita daripada bidadari syurga hendaklah dia melihat Ummu Ruman." Seorang wanita yang mendapat kedudukan yang sangat tinggi ini adalah sangat beruntung.

Akhirnya, inilah Ummu Ruman, contoh seorang pelindung yang mulia, seorang isteri yang solehah, seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang mukminhah yang tabah. Sudahkah kamu wahai wanita muslimat menjadikan Ummu Ruman sebagai pegangan dan idola hidupmu? Ummu Ruman meriwayatkan satu hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang hanya di takhrij oleh Imam Bukhari sahaja.

Di akhir cerita sejarah ringkas hidup Ummu Ruman marilah kita sama-sama membaca firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Wahai jiwa yang tenang (suci) kembalilah kamu kepada Tuhan-Mu, dengan (hati) redha dan diredhai. Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah kamu ke dalam syurga-Ku."
(Al-Fajr : 27-30)


1. NUSAIBAH BINTI KA'AB AL-ANSARIYAH R.A.

1. Berlumba-lumba Untuk Mendapat Kemuliaan

Sesungguhnya golongan para sahabat wanita tidak pernah ketinggalan dari kebaikan dan nilai-nilai kemuliaan bagi golongan para sahabat lelaki, tetapi mereka berlumba-lumba untuk mencapainya bahkan mereka menyaingi golongan sahabat lelaki dalam penyertaan berjihad.

Nusaibah binti Ka'ab bin Amr bin Auf bin Mabzul Al-Ansariyah Al-Kazrijah An-Najjariyah Al-Maziniyyah, yang sering dipanggil dengan gelaran Ummu Imarah adalah salah seorang golongan sahabat wanita yang terkenal pada zaman pemerintahan Islam, yang telah mati syahid di medan jihad, ilmu, ibadah, warak dan keimanan.

2. Keluarga Yang Mulia

Ummu Imarah atau Nusaibah r.a. hidup dan membesar dalam lingkungan keluarga yang dikenali dengan tahap kemuliaan. Keluarganya berasal dari golongan keluarga yang sangat mulia, yang sentiasa berkhidmat untuk Islam dan Muslimin sesuai dengan kemampuan mereka. Di antara keluarga ini ada seorang pejuang wanita Ansar, iaitu Ummu Imarah r.a.

Saudara kandungnya yang bernama Abdullah bin Ka'ab Al-Maziniy termasuk di antara sahabatyang ikut serta dalam perang Badar. Saudara lain yang bernama Abdurrahman dianggap salah seorang sahabat yang termasuk dalam golongan Al-Bukkain (yang sentiasa menangis).

Suaminya yang bernama Zaid bin Ashim termasuk dalam golongan awal yang memeluk Islam dan kedua-dua orang puteranya yang bernama Habib dan Abdullah adalah sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka merupakan pasukan berkuda keluaran Madrasah Al-Nubuwahi. Mereka telah menghiasi sejarah dengan segala amalan mereka yang mulia.

Ketika suaminya meninggal dunia, dia menikah lagi dengan Ghaziyyahbin Amrin bin Athiyyah An-Najjari. Daripada suami yang kedua ini dia memiliki dua orang anak yang bernama Tamim dan Khaulah. Keluarga yang penuh dengan kebahagiaan ini termasuk dalam golongan orang-orang yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. dengan Islam. Mereka sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam dan berkorban demi agama Islam.

3. Seorang Sahabat Wanita Yang Mujahidah

Setiap orang dari pejuang muslim memiliki kedudukan yang dapat dikenali. Kedudukan ini adalah suatu kemuliaan yang dapat dibanggakan daripada sejarah kehidupannya yang akan diceritakan oleh orang lain sesudah kematiannya.

Tidak ada satu pun sejarah yang lebih mengharukan hati dan jiwa daripada sejarah dan kedudukan Ummu Imarah (Nusaibah) yang telah melalui banyak peperangan dalam hidupnya dalam menegakkan agama Allah s.w.t. Beliau adalah pejuang muslimah pertama dalam Islam.

Imam Al-Zahabi pernah berkata : "Ummu Imarah yang mulia adalah seorang mujahidah, turut serta menyaksikan Bai'at Al-Aqabah, perang Uhud, perang Al-Hudaibiyah, perang Hunain dan perang Yamamah. Masyhad (peristiwa) pertama yang dapat kita lihat sikap patriotisma ini adalah dalam Bai'at Al-Aqabah yang juga diikuti oleh seorang perempuan lain yang bernama Asma binti Amrin atau Ummu Mani'.

