Nasihat
menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan
kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan
seluruh umat di semua peringkat dan lapisan. Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya:
"Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk
kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai." - Hadis Sohih riwayat
Imam Muslim dalam kitab al-Imam.
Nasihat
untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan
hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak
berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara
terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh
pemimpin yang berkuasa di dalam negara.
Umat Islam
menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam
al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang
bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini
dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih
daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya
datang daripada Allah SWT.
Nasihat
untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam
semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya
setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat
dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar
menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.
Juga percaya
kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati
kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang
menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif,
bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu,
iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.
Nasihat
kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap
aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya
termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga
menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya
memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam
kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.
Melalui
nasihat, pemimpin berpeluang membetulkan rakyatnya yang tidak betul, bahkan
berpeluang untuk membetulkan dirinya sendiri supaya menjadi contoh kepada
rakyat. Nasihat juga mengajarnya untuk bersikap kepadanya dan dia tidak
melenting apabila benar-benar melakukan kesilapan, kerana pemimpin adalah
mahkluk manusia yang tidak boleh berlagak menjadi Tuhan.
Nasihat juga
menjadi hak rakyat, untuk memberi nasihat kepada pemimpin dan menerima nasihat
di kalangan mereka serta menerima nasihat daripada pemimpin. Rakyat juga
berperanan untuk menasihati pemimpin, sekiranya pemimpin mereka menyeleweng.
Hak rakyat untuk memberi nasihat tidak boleh dinafikan oleh kerajaan.
Allah
berfirman melalui surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar."
Tetapi
kewajipan nasihat ini telah diabaikan kerana terdapat sindrom yang melanda umat
Islam di negara kita hingga ke tahap yang sangat membimbangkan.
Sindrom yang
mengongkong para pemimpin : Negara dikepalai oleh barisan kepimpinan yang
diikat dengan budaya menonjolkan diri dengan membariskan pimpinan bawahannya
semata-mata untuk membina kekuatan kedudukannya, iaitu membariskan pelapis yang
takut kepada siapa sahaja yang menjadi pemimpin utama. Pekara ini menyebabkan
kita diperintah oleh kalangan yang tidak dapat membetulkan kelemahan-kelemahan
yang berlaku.
Antara punca
yang menimbul gejala ini ialah perkara-perkara berikut:
Hub
al-Riasah wa al-Jah (Rakus untuk menjadi pemimpin dan gila kuasa.)
Sifat ini
menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya,
bukan sahaja sanggup mebaurkan wang, bahkan sanggup mengorbankan kawan sendiri.
Berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan untuk naik lebih
tinggi.
Dalam Umno,
penghormatan yang sewajarnya tidak lagi diberi kepada orang yang sudah jatuh,
yang dikira tidak boleh memberi apa-apa kepada orang lain, seperti Tun Musa
Hitam dan Tun Ghafar Baba. Apa yang berlaku kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim
adalah malapetaka daripada sifat yang buruk ini.
Sebenarnya
beliau dijatuhkan kerana adanya unsur perebutan kepimpinan. Tuduhan-tuduhan
yang mengheret beliau ke mahkamah dipercayai oleh kebanyakan orang sebagai
penyangkut yang dicipta untuk menjatuhkan beliau. Hanya segelintir rakan-rakan
daripada Umno yang menunjukkan semangat persahabatan dan terlalu sedikit yang
sanggup bersama. Kebanyakan mereka selama ini lebih bersemangat mangampun untuk
kepentingan diri masing-masing.
Penyakit ini
menyebabkan pemimpin tidak mendapat pertolongan dan keberkatan Allah S.W.T.
Sangat benar sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya iaitu Abdul Rahman bin
Samurah maksudnya: "Wahai Abdul Rahman Samurah! Janganlah anda meminta
untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan yang diberi kepadamu kerana
permintaan engkau sendiri, nescaya ia akan diserahkan kepadamu tanpa
pertolongan. Sekiranya ia diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya
engkau akan diberi pertolongan." (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dalam
kitab al-Ahkam)
Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2
Sumber : http://presiden.pas.org.my/v2