MENCARI REDHA ILAHI

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما ، قال: كنت خلف النبي صلي الله عليه وسلم يوما ، فقال: (يا غلام! إني أعلمك كلمات: احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك ، إذا سألت فاسأل الله ، وإذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ؛ رفعت الأقلام ، وجفت الصحف). رواه الترمذي ، وقال: حديث حسن صحيح.

Berhala' Besar Tunisia Tewas Di Tangan Penjual Sayur!


Kebiasaannya, sesuatu peristiwa besar seperti revolusi dicetuskan oleh tokoh besar masyarakat atau pemimpin agung.

Namun siapa sangka, kebiasaan itu tidak berlaku dalam Revolusi Rakyat di Tunisia baru-baru ini yang menyaksikan penggulingan diktator, Ben Ali.

Siapa sangka, pencetus revolusi besar dan bersejarah dalam dunia Arab moden itu, hanyalah seorang penjual sayur.

Akibat kecewa dengan salah guna kuasa kerajaan pimpinan Ben Ali dan gejala pengangguran di Tunisia, seorang pemuda yang bekerja sebagai penjual sayur, Muhammad al-Buazizi, yang juga graduan universiti bertindak membunuh diri dengan membakar dirinya.

Kejadian tragis ini telah mencetuskan Revolusi Rakyat Tunisia yang menyaksikan kejatuhan Ben Ali,74 yang berkuasa sejak 1988-2011.

Ben Ali 'Berhala' Terbesar

Menariknya,kejatuhan Ben Ali ini dianggap oleh ulama terkenal dunia, Syaikh al-Qaradhawi sebagai kejatuhan 'taghut dan berhala terbesar, (bernama) Hubal".

(Hubal adalah salah satu berhala yang disembah orang-orang Arab sebelum Islam. Ia berbentuk manusia yang patah lengannya, lalu orang-orang Arab membuatkan untuknya lengan daripada emas).

Beliau juga mengumpamakan orang-orang kanannya sebagai berhala al-Lat, al-'Uzza dan Manat yang menjadi sembahan orang-orang Arab jahiliah.(Lihat http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/tunisia/127860-2011-01-16-10-12-27.html)

Jika dilihat rekod Ben Ali sepanjang memerintah Tunisia, kita dapat memahami mengapa beliau dianggap sedemikian oleh ulama terkenal itu.

Semasa pemerintahan beliau, wanita-wanita Tunisia dilarang mengenakan tudung di tempat-tempat awam, sekolah dan universiti serta pejabat-pejabat kerajaan.

Beliau juga mewajibkan 'Sistem Kad' bagi sesiapa yang bersolat di masjid. Melalui sistem ini, setiap orang yang bersolat di masjid diberikan kad yang akan ditandatangani sebelum solat dan sebaik sahaja selesai bersolat.

Masjid juga hanya dibuka beberapa minit sebelum solat dan ditutup segera sebaik selesai solat.

Bagi tokoh akademik dan pemikir Tunisia, Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, kejatuhan Ben Ali akan menumbuhkan semula ciri-ciri keislaman Tunisia yang sekian lama ditekan oleh Ben Ali sepanjang 23 tahun memerintah secara kuku besi.

Kejatuhan Ben Ali yang memenangi Pilihanraya Presiden Tunisia dengan mendapat 99.02% undi itu, dijangka membuka lembaran baru sejarah Tunisia!

Sumber : http://www.onislam.net/

"kenapa kamu tidak merogol saya pada malam itu?"


Dia seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang mulia.

Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan bersaorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati.

Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia di saat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”

(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”

(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

KUMPULAN CERITA AJAIB, ANEH DAN MENCUIT HATI (SIRI 2)




SEEKOR HELANG, NABI SULAIMAN DAN PEMILIK POHON
Ada seekor helang datang menghadap Nabi Sulaiman a.s bin Daud a.s. Berkatalah helang itu, "Wahai Nabi Allah, ada seorang lelaki yang memiliki sebatang pohon dan aku mengerami telurku di atas pohon itu. Tetapi dia mengangkat anak-anakku, lalu dibawanya pulang."

Nabi Sulaiman a.s. memanggil lelaki pemilik pohon dan melarang perbuatan itu. Berkatalah Nabi Sulaiman kepada dua syaitan : "Aku memerintahkan engkau berdua, jika datang tahun depan dan lelaki itu mengambil anak dari , maka burung ini, maka tangkaplah dia dan belahlah dia menjadi dua bahagian. Lalu lemparkan sebahagian di dunia timur dan sebahagian lagi di sebelah barat."

Ketika datang tahun ini, pemilik pohon lupa pesan Nabi Sulaiman a.s. dan dia hendak memanjat pohon. Tetapi sebelum memanjat pohon, dia sempat bersedekah dengan sesuap makanan. Lalu diangkatnya anak burung itu dan dibawanya pulang. Burung helang datang menghadap kepada Nabi Sulaiman a.s. dan melaporkan perbuatan pemilik pohon. Nabi Sulaiman memanggil dua syaitan dan bermaksud menghukum kedua-duanya. Nabi Sulaiman a.s. berkata : "Mengapa kamu berdua tidak melaksanakan tugas yang aku perintahkan?"