Ketika perang Uhud terjadi, Ummu Imarah keluar untuk memberikan minuman kepada pasukan muslimin yang kehausan dan merawat mereka yang terluka. Tatkala pasukan muslimin mula terdesak dalam perang tersebut setelah menguasai sebelumnya dan lari daripada peperangan, kecuali hanya beberapa orang sahaja yang tetap bertahan, maka Ummu Imarah menghunus pedangnya dan menggunakan perisai (alat pelindung sewaktu perang) serta melindingi Rasulullah s.a.w. daripada jangkauan musuh.

Ummu Imarah selalu berusaha untuk melindungi Rasulullah s.a.w. ketika perang Uhud daripada segala bahaya yang datang daripada musuh. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Saya tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali aku melihat Ummu Imarah berperang di hadapanku." (Segala puji bagi Allah yang memenangkanmu).

Peranh Uhud masih berlanjutan, keluarga mujahidah mengelilingi Rasulullah s.a.w. untuk melindinginya. Ketika salah seorang anaknya yang bernama Abdullah terluka parah, Ummu Imarah mengikat luka tersebut sambil berkata : "Bangun wahai anakku! Anaknya terus melawan para kaum musyrikin." Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Wahai Ummu Imarah! Siapakah yang mampu lakukan seperti apa yang telah kamu lakukan?"

Ketika kaum musyrik yang melukai anaknya semakin dekat, Rasulullah s.a.w. berkata kepada Ummu Imarah : "Ini dia orang yang telah melukai anakmu", seketika itu juga Ummu Imarah menghampiri orang tersebut dan berjaya melukai betis orang tersebut dengan pedangnya. Rasulullah s.a.w. tersenyum sambil berkata : "Ya Ummu Imarah! Engkau telah berjaya membalasnya."

Kemudian Ummu Imarah bersama yang lain berjaya membunuh orang musyrik tersebut. Rasulullah .s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Segala puji bagi Allah yang telah memenangkanmu dan menggembirakan hatimu daripada musuhmu serta memperlihatkan balas dendammu di hadapanmu."

4. Para Penghuni Syurga

Ummu Imarah mengalami luka yang sangat banyak ketika perang Uhud. Luka yang paling dalam terdapat di bahunya. Rasulullah s.a.w. memeriksa luka Ummu Imarah dan memerintahkan anaknya yang bernama Abdullah supaya mengikat luka tersebut sambil bersabda yang bermaksud : "Semoga Allah s.w.t. sentiasa memberkati dan merahmati kamu sekalian."

Ketika Ummu Imarah mendengar sabda tersebut, dia pun berkata : "Ya Rasulullah! Mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti." Rasulullah s.a.w. berdoa yang bermaksud : "Ya Allah! Jadikanlah mereka semua yang menemaniku dalam syurga kelak." Lantas Ummu Imarah berkata : "Aku tidak pernah mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia."

5. Selalu Menyertai Peperangan

Ummu Imarah ikut serta dalam perang Bani Khuraizhah. Ketika perang Al-Hudaibiyah, Ummu Imarah telah mengasah pisau kerana bimbang kaum musyrikin mengingkari perjanjian. Dia turut serta dibai'atkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam Bai'at Ar-Ridhwan. Dia termasuk golongan sahabat yang mendapat keredaan Allah s.w.t.

Sesudah itu, Ummu Imarah turut dalam perang Khaibar, Umrah Al-Qadha (pengganti) dan perang Hunain. Dalam perang Hunain dia memiliki manqif (kedudukan) yang tidak kurang pentingnya daripada perang Uhud. Dia termasuk salah seorang daripada seratus orang sahabat yang sabr dan tabah, ketika yang lain mula was-was dengan kekuatan muslimin dan dia juga berjaya membunuh salah seorang daripada pasukan berkuda orang musyrikin.

Perang terakhir yamg diikuti oleh Ummu Imarah adalah perang Yamamah untuk memerangi orang-orang murtad yang diketuai oleh Musailamah Al-Kazzab pada zaman Khalifah Abu Bakar Al-Siddiq. Beliau berperang dengan gigih, meskipun salah satu tangannya terputus, kerana keinginannya yang kuat untuk menghancurkan musuh-musuh Allah s.w.t. sebagai ungkapan terima kasih dengan berakhirnya fitnah tersebut.