Mereka menjawab : "Wahai Khalifah Allah, sesungguhnya pemilik pohon ketika hendak memanjat pohohn itu kami bermaksud menangkapnya. Tetapi kerana dia telah bersedekah kepada seorang lelaki muslim dengan sepotong roti, maka Allah mengutus dua Malaikat dari langit, sehingga mereka menangkap kami berdua dan melemparkan kami. Seorang dari kami dilemparkan ke dunia timur dan yang lain dilemparkan ke dunia barat dan dihalangi usaha kami untuk mencelakakan disebabkan sedekah."

MORAL : "Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api" (HR Tarmizi)

GADIS CANTIK DAN SEPOTONG ROTI
Diriwayatkan bahawa pernah terjadi musim kemarau di kalangan Bani Israil. Masuklah seorang fakir di depan pintu seorang kaya seraya berkata : "Berilah sedekah kepadaku dengan sepotong roti untuk mencari redha Allah SWT."

Puteri dari orang kaya itu keluar membawa roti yang masih hangat dan diberikannya kepada orang fakir itu. Lalu datanglah orang kaya yang celaka dan dipotongnya tangan puterinya. Lalu Alla SWT mengubah keadaannya dan menghilangkan senua hartanya. Jadilah dia fakir dan meninggal dalam keadaan hina. Sedang puterinya berkeliling dari pintu rumah ke pintu yang lain dengan meminta-minta. Dia seorang gadis yang cantik jelita.

Suatu hari gadis itu datang di depan pintu seorang lelaki kaya. Keluarlah ibu lelaki itu dan dia memandang puteri itu dan memperhatikan kecantikannya serta menyuruhnya masuk ke dalam rumahnya. Dia merasa tertarik dan ingin mengahwinkan dengan anaknya. Setelah dia mengahwinkannya, dia menghiasinya dan menghidangkan di hadapannya sebuah hidangan pada malam hari. Puteri itu mengeluarkan tangannya yang sebelah kiri untuk makan bersama suaminya. Melihat itu suaminya berkata : "Sungguh aku memang sering mendengarbahawa orang fakir adalah kurang pendidikan. Keluarkanlah tangan kananmu."

Puteri itu tetap mengeluarkan tangan kirinya dan berkali-kali suaminya melarangnya. Terdengar satu suara dari sudut pintu : "Keluarkan tanganmu sebelah kanan, hai perempuan hamba Allah. Benar-benar engkau telah memberikan roti itu kepada Allah. Tentu Allah akan memberikan tanganmu kepada dirimu."

Maka dikeluarkannya tangan kanannya dalam keadaan utuh berkat kekuasaan Allah SWT dan makanlah dia bersama suaminya.

MORAL : Sedekah tidak mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan. Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.

TUKANG BATU DAN DOA SEORANG ABID
Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s. pernah berjalan di sebuah desa. Di desa itu hidup seorang tukang batu. Berkatalah penghuni desa itu kepada Nabi Isa a.s. : "Tukang batu itu selalu menahan air, meludahinya dan mengotorinya.Maka berdoalah kepada Allah agar dia tidak membuatnya dapat pulang dari tempat mana saja dia berada."

Lalu Nabi Isa a.s. berdoa : "Ya Allah, kirimkan seekor ular kepadanya dan janganlah engkau kembalikan dia."

Tukang batu pergi untuk mengambil batu-batu dekat sumber mata air dan dia membawa tiga potong roti. Setelah dia berada di mata air itu, ada seorang ahli ibadah (abid) datang menghampirinya. Abid itu selalu beribadah di atas gunung dekat mata air. Abid itu mengucapkan salam seraya berkata : "Apakah ada sedikit makanan yang dapat engkau berikan padaku atau engkau memperlihatkan kepadaku sehingga aku dapat melihatnya dan mencium baunya. Kerana aku sudah tidak makan apapun sejak sekian lama."

Diberikannya sepotong roti, maka berkatalah abid itu : "Hai tukang batu, mudah-mudahan Allah mengampuni dosamu dan membersihkan hatimu."

Maka diberikannya roti yang kedua dan berkatalah abid : "Hai tukang batu, mudah-mudahan Allah menga,puni dosa-dosamu baik yang telah lalu atau yang datang kemudian."

Diberikan lagi roti yang ketiga kalinya dan berkatalah abid : "Hai tukang batu, semoga Allah membangun sebuah rumah untukmu di syurga."

Tukang batu itu pulang ke desanya, dan para penghuni desa itu berkata kepada Nabi Isa a.s. : "Tukang batu itu ternyata kembali lagi."

Berkatalah Nabi Isa a.s. : "Panggillah dia ke sini."

Mereka memanggil tukang batu itu dan membawanya ke hadapan Nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata : "Hai tukang batu, ceritakan padaku apa yang telah engkau kerjakan hari ini dari amal-amal kebaikan."

Maka tukang batu itu menceritakan tentang air, roti yang diberikannya dan doa-doa abid untuk dirinya. Nabi Isa a.s. berkata : "Bawa kemari bermu itu." Diberikannya beg itu kepada Nabi Isa a.s. dan Nabi Isa a.s. membukannya. Tiba-tiba dalam beg itu terdapat seekor ular hitam yang dibelenggu dengan rantai besi. Berkatalah Nabi Isa a.s. : "Hai ular hitam."

Tiba-tiba ular itu menjawab : "Ya, wahai Nabi Allah."

Nabi Isa a.s. berkata : "Bukankah engkau telah dikirimkan kepada orang ini?"

Ular itu berkata : "Benar, tetapi datang seorang ahli ibadah dari gunung itu, dia minta makan dan orang ini memberinya makan. Maka berdoalah orang ini hingga tiga kali dan disampingnya berdiri Malaikat yang mengaminkan doa itu. Maka Allah mengutus Malaikat dan membelengguku dengan rantai dari besi."

Berkatalah Nabi Isa a.s. : "Hai tukang batu, mulalah beramal kerana Allah kerana Allah telah mengampunimu dan menunujuki jalan kebaikan kepadamu."

MORAL : Bersedekah disertai dengan keikhlasan, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan merosakkan amalan bersedekah.

MUHAMMAD ALIF BIN AHMAD MAHIR

Hukum Post Mortem (Bedah Siasat Mayat) Dalam Islam


Dr Abdul Aziz Khalifah al-Qassar (1999) dalam Hukm Tasyrlh al-Insan Baina as-Syari’ah wa al-Qamln telah membahagikan tujuan pembedahan ke atas mayat itu kepada tiga jenis iaitu:

i. At-Tasyrih Al-Jina’iy iaitu pembedahan yang dilakukan bagi tujuan menyiasat sebab-sebab kematian dan mengenalpasti jenis kematian bagi menyingkap sebarang kesamaran terhadap kejadian tertentu sehingga terbukti kebenaran dan tertegak keadilan.

ii. At-Tasyrih Al-Maradhiy iaitu pembedahan yang dilakukan terhadap mayat yang terkena penyakit. Pembedahan tersebut adalah untuk mengetahui secara mendalam kesan penyakit tersebut ke atas si mati, apakah ia merupakan penyakit berjangkit atau bukan. Dengan pembedahan tersebut pihak kerajaan boleh mengambil langkah pencegahan untuk menghalang wabak tersebut daripada merebak sehingga mengancam keselamatan dan keamanan masyarakat.

iii. At-Tasyrih At-Ta’limiy iaitu pembedahan yang dilakukan ke atas mayat-mayat manusia di bilik-bilik mayat fakulti perubatan dengan bimbingan doktor-doktor di universiti. Tujuannya ialah untuk mengetahui secara praktikal dalam bentuk langsung dan ilmiah mengenai anggota-anggota badan dan fungsi-fungsinya yang nyata dan tidak nyata.


Pembedahan bagi tujuan memantau penyakit dan membantu penyelesaian kes-kes jenayah ada dua jenis iaitu:

1. Pembedahan Mayat Atas Sebab Jenayah

Menegakkan keadilan dan menolak kezaliman merupakan dua perkara yang diutamakan dalam syariat Islam. Banyak nash dan dalil-dalil yang menunjukkan demikian. Antaranya firman Allah Ta’ala:

إن الله يأمر بالعدل والإحسان

“Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku adil dan ihsan.” (Surah an-Nahl: 90)

Firman Allah Ta’ala lagi:

إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (Surah An-Nisa : 58)

Banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an yang menuntut agar ditegakkan keadilan dalam apa jua perkara khususnya dalam kehakiman. Dalam hal ini, post-mortem adalah salah satu cara yang boleh membantu siasatan khususnya kematian yang disebabkan oleh jenayah. Dengan demikian hasil post-mortem akan membantu mahkamah dalam membuktikan kesalahan penjenayah dan melepaskan orang yang tidak bersalah supaya keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman serta jenayah tidak berleluasa di alam masyarakat.


2. Pembedahan Mayat Atas Sebab Kajian Terhadap Penyakit

Dalam realiti pencapaian kemajuan bidang sains perubatan sekarang ini, banyak penyakit yang dikenalpasti melalui proses post-mortem. Hasil post-mortem mampu mengenal pasti penyakit dan membantu penyelidikan ubat-ubatan yang sesuai bagi mengatasinya. Post-mortem juga berfungsi memberi maklumat lanjut tentang keadaan sebenar suatu penyakit yang dihidap oleh seorang pesakit sehingga membawa kepada kematiannya. Dalam hal penyakit berjangkit pula, pihak berautoriti dapat merangka tindakan-tindakan yang perlu diambil tindakan. Ini bererti post-mortem itu boleh menjadi asas dalam mengambil langkah menyelamatkan nyawa orang ramai, lebih-lebih lagi jika kematian itu dikenalpasti berpunca daripada penyakit yang menular dan boleh merebak dengan cepat seperti penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang mana telah mengejutkan penduduk seluruh dunia baru-baru ini.

Begitulah juga dengan penyakit-penyakit seperti aids, denggi dan seumpamanya. Maka mashlahat post-mortem ini ialah sebagai jalan dan langkah berjaga-jaga ke arah pencegahan merebaknya penyakit tersebut.

Kaedah Syara’

Islam menolak perkara-perkara yang membawa kemudharatan sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

لا ضرر ولا ضرار

“Tiada mudharat dan tiada kemudharatan.(Hadis riwayat Ibn Majah dan Imam Ahmad)

Dalam kaedah fiqh pula disebutkan (kemudharatan itu dihindarkan). Dalam kaedah lain pula disebut (kemudharatan itu tidak dihindarkan dengan kemudharatan). Sebagai agama yang sangat bersungguh-sungguh menjaga kemashlahatan hidup manusia, maka Islam menolak kemudharatan itu sehingga ada kalanya perkara-perkara yang dilarang itu menjadi harus dilakukan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta ‘ala:

فمن اضطر غير باغ ولا عاد فلا إثم عليه إن الله غفور رحيم

“Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu) , maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. “ (Surah al-Baqarah: 173)

FirmanNya lagi:

وما جعل عليكم فى الدين من حرج

”Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. “ (Surah ai-Hajj : 78)

Kaedah fiqh pula menyebut الضرورة تبيح المحظورات (darurat itu mengharuskan perkara yang dilarang). Namun keharusan melakukan yang diharamkan itu tidaklah terbuka seluas luasnya. Ia dibolehkan hanya pada kadar yang dihajati sahaja. Demikianlah juga halnya dengan post-mortem.

Menurut aI-Imam ‘Izzuddin bin Abdul Salam:

أن ما احل لضرورة أو حاجة يقدرها ويزال بزوالها

”Bahawasanya apa yang dihalalkan kerana darurat atau hajat adalah dihadkan mengikut kadarnya dan dihilangkan dengan ketiadaannya. “

Kaedah yang lain pula menyebutkan: “Apabila bertembung dua mashlahat maka diutamakan yang paling kukuh mashlahatnya dan apabila bertembung antara dua keburukan maka keburukan atau kerosakan yang paling ringanlah yang harus dilaksanakan untuk mengelak daripada keburukan yang lebih dahsyat antara keduanya. “

Melakukan post-mortem atau bedah siasat ke atas mayat kerana penyakit itu, kita dapati bahawa ia mengandungi beberapa kemashlahatan umum. Antaranya:

1. Menyelamatkan orang ramai daripada penyakit berjangkit.

2. Meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat melalui pemberian rawatan dan ubatan yang betul

Sementara bedah siasat bagi tujuan jenayah itu berperanan:

1. Menjaga kesahihan hukuman dalam perbicaraan

2. Menolak kezaliman

3. Menjaga dan mengelakkan individu daripada terlibat dengan dendam dan bermusuh-musuhan.

Maka mashlahat-mashlahat ini merupakan mashlahat umum yang perlu diutamakan. Sebahagian ulama Syafi’iyyah, Hanafiyyah, Malikiyyah dan Hanabilah menqiyaskan keharusan melakukan post-mortem terhadap mayat bagi tujuan mengesan jenayah dan mengesan penyakit itu dengan keharusan pembedahan perut mayat untuk mengeluarkan kandungannya kerana menyelamatkan nyawa. Begitu juga dengan membedah perut mayat kerana mengeluarkan harta orang hidup seperti yang disebutkan sebelum ini. Maka post-motem bagi tujuan mashlahat-mashlahat seperti di atas adalah lebih utama. (Hukm Tasyrih al-Insan Baini asy-Syari’ah wa al- Qanun, 1999:37-40)

Etika Membedah Mayat (Wajib tahu buat pelajar Perubatan)

Sekalipun sebahagian ulama mengharuskan bedah siasat mayat, namun keharusan yang diberikan itu bukanlah secara mutlak atau terbuka luas tanpa had atau batasnya, sesuai dengan kehendak syara’ seperti ayat 173 daripada al-Baqarah di atas dan kaedah-kaedah fiqh yang terdahulu dan berikutnya. Kerja-kerja post-matem itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira perkara-perkara yang menjadi tuntutan syara’ Antaranya:

i. Menjaga Had Keperluan (Darurat)

Seperti yang diterangkan di atas, bedah siasat itu diharuskan berdasarkan keperluan (hajat) yang menjadi sebab pembedahan tersebut dilakukan. Namun keperluan yang dimaksudkan di sini adalah keperluan yang benar-benar mendesak (darurat). Darurat itu menjadi ‘illah atau sebab yang mengharuskan post-moyem. Jika tidak ia adalah dilarang kerana dikira melakukan penganiayan terhadap mayat, tidak menghormatinya dan menghodohkan rupa bentuk mayat. Kita percaya bahawa syarat kerana darurat itu adalah syarat yang mesti dikenakan atau diaplikasikan dalam semua tujuan post-motem itu dijalankan iaitu sama ada atas sebab mengenal pasti penyakit atau pun atas faktor jenayah.

Sebagai missal, si mati yang menunjukkan tanda-tanda kemungkinan diracun, atau ada bentuk kecederaan yang dialaminya sangat meragukan. Maka untuk memastikannya dia perlu dibedah. Keperluan untuk mengenal pasti punca kematiannya seperti ini adalah sangat mendesak. Ini bererti post-motem itu bukanlah diharuskan secara samarata ke atas semua mayat kerana kecelakaan di jalan raya umpamanya.

ii. Melaksakan Pembedahan Setakat Yang Diperlukan Sahaja

Keharusan post-motem itu hendaklah diukur berdasarkan kadar keperluan atau darurat sebagaimana disebut di dalam kaedah fiqh: الضرورة تقدر بقدرها (darurat itu diukur berdasarkan kadar keperluannya). Berdasarkan kaedah ini, pembedahan yang dilakukan itu tidak diharuskan melampaui batas atau had rukshah yang telah diberikan, kerana mengambil kira hukum asal pembedahan mayat tanpa sebarang sebab adalah haram. Oleh itu dalam menjalankan pembedahan ke atas mayat adalah menjadi kewajipan untuk hanya membedah mana-mana bahagian mayat yang diyakini boleh membantu pihak yang berkenaan mencapai matlamat daripada bedah siasat yang dijalankan.

iii. Melaksanakan Pembedahan Dengan Lemah Lembut

Secara umum meraka yang melakukan pembedahan ke atas mayat hendaklah menghormati mayat yang dibedah dengan menjalankan pembedahan itu secara yang paling cermat iaitu dengan adab-adab yang tidak merosakkan kehormatan dan kemulian mayat manusia.

Ketika Imam an-Nawawi menbicarakan tentang perkara yang patut dilakukan ke atas mayat sejurus sahaja kematiannya, beliau menekankan bahawa ahli keluarga adalah dituntut supaya memejamkan matanya dan menutup keseluruhan badannya dengan kain, serta menghadapkan mukanya ke arah qiblat. Ia hendaklah dilakukan oleh ahli keluarga yang paling lemah lembut di kalangan mahramnya. Imam an-Nawawi berkata:

ويتولى ذلك أرفق محارمه

“Dan orang yang menangani perkara itu ialah orang paling berlemah lembut daripada kalangan mahramnya.” (Imam An-Nawawi pada Minhaj \Ath-Thalibin, 2000: 1/322)

Berdasarkan keterangan di atas, maka hendaklah dilakukan pembedahan itu dengan cara yang lemah lembut sesuai dengan tuntutan menghormati mayat seperti mengangkat dan meletakkannya ke tempat bedah dengan lembut dan cermat.

iv. Menjaga Aurat Mayat

Menjaga aurat si mati khususnya jika mayat itu perempuan. Oleh itu orang yang sepatutnya melakukan pembedahan ke atas mayat perempuan ialah doktor bedah perempuan juga. Ini kerana haram memandang aurat mayat perempuan itu oleh lelaki asing. Kita lihat ini sesuai dengan pendapat ulama seperti Imam ar-Rafi’e dan al-Baghawi yang tidak mengharuskan lelaki asing memandikan mayat perempuan asing yang tiada hubungan mahram jika tiada seorang perempuan pun ketika itu ataupun mahramnya, bahkan hendaklah dimandikan mayat itu dengan mencurahkan air ke atas keseluruhan badan mayat perempuan itu yang ditutup dengan kain yang tebal tanpa langsung menggunakan tangan. Menurut Imam an-Nawawi, (pendapat yang ashah) mayat itu tidak dimandikan bahkan ditayammumkan sahaja.

Dalam kitab al-Iqna’ karangan asy-Syarbini al-Khatib bahawa hukum haram menyentuh itu tidak gugur dengan sebab kematian. Dalam makna yang lain walaupun perempuan itu telah menjadi mayat. Bagaimanapun juga, jika tiada langsung dockor bedah perempuan, maka tiadalah halangan untuk dilakukan proses pembedahan itu oleh doktor lelaki atas sebab-sebab darurat.

Dalam hal melihat aurat ini, orang yang melakukan pembedahan itu hendaklah melihat aurat mayat dengan sengaja sekalipun mereka daripada sesama jenis, kerana antara etika orang yang memandikan mayat ialah tidak diharuskan melihatnya kecuali pada kadar yang diperlukan pada bahagian bukan aurat. Sedangkan perbuatan memandikan mayat itu adalah wajib. Menurut Imam an-Nawawi, orang yang memandikan mayat itu hendaklah jangan melihat badan si mati melainkan kadar hajat yang bukan terdiri daripada aurat. ( An-Nawawi, Minhaj ath-Thalibin, 2000: 1/351-352)

v. Suasana Tenang

Ketika menjalankan pembedahan itu sewajarnya tidak diganggu dengan bunyi-bunyian yang bising kerana ia dianggap tidak memuliakan mayat. Perkara ini sesuai dengan kenyatan asy-Syeikh Sa’ad bin Muhamad Ba ‘asyin, bahawa makruh meninggikan suara ketika dalam perjalanan mengangkat jenazah (untuk dikebumikan) dan juga dalam keadan memandikan, mengkafankan dan ketika meletakkanya ke dalam kubur. Menurut Ibnu Ziyad pula adalah di sunatkan untuk menyebukan diri dengan berzikir dengan suara perlahan. (Asy-Syeikh Sa’id bin Muhammad Ba ‘Asyin, 1992-399).