Ketika mujahidah agung ini kembali ke bandar Madinah, salah satu anggota badan (tangan) telah mendahuluinya memberikan khabar gembira tentang syurga dan dia tetap mendapat kedudukan yang mulia selama zaman khalifah Ar-Rasyidah. Khalifah Abu Bakar sentiasa menziarahinya dan bertanya tentang keadaannya. Sementara itu, Umar memberinya pakaian yang bagus disebabkan kedudukan Ummu Imarah yang mulia dan termasuk di antara yang paling awal memeluk Islam.

Alngkah baiknya Abu Nu'aim ketika dia menerangkan tentang Ummu Imarah dengan ucapannya : :Ummu Imarah adalah salah seorang yang turut berbai'at di Aqabah, seorang mujahidah dan merupakan seorang yang memiliki kemuliaan, ijtihad, puasa, ibadah dan pendirian yang kukuh."

6. Memahami Kandungan Al-Quran dan Hadis

Ummu Imarah juga menunjukkan kelebihan dalam memahami Al-Quran sebagaimana dia menunjukkan kelebihan semasa berjihad. Suatu ketika dia datang menghadap Rasulullah s.a.w. sambil berkata : "Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat kaum wanita disebut dalam Al-Quran sebagaimana halnya kaum lelaki." Lalu turunlah firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Sesungguhnya lelaki muslim dan perempuan-perempuan muslimah, lelaki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukminah...."

Ummu Imarah telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah s.a.w. dan diriwayatkan daripada cucunya Abad bin Tamim, Al-Harith bin Abdillah bin Ka'ab dan Ikrimah hamba sahaya Abdullah bin Abbas. Di antara hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Imarah bahawa Rasulullah s.a.w. pernah berkunjung ke rumahnya. Ummu Imarah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. mempelawanya untuk makan bersama, dia menjawab : "Ya Rasulullah! Aku berpuasa." Rasulullah s.a.w. pun bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang yang berpuasa itu ketika orang makan di sekelilingnya, maka malaikat akan solat ke atasnya hingga mereka selesai makan."

Kunjungan Rasulullah s.a.w. ke rumah Ummu Imarah menunjukkan dia termasuk golongan orang yang mulia dan juga bukti karamahnya, ibadahnya, zuhudnya kerana dia sentiasa puasa sunat.

7. Karamah Ummu Imarah

Ummu Imarah memiliki sejumlah karamah yang patut untuk disebutkan. Di antaranya adalah usahanya untuk bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah s.a.w. Ketika Rasulullah s.a.w. mencukur rambutnya di Al-Hudaibiyah, para sahabat berusaha untuk mendapat rambut tersebut. Ummu Imarah , mengambil beberapa helai rambut tersebut. Biasanya rambut tersebut dicuci dengan menggunakan air yang akan digunakan si pesakit untuk mandi dan meminumkannya dengan air tersebut. Dengan izin Allah s.w.t. si pesakit akan sembuh.

Ketika salah satu tangannya terputus pada waktu perang Yamamah, tangan yang selalu digunakannya untuk melindingi Rasulullah s.a.w., ramai orang yang datang bersama keluarga mereka yang sakit untuk berubat dengannya. Ummu Imarah akan mengusap si pesakit tersebut sambil berdoa untuknya. Dengan izin Allah, si pesakit tersebut akan sembuh.

8. Allah Reda Dengan Kematiannya

Kita telah hidup beberapa saat bersama seorang sahabat yang memiliki sejarah kehidupan yang sangat mengharukan. Beliau adalah seorang ibu bagi anak-anaknya, seorang isteri yang penuh kasih sayang, seorang mujahidah mulia, seorang ahli hadis dan seorang yang selalu meningkatkan tahap keimanannya. Seseorang akan membaca sejarah hidup Ummu Imarah apabila membaca sejarah golongan para sahabat wanita yang lain. Dia akan mendapt kisah tentang penyertaanya dalam Bai'at Al-Aqabah dan Al-Hudaibiyah. Dia telah mula dan menutup kehidupannya dengan menjawab panggilan Ilahi sehingga kematiannya. Dia telah meninggalkan sejarah hidup yang patut untuk dicontohi oleh setiap wanita yang ingin mencapai kemuliaan dalam hidup.

Di akhir cerita sejarah kehidupan Ummu Imarah bersama keluarganya, marilah kita berdoa semoga Allah s.w.t. menjadikan kita sebagai kawan bagi mereka di syurga kelak. Selamat jalan wahai sahabat yang mulia.

Rujukan

-
Kitab Nisa' Min 'asr An-Nubuwwah

MUHAMMAD ALIF BIN AHMAD MAHIR
USULUDIN TAHUN 2
ZAGAZIG