Sekian,

Sumber daripada:
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

KUMPULAN CERITA AJAIB, ANEH DAN MENCUIT HATI (SIRI 1)




KISAH NELAYAN DAN ULAT
Seorang nelayan yang soleh, Abu Jaafar Mansur, telah berjaya menangkap seekor ikan. Tetapi seorang pengawal kerajaan telah merampas ikan itu dari tangannya dan memukulinya. Maka berkatalah Abu Jaafar, "Ya Tuhanku, Engkau telah menciptakan aku dalam keadaan lemah dan Engkau ciptakan dia dalam keadaan gagah perkasa, sehingga dia dapat menganiaya aku. Kuasakanlah dia pada satu makhluk dan jadikanlah dia sebagai pelajaran bagi semua kaum muslimin."

Setelah pengawal kerajaan itu tiba di rumahnya, dia menggoreng ikan itu. Ketika dia meletakkan ikan itu di atas hidangan, duri ikan itu tiba-tiba menyengatnya dengan izin Allah SWT. Tangan
yang tertusuk duri ikan itu bertambah parah dan ulat memakan tangannya. Dia tidak tahan lagi dan terpaksa tangannya itu dipotong. Tetapi ulat itu malah menjalar ke lengannya dan terpaksa dipotong pula. Kemudian dia tidur dan bermimpi seseorang mengatakan kepadanya, "Kembalikanlah hak itu kepada pemiliknya, agar engkau selamat dari penyakit ini."

Setelah dia terbangun, barulah dia menyedari mengenai ikan yang dirampasnya dari Abu Jaafar. Maka datanglah dia menjumpai Abu Jaafar dan memberinya sepuluh ribu dirham dan meminta halal kepadanya. Ketika Abu Jaafar menghalalkannya, berjatuhanlah ulat itu dari tangannya yang terluka dan kembalilah tangan itu sembuh seperti sedia kala dengan kekuasaan dan izin Allah SWT.

MORAL : Janganlah kita menzalimi dan menganiayai orang kerana sesungguhnya doa mereka akan dimakbulkan Allah....

6 SOALAN GANJIL
Diceritakan bahawa Hasan Al-Basri, Malik Bin Dinar dan Tsabit Al-Banani bertamu ke rumah Rabi'ah Al-Adawiyah. Berkatalah Hasan, "Hai Rabi'ah, pilihlah seorang dari kami, kerana sesungguhnya nikah itu termasuk sunnah Nabi Muhammad SAW."

Rabi'ah menjawab, "Aku mempunyai beberapa soalan. Barangsiapa yang dapat menjawabnya, aku akan kahwin dengannya."

1. Bertanyalah Rabi'ah pada Hasan untuk pertama kalinya, "Bagaimana pendapatmu ketika Allah berfirman pada hari perjanjian : "Mereka semua itu di syurga." Dan Allah juga berfirman : "Mereka semua itu di neraka." Tetapi dari golongan manakah aku kelak?" Jawab Hasan, "Aku tidak tahu,"

2. Bertanya lagi Rabi'ah, "Ketika Malaikat membentuk tubuhku di dalam rahim ibuku, apakah aku termasuk orang yang beruntung atau orang yang celaka?" Hasan menjawab, "Aku tidak tahu."

3. Rabi'ah bertanya lagi, "Ketika dikatakan kepada seseorang : "Janganlah engkau takut dan jangan pula engkau bersedih hati." Tetapi dikatakan pula kepada yang lain, "Tidak ada kegembiraan bagimu lagi." Lalu termasuk golongan yang manakah aku? Jawab Hasan, "Aku tidak tahu."

4. Rabi'ah ertanya lagi, "Kubur itu adalah sebuah taman-taman dari syurga, atau lubang dari lubang-lubang neraka. Bagaimana dengan kuburku?" Jawab Hasan, "Aku tidak tahu."

5. Rabi'ah meneruskan soalannya, "Pada hari wajah-wajah ada yang bersinar terang dan wajah-wajah yang lain gelap. Lalu bagaimanakah dengan wajahku?" Jawab Hasan, "Aku tidak tahu."

6. Rabi'ah bertanya, "Ketika Malaikat menyerukan di hari kiamat : "Ingat, sesungguhnya Fulan Bin Fulan telah beruntung. Fulan bin Fulan celaka." Lalu termasuk orang yang manakah aku? Hasan menjawab, "Aku tudak tahu."
Maka ketiga-tiganya menangis dan keluar dari rumah Rabi'ah Adawiyah.

MORAL : Akal manusia tidak akan mampu mencapai kekuasaan Allah...

SEPOTONG ROTI, PENGEMIS DAN SERIGALA
Diriwayatkan bahawa pernah satu musim kemarau menimpa Bani Israel dalam beberapa tahunyang berterusan. Ada seorang perempuan memiliki sepotong roti. Diletakkannya roti itu pada mulutnya untuk dimakannya. Tiba-tiba datang seorang pengemisdi depan pintu dan berkata, "Berilah aku kerana Allah, sepotong roti sahaja."

Perempuan tersebut mengeluarkan roti itu dari mulutnya dan diserahkan kepada pengemis itu. Kemudian ia keluar ke padang belantara untuk mencari kayu. Dia mempunyai seorang anak kecil yang turut dibawanya bersama. Tiba-tiba datang seekor serigala dan menangkap anak kecil itu serta membawa lari. Terdengar suara jeritan, bersegeralah perempuan itu mencari jejak serigala. Lalu Allah SWT mengutus Malaikat Jibril a.s dan mengeluarkan anak itu dari mulut serigala. Diserahkannya anak itu pada ibunya seraya berkata padanya, "Hai perempuan hamba Allah, puaskah engkau sesuap roti diganti dengan keselamatan anak?"

Perempuan itu menjawab, "Ya."

Terdengar sura mengatakan, "Demikianlah balasan kepada orang-orang yang mengasihani orang-orang miskin dan kelaparan. Kami selamatkan dan kami pelihara sebagai balasan bagi orang yang berbuat baik."

MORAL : Banyakkanlah bersedekah untuk kesenangan di dunia dan akhirat..

Dari Ali r.a., Rasulullah saw. bersabda, “Segeralah bersedekah, sesungguhnya musibah tidak dapat melintasi sedekah.”

(MUHAMMAD ALIF BIN AHMAD MAHIR)



Sakit - Antara Penghapus Dosa Dan Peningkat Darjat

Gambar Hiasan
Dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar dengan seribu satu dugaan, tidak pernah melepaskan seseorang muslim daripada tertimpa bala bencana. Kesakitan adalah salah satu daripadanya. Bezanya hanyalah sama ada kecil atau besar.
Ada orang ditimpa ujian kehancuran terhadap hartanya. Namun, tidak sedikit pula bagi seseorang yang diuji dengan kesakitan terhadap dirinya sendiri. Ada yang terlantar bertahun-tahun kerana mengalami penyakit yang ganjil. Begitu pula ada yang terpisah dengan anak atau ahli keluarga begitu lama. Semuanya mendera jiwa. Sakit.
Namun, apakah kesakitan baik yang menimpa anggota tubuh badan, harta atau jiwa itu tanda Allah murka kepadanya? Atau mungkinkah ia tanda Allah sedang menghapus dosanya? Barangkali ia merupakan jalan untuk sampai kepada maqam tertinggi di sisi Allah?
Sedangkan, Allah berfirman di dalam surah At-Tagaabun, ayat 11 yang bermaksud:
"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
Penceramah bebas, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berkata sakit atau musibah yang terkena kepada seseorang adalah datangnya daripada Allah SWT. Tujuannya pelbagai dan mempunyai banyak hikmah untuk direnungi.
Menghapus dosa
Menurutnya, bagi seorang yang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya merupakan salah satu jalan untuk Allah menghapuskan setiap dosa hamba-Nya. Bahkan ia seharusnya dilihat sebagai satu terapi untuk menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam.
"Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak. Sedangkan dosa itu sebenarnya menjauhkan diri kita dengan Allah. Jadi hikmah diturunkan kesakitan atau bala bencana itu adalah sebagai cara untuk Allah menghapuskan dosa kita berkenaan," katanya.
Katanya, ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
"Bahkan di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya.
"Jadi, jangan pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah. Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda," ujarnya.
Sakit yang meninggikan darjat
Zaharuddin berkata, selain untuk menghapuskan dosa, kesakitan atau bala bencana yang menimpa seseorang juga merupakan jalan untuk Allah meninggikan darjat seorang hamba-Nya. Walaupun ia mungkin dilihat sebagai teruk di mata manusia, namun hikmahnya hanya Allah yang mengetahui.
Menurutnya, kisah Nabi Ayub ketika bersabar menerima ujian kesakitan terhadap dirinya merupakan contoh yang baik. Betapa Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah, namun masih mampu berbaik sangka kepada Rabb.
"Sudahlah dirinya ditimpa penyakit, anak-anak dan isteri juga menjauhinya. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah mengembalikan semula kesihatan kepadanya dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya.
"Jadi, sakit itu dan kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan punya hikmah yang besar. Bukankah semua itu datangnya daripada Allah dan kepada Allah jua harus dikembalikan semuanya?" ujarnya.
Sakit rohani punca kejahatan
Seorang manusia apabila mengalami sakit fizikal, pasti akan bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Bahkan jika lebih parah, doktor pakar akan menjadi tempat rujukan. Selepas itu barulah rawatan dan ubat diberikan bagi menyembuhkan sakit berkenaan.
Bagaimana pula dengan sakit batin? Kesakitan yang tidak dapat dilihat pada luaran. Namun ia bagaikan membarah di dalam dada. Ternyata bukan kecil sakitnya itu. Bahkan mampu merosakkan seluruh anggota badan yang lain.
Zaharuddin ketika mengulas mengenainya berkata, penyakit batin seperti dendam, menipu, bongkak serta pelbagai lagi adalah berpunca daripada hati yang sakit. Bahkan ada yang sampai ke peringkat hatinya terlalu kotor sehingga menggelapkan ruang di dalamnya.
"Ia adalah penyakit rohani. Berpunca daripada dosa yang terlalu banyak sehingga menggelapkan hatinya untuk melakukan kebaikan. Hatinya mudah melakukan kejahatan. Kemudian mendorong anggota badan melaksanakan agenda jahatnya itu. Begitu juga dengan makanan yang diambil dan dimasukkan ke dalam perut sehingga membentuk daging. Ada orang yang mengambil makanan daripada sumber yang haram. Ia sekaligus menggelapkan hati.
"Bahkan ada orang yang tidak tahu bahawa dirinya berdosa. Membiarkan seluruh anggota badan melakukan maksiat sehingga hati sudah tidak mampu melihat cahaya Islam yang sebenar," ujarnya.
Taubat menyucikan dosa dan noda
Menurut Zaharuddin, taubat nasuha dan penyelesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan selama ini dapat menyelamatkan rohani seseorang daripada terus mengalami kesakitan yang parah.
Katanya, Allah sentiasa membuka ruang kepada hamba-hamba-Nya yang berlumpur dosa serta noda untuk kembali membersihkan diri mereka dengan cara bertaubat. Ujarnya, ini sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Setiap anak Adam itu berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang memohon taubat kepada Tuhannya" (Hadis riwayat At-Tarmizi).


" BILA AL QUR’AN BICARA "
Waktu engkau masih kanak – kanak, kau laksana kawan sejatiku.
Dengan wudhu, aku kau sentuh dalam keadaan suci.Aku kau pegang, kau junjung dank au pelajari.
Aku engkau baca dengan suara lirih ataupun keras setiap hari.
Setelah usai engkau pun selalu menciumku mesra.
Sekarang engkau telah dewasa…
Tampaknya kau sedah tak berminat lagi padaku.
Apakah aku bacaan usang yang tinggal kenangan.
Menurutmu barangkali aku bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu.
Atau menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji saja.

Sekarang aku engkau simpan rapi sekali hingga kadang engkau lupa dimana menyimpannya.
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai perhiasan rumahmu.
Kadang aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa.
Atau aku kau anggap penangkal untuk menakuti hantu dan syaitan.
Kini aku lebh banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian dan kesepian.Di atas lemari, di dalam laci, aku engkau pendam.

Dulu, pagi pagi sekali surah surah yang ada padaku, engkau baca beberapa halaman
Waktu petang hanya aku kau baca bermai ramai bersama temanmu di surau….Sekarang, pagi pagi sambil minum kopi, engkau baca koran pagi atau nonton berita di TV.
Waktu senggang engkau sempatkan membaca buku karangan manusia.
Sedang aku yang berisi ayat ayat yang datang dari Allah Yang Maha Perkasa, engkau campakkan, engkau abaikan dan engkau lupakan.

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surahku (Basmalah).
Diperjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi.
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat padaku dilaci mobilmu.
Sepanjang perjalanan, radiomu selalu tertuju ke stesen nada favoritmu.
Aku tahu kalau itu bukan stesen radio yang senantiasa melantunkan ayatku.
Di meja kerjamu tidak ada aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja.
Di komputermu pun kau putar musik favoritmu.
Jarang sekali engkau putar ayat ayatku melantun.
e-mail/fb temanmu yang ada ayat ayatku pun kadang kau abaikan.Engkau terlalu sibuk dengan urusan duniawi.

Benarlah dugaanku bahwa engkau kini sudah benar benar melupakanku.
Bila malam tiba engkau tahan duduk berjam jam di depan TV.
Menonton pertandingan bola, musik atau film dan sinetron.
Di depan computer berjam jam engkau betah duduk.
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah.

Waktu cepat berlalu, aku menjadi semakin kusam dalam lemari.
Mengumpul debu dilapisi abu dan mungkin dimakan kutu.
Seingatku hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali.Itupun hanya sekedar beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafal tidak semerdu dulu.
Engkau pun kini terbata bata dan kurang lancar lagi setiap membacaku.

Apakah Koran, TV, radio, computer, dapat memberimu pertolongan?
Bila engkau dikubur sendirian, menunggu sampai kiamat tiba, engkau akan diperiksa oleh malaikat suruhan Nya.
Hanya dengan ayat ayat Allah yang ada padaku engkat dapat selamat.

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu…
Setiap saat berlalu…berkuranglah jalan umurmu…
Dan akhirnya kubur senantiasa menunggu kedatanganmu..
Engkau bisa kembali kepada Tuhan-mu sewaktu waktu, apabila malaikat maut mengetuk pintu rumahmu.

Bila aku engkau baca selalu dan engkau hayati…Di kuburmu nanti…
Aku akan datang sebagai pemuda gagah dan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri.
Bukan Koran yang engkau baca yang akan membantumu dari perjalan di alam akhirat.
Tapi akulah “ AL-QUR’AN “ kitab sucimu.
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah aku lagi….bacalah kembali aku setiap hari.
Karena ayat ayat yang ada padaku adalah ayat suci.
Yang berasal dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui.
Yang disampaikan ileh Jibril kepada Nabi Muhammad Rasulullah saw

Keluarkanlah segera aku dari lemari atau lacimu…
Jangan lupa bawa kaset yang ada ayatku dalam laci mobilmu.Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhan mu.
Sentuhlah aku kembali….
Baca dan pelajari lagi aku…
Setiap datangnya pagi dan sore hari…
Seperti dulu….dulu sekali…Waktu engkau masih kecil, lugu dan polos…
Di surau kecil kampungmu yang damai.
Jangan aku engkau biarkan sendiri….
Dalam bisu dan sepi